Skinpress Rss

Jumaat, 22 Oktober 2010

WARKAH BUAT ADIKKU

0


Adikku,

Masuk hari ini, sudah 1 bulan 5 hari kamu berada jauh dari keluarga. Menjalani kembara ilmu ke bumi Mesir demi mengejar impian. Ya, impian untuk menjadi professional ustaz yang bisa diandalkan oleh agama. Adikku, terkenang saat –saat menghantarmu di lapangan terbang kelmarin. Waktu itu perasaanku berbaur antara suka dan duka. Suka kerana kamu mampu meraih kejora yang kau impikan. Melanjutkan pelajaran ke bumi ambiya’ dan memasuki university yang telah banyak melahirkan para ulama, cendikiawan dan cerdik pandai di dunia. Duka tatkala mengenangkan betapa jauh jarak yang bakal memisahkan kita. Dan mungkin juga kerana aku terlebih dahulu belajar di Negara orang, maka amat memahami betapa tidak mudah untuk beradaptasi dan saking banyaknya pancaroba yang menanti. Bukan aku tidak yakin padamu, tapi kerna kamu adikku, aku merasa tidak sanggup melihat kamu melalui lorong hidupmu sendirian mengharung kepayahan tanpa ada keluarga disisi. Namun aku tahu wahai adikku, lambat atau cepat, saat ini pasti kan tiba. Saat di mana keluarga harus melepaskanmu pergi. Memilih jalanmu sendiri. Mengejar impianmu meski ke penghujung dunia.

Wahai adikku,

Semoga kamu sentiasa tabah walau bagaimana bentuk ujian yang menghadang. Mungkin kamu pergi dengan gembira dan melihat semua tentang timur tengah itu indah, ketahuilah bahawa yang indah itu tak selamanya indah. Akan ada cabaran yang menantimu di depan. Maka persiapkanlah dirimu dengan kecekalan dan kesabaran. Semoga Allah membantumu dan melindungimu di segenap penjuru dirimu.

Adikku, bertemanlah dengan sahabat yang soleh. Kerana sahabat yang soleh itu akan menuntunmu ke syurga. Kamu akan berhadapan dengan pelbagai ragam masyarakat yang aneh lagi tenat. Melihat suasana-suasana jahiliyah yang tidak baik dan akan cuba untuk mempengaruhimu. Waktu itu adikku, hanya sahabat yang soleh yang mampu menyelamatkanmu. Mereka akan tetap menggenggam tanganmu dan menuntunmu untuk terus berada di atas jalan kebenaran. Sahabat-sahabat ini akan merawat cederamu dan akan menguatkan hatimu untuk terus berpegang pada tali Allah.


Adikku,

Bersungguh-sungguhlah dalam menuntut ilmu kerana ilmu itu pelita yang akan menerangi di kala pekat dan suramnya malam. Mungkin waktu-waktu awal ini masih dalam proses penyesuaian bahasa lantas kamu tidak mampu untuk memahami segala yang diajarkan oleh pensyarah (lecturer). Namun jangan pernah menyerah. Tingkatkan usaha dengan lebih gigih untuk mengulangkaji kembali apa yang telah diajarkan. Dewasa ini adikku, aku melihat budaya negative yang beredar di kalangan mahasiswa termasuklah mahasiswa perubatan iaitu “ponteng kuliah”. Fenomena ini wahai adikku, walaupun tampak simple (sepele), ia member dampak yang besar pada diri individu. Menghadiri kuliah itu, bisa membina sifat tanggungjawab dan berkomitmen di samping harus kita sedari bahawa tak selamanya bergurukan buku itu benar. Adakalanya bergurukan buku juga boleh jadi sesat lagi menyesatkan. Oleh itu harus ada murabbi, pendidik yang ahli yang mampu menjelaskan ilmu tersebut. Oleh itu adikku, berusahalah untuk tidak pernah ponteng walau dengan alasan apapun selagi tidak memudaratkan kesihatanmu.

Adikku, sekali kamu memutuskan untuk masuk ke bidang ini, bererti kamu sudah menandatangani kontrak belajar seumur hidup. Pantang menyerah dan tetap semangat walau apa yang mendatang. Tidak ada lagi istilah pergantian bidang, yang ada adalah menjadi pelajar perubatan yang baik. Bak kata pepatah Melayu “Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan”.

0 ulasan:

Catat Ulasan