Skinpress Rss

Jumaat, 29 Oktober 2010

BON ANNIVERSIRE IZYAN AYUNI

0


Izyan Ayuni.. Izyan Ayuni.. suatu tika dulu, nama itu sangat asing di pendengara. Namun hari ini nama itu bukan sekadar sebati dalam diri bahkan menjadi kerinduan di hati. Mengenalimu adalah suatu keajaiban. Bersahabat denganmu adalah rahmat Allah SWT yang amat bermakna. Hari-hari yang kita lalui, sarat menyimpan seribu satu kenangan terindah yang amat sukar dilupakan. Setiap hari mengenalimu ibarat lakaran seni yang mewarnai kanvas hidupku.

Masihkah kau ingat saat pertama tangan dihulur, menebarkan salam perkenalan. Katamu kau seolah mengenali diriku sebelum ini. bermula dari situ, takdir kian mendekatkan kita untuk bersahabat. Saat pertama aku menyertaimu berjalan meredahi Bandar Nilai untuk membaiki cermin mata, kita amat teruja untuk membeli makanan di kedai mamak As-Salam. Masihkah kau ingat saat kita terdampar kebosanan di hujung minggu, lantaran bebanan pelajaran yang kian galak menekan minda, kita sepakat menyewa kereta (mobil).. keluar bersiar-siar melepas stress.. hingga amal itu menjadi rutin hujung minggu kita buat beberapa ketika. Masihkah kau ingat di saat kita bersama ke pejabat Bendahari mendapatkan cheque biasiswa pelajaran dan menukarkannya sendiri di Bank Islam dekat asrama, disebabkan kesempitan waktu yang menjerut nadi, kau memecut laju kereta membuat hati dilanda bimbang yang teramat.

Sewaktu Ramadhan menjelma, kita sempat membeli pinggan mangkuk berserta rak yang kemudian membuatkan kita bangga lantaran memiliki peralatan rumah. Ibarat sebuah keluarga, kita berkongsi wang membeli makanan berbuka.. terkadang kita turun memilih makanan bersama. Walau sederhana kita tetap gembira ditambah paksaan dictator untuk menghabiskan lauk pauk di akhir waktu. Malamnya teramat indah diserikan dengan solat jemaah bersama di dataran terbuka.

Menjejaki semesta kedua, kita semakin serasi. Kerana kita punya banyak persamaan. Kerana kita punya kegemaran yang serupa. Pengembaraan mengikutimu pulang ke rumah adalah pengembaraan yang paling manis dalam hidupku. Kita membicarakan pelbagai hal untuk menghangatkan suasana. Dalam perjalanan pulang pula sempat singgah menunaikan solat di Masjid Sepang yang tersergam indah dengan panorama yang menggamit jiwa. Menghadiri kem komunikasi Bahasa Arab, itulah satu-satunya program rasmi yang aku sertai bersamamu. Bertapak di bilik yang sama, kita sangat girang menonton televisyen setelah penat mengasak fikiran dengan kemahiran bertutur dalam bahasa Al-Quran tersebut.

Izyan Ayuni..

Masihkah kau ingat sewaktu kita di amuk badai peperiksaan , kau mengajakku ke taman tema. Walau jam telah menganjak ke angka 10, kita tetap meneruskan agenda luar biasa itu. Kita menaiki mesin terbang.. pusingan pertama, dan kedua.. masih boleh bertahan.. masuk pusingan ke 3 dan seterusnya telah melumpuhkan sendi-sendi untuk bertahan. Namun ia tetap menyeronokkan.

Menjelang peperiksaan akhir semesta, kita sering bertapa di masjid menukar angin belajar ke tempat yang lebih tenang. Hari-hari yang meresahkan, hari-hari yang melenyapkan deria rasa mampu aku lalui dengan kehadiranmu disisi. ..

* Catatan ini kutulis saat selesai matrikulasi. Baru kubaca kembali mengenangkan hari ini adalah hari Istimewamu.. semoga sedikit catatan ringkas ini dapat mengingatkan kembali saat-saat bersama yang tak mungkin terulang tapi tetap segar diingatan..

Sahabatku, selamat ulangtahun kelahiran.. semoga Allah mencucurimu rahmat dan kebahagiaan hidup dunia akhirat..uhibbuki fillah..

0 ulasan:

Catat Ulasan