Skinpress Rss

Jumaat, 25 Jun 2010

Investigasi Lapangan: Nelayan Oh Nelayan!

0


Bismillahirrahmanirrahim...
alhamdulillah, segala puja dan puji ku persembahkan ke hadrat Rabbul Jalil kerana masih memberikan ku sedikit ruang kesempatan untuk menukilkan sebuah pengalaman yang mungkin berguna buat sesiapa yang membaca. bak kata Solikhin Abu Izzuddin : belajarlah dari pengalaman sendiri dan pengalaman orang lain.

22 June 2010, Allah telah memberikan peluang pada diri untuk mengikuti satu lagi aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti untuk pelajar tahun 3 perubatan Unhas yaitu Program Investigasi Lapangan berkaitan Occupational health. Kelompokku telah ditugaskan untuk membuat kajian tentang kesan dan risiko bagi orang-orang yang bekerja sebagai Nelayan..

Kami memilih lokasi Losari,kawasan pasar pemborongan ikan yang terbesar di Makassar. Sempat menemuramah 3 orang nelayan yang baru naik dari laut. Kata mereka, selalunya mereka akan keluar untuk menangkap ikan pada petang hari dan pulang semula ke daratan menjelang pagi. kebanyakan mereka menggunakan jala, pukat dan pancing untuk menangkap ikan. ada nelayan yang lebih selesa pergi sendirian dan ada pula yang cenderung pergi berkumpulan. Penghasilan yang mereka peroleh tergantung rezeki mereka pada hari tersebut. ada hari, memperoleh ikan dengan banyak sekali.. ada hari, tak memperoleh walau seekor ikanpun.

Rata-rata dari kaum nelayan ini mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai. ini mendesak para nelayan yang menjadi tulang belakang keluarga untuk membanting tulang tidak kira dalam cuaca apapun. ada yang sanggup meredah ombak besar, mengharung badai laut demi mencari sesuap rezeki. jarang sekali antara mereka yang memikirkan persoalan kesihatan dan keselamatan kerana tuntutan ekonomi yang lebih mendesak.

Apabila ditanyakan, adakah mereka punya peti keselamatan di perahu yang boleh digunakan saat kecemasan atau apa alat pelindung diri (APD) yang mereka miliki untuk mencegah dari kemalangan, mereka seakan terpinga-pinga. mungkin tidak pernah sekali pun terlintas di benak mereka untuk memiliki alat-alat tersebut.

Menurut teori yang kami pelajari di kuliyah Kesehatan Kerja, nelayan relatif lebih beresiko terhadap munculnya masalah kesihatan seperti kekurangan gizi, cirit-birit dan infeksi saluran pernafasan atas (ISPA), yang disebabkan karena persoalan lingkunan seperti sanitasi, air bersih, indoor pollution, serta sedikitnya prasarana kesehatan seperti Puskesmas ataupun Posyandu selain berisiko untuk mendapat penyakit kulit akibat terpajan sinar matahari dalam jangka waktu yang lama.

Status kesehatan nelayan digali dari beberapa karekteristik nelayan meliputi: umur, pendidikan, jumlah anggota keluarga yang menjadi tanggungan, pemakaian alat pelindung diri (APD), tersedianya alat-alat untuk mengatasi kerosakan mesin atau mengatasi bila terjadi badai,jenis kapal, jarak penangakapan, sarana menangkap ikan, lingkungan tempat tinggal (keadaan rumah, sumber air minum, jamban, pembuangan sampah, saluran pembuangan limbah/ got, penyimpanan alat penangkapan ikan), pelayanan kesehatan nelayan (pola pencarian pengobatan, pelayanan kesehatan yang diperoleh dengan pengeluaran untuk biaya kesehatan.

Melihat kehidupan para nelayan ini,kembali tersedar bahawa kita sebenarnya sangat beruntung,sekali santapan tak sah kalau tidak cukup masakan meja, sayur berjenis-jenis,buahan dan pencuci mulut sedangkan mereka para nelayan, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Amat susah untuk mencari sesuap rezeki yang halal. oleh itu, sama-samalah kita tingkatkan lagi rasa syukur kita kepada Yang Maha Kaya yang memberi rezeki tanpa dipinta.. yang melindungi kita dari bencana kelaparan dan ketidakcukupan.. dan dalam pada itu, ringankanlah tangan kita untuk membantu yang tidak mampu..sesungguhnya tangan yang memberi itu adalah lebih baik..

Tajdidkan Iman Dalam Tahajjud Cinta

0


“Naufal, bangun Naufal. Jom tahajjud. Dah pukul 4.45 pagi ni.”, Afif mengejutkan Nafik karibnya yang terlena setelah mengulangkaji subjek Bahasa Arab sampai larut malam. Mereka tinggal di asrama sebilik. Naufal sebelah katilnya.

Tak ada Respons. Penat sangat agaknya, Fikir Afif..

“Naufal, bangun Tahajjud,” kejutnya lagi. Terkebil – kebil mata Naufal memandang Afif yang menghadiahkan senyuman manis kepadanya.

Memang niat di hatinya sebelum melelapkan mata tadi untuk bangun bertahajjud bersama Afif. Tapi, agaknya lama sangat study tadi sambil pekena kopi Radix secawan, sampai badannya sekarang rasa letih. Mata pun mengantuk lagi.” Ana masih penat la akhi..”

“Masya-Allah, Naufal. Anta kena ingat, Allah sedang mencari mana hambanya yang rindu untuk bermunajat kepadanya. Allah rindu pada anta. Allah angkat tinggi tau darjat orang yang bertahajjud,” Naufal mengingatkan sahabatnya.

Memang kebiasaan bangun malam ini telah di amalkan oleh mereka berdua sejak mereka baligh lagi. Mereka sedaya upaya mencontohi panglima Solahuddin Al-Ayubi, Usamah bin Zaid dan syeikh Ahmad Al-Fateh(yang mengapalai pejuang Islam dalam Usia muda). Kerana mereka tahu, dalam bangun malam ada kekuatan. Waktu inilah, seorang hamba dekat dengan TuhanNya..

Tersentak Naufal. “Astaghfirullah…Ampuni aku. Aku sanggup bersengkang mata di hadapan buku, tapi aku tak sanggup bersujud di hadapanMu…”

“Terima kasih Afif”

Segera di hapuskannya rasa ngantuk dengan mengucap,“Alhamdulillahillazi ahyaana ba’da ma amaatana wa ilaihin nusyuur”. Lantas ke bilik air mengambil wudhu’. Dia pernah mendengar hadis yang lebih kurang mafhumnya begini, “Syaitan akan mengikat kita dengan 3 rantai supaya kita malas dan tidak mahu bangun subuh, baca Doa bangun Tidur, rantai pertama putus. Rantai kedua pulak, ambil wudhu’ dan rantai ketiga, mendirikan solat”.

Naufal keluar dari bilik air, dilihatnya rafik akrabnya sedang berdiri menghadap Ilahi. Terkumat – kamit mulut sahabatnya mengalun ayat – ayat suci Allah yang di hafaznya. Biasanya, mereka berdua akan membaca satu juzu’ Al-Quran dalam 2 rakaat Tahajjud. Direnung wajah sahabatnya tang sentiasa memancarkan ketenangan yang mendamaikan hati sesiapa sahaja yang memandangnya. Sahabatnya sentiasa menjaga solat Tahajjudnya dan ke mana – mana sahaja dia berada, mesti dia dalam keadaan berwudhu’. Mungkin ini lah rahsia Afif memiliki air muka yang jernih. Sahabatnya ini memang solleh. Aktif dan petah pula..

Tiba – tiba, terlihat air jernih yang mengalir lebat dari tubir mata Afif. Disusuli sedu – sedunya.Masya-Allah Afif. Kau memang beruntung. Jiwamu rapat dengan Allah. Kau sentiasa takut kepada Allah. Malah aku yang memerhatikan mu ini pun engkau tidak perasan sedikit pun. khuyukNya solatMu.

“Afif, kalau kau nak pergi Jannah(Syurga), Jangan tinggalkan aku”, desis hati Naufal..

Bergegas Naufal membuka jendela untuk memandang dada langit yang tidak bertiang untuk berdoa sepertimana Doa Nabi Muhammad sebelum melakukan Qiamulail. Bibirnya fasih membaca doa, “Inna fi khalqis samaawaati wal ardhi wakhtilaafil laili wannahaari la aayaatil li ulul albaab. Allazinayazkuru..(ila aakhiril aayat) “ ayat 190-194 surah Al-Baqarah.

Dihamparkan sejadah di belakang Afif. Dia mahu berimamkan remaja 16 tahun yang solleh di hadapannya itu.

Afif mengalunkan ayat – ayat surah Al-Furqan. Suaranya begitu jernih, fasih, tartil dan Indah. Menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya. Ayat demi ayat di baca. Sesekali terdengar esak tangisnya. Naufal pun turut larut dalam penghayatannya. Sampailah ia pada ayat enam puluhdan enam pulu enam :

“Wal ladziina yaquuluuna Rabbanasrif’anna’adzaaba jahannam, Inna ‘adzabaha kaana gharaama, Innaha saa’at mustaqarraw wamuqaama”

Afif membacanya dengan penuh penghayatan dan mengulang – ulang ayat itu dengan penuh perasaan. Ia menangis tersedu – sedu. Naufal di belakangnya turut menangis.

Setelah selesai membacaSurah Al-Furqan, mereka ruku’. Kemudian, sujud dengan air mata yang berderai.

Mereka mengadu kepada Tuhan yang mereka cintai. Mereka terlalu rindu untuk mengecapi kemanisan Iman itu. Bahagia memenuhi ruang jiwa mereka kerana dapat menangis di hadapan Allah yang Esa. Janji mereka berdua. Ingin mentarbiah diri bersama – sama. Kerana, mereka tahu, Syurga tidak mampu di masuki mereka tanpa sahabat fillah(bersahabat kerana Allah, dan sentiasa mengingatkan sahabat lainnya kepada Allah) di sisi.


*mudah - mudahan meningkat amal kita...., Tahajud Cinta, Tajdid Iman kita...


--
"(10)Wahai orang-orang beriman! mahukah kamu Aku(Allah) tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (11) (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan rasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri kamu, itulah yang terbaikbagi kamu sekiranya kamu mengetahui"( 61:10-11)


Hafizul amin

Ahad, 20 Jun 2010

Selamat Hari Ayah!

2


buat ayahku yang tercinta,
selamat hari bapa ku ucapkan. semoga sahaja Allah mengurniakan segala kebaikan dan keberkatan usia padamu selalu..

ayahku,
saat aku dilahirkan, kau sudah berada di sampingku, mengendong tubuh kecil dengan penuh rasa kasih sayang. kau membesarkanku bagai menatang minyak yang penuh. setiap hari menghadapi kerenahku yang pelbagai tidak pernah menghilangkan kesabaranmu. kau tetap tersenyum walau dalam kepenatan. kau menggagahkan dirimu menemaniku bermain walau dalam dalam keletihan.

ayahku, pengorbananmu menggunung tinggi. takkan pernah mampu untukku balas. andai dapat ku petik bintang-bintang di langit, pasti akanku hadiahkan buatmu. andai dapat ku gapai bulan yang bersinar cemerlang, tentu akan ku hadiahkan buatmu..

AYAH
by:ae-man

ketika kejauhan
masihku rasa hangat kasihmu ayah
betapaku rindukan redup wajahmu
hadir menemaniku

terbayang ketenangan
yang selalu kau pemerkan
bagaikan tiada keresahan

walau hatimu sering terluka
tika diriku terlanjur kata
tak pernah sekali kau tinggalkan
diriku sendirian

ketikaku dalam kedukaan
kau mendakap penuh pengertian
disaat diriku kehampaan
kau setia mengajarku
erti kekuatan

terpancar kebanggaan
dalam senyummu
melihatku berjaya
bilaku kegagalan
tak kau biarkan
aku terus kecewa
dengan kata azimat
engkau nyalakan semangat
restu dan doa kau iringkan

tak dapatku bayangkan
hidupku ayah
tanpa engkau disisi
semua kasih sayang
yang kau curahkan
tersemat dihati.....

-terima kasih ayah..aku bangga menjadi putrimu-

Khamis, 17 Jun 2010

BERSAHABAT MENUJU SYURGA

0



cepen ini dinukilkan atas banyak sebab.. antaranya yang paling penting adalah untuk mengingatkan diri sendiri dan sahabat-sahabat bahawa kita berteman bukan hanya untuk ketawa bersama.. malah lebih dari itu. kita bersahabat untuk saling menyelamatkan dari azab api neraka. jadi kita harus tetap menyampaikan kebenaran dan saling mendokong ke arah redha Allah.. buat sahabat-sahabatku.. sumber inspirasiku.. terima kasih kerana selalu mendokongku dan meneguhkan pendirianku.. uhibbukum fillah..

BERSAHABAT MENUJU SYURGA

Husna mencuit bahu Raudhah. Rasa tidak senang dengan berita yang didengarnya sewaktu mesyuarat tadi. Raudhah yang dari tadi khusyuk membaca buku Tazkiyatu Nafsi karangan Ibnu Qayyim al-Jauzi berkalih. Duduk menghadap Husna sebagai tanda menghargai sahabatnya itu.
“ada apa Husna?” Tanya Raudhah penuh kelembutan.
“Raudhah.. tadi dalam mesyuarat, anak-anak sibuk bercerita tentang Shafi dan Aiman Hakeem..” Husna mula bercerita sambil matanya memerhati reaksi wajah Raudhah.
“kenapa dengan mereka?” Raudhah bertanya kehairanan.
“ ala.. macam yang Husna pernah cerita pada Raudhah tempoh hari la.. mereka kata, Shafi dan Hakeem tu bercinta. Lagi parah bila sekarang, mereka dah mulai jumpa berduaan. Macam mana ni Raudhah? Husna tak sedap dengar mereka bercakap hal buruk berkenaan sahabat kita..”
Husna bercerita panjang lebar. Segala kegalauan yang melanda hatinya dimuntahkan pada teman sejatinya itu. Raudhah berkerut. Sukar untuk memenerima apa yang baru diperkatakan oleh Husna.
“Husna percaya ke? Dah tanya pada Shafi sendiri kedudukan sebenar?” Raudhah meminta kepastian.
“saya tak tahu la Raudhah. Nak kata percaya, takkanlah sahabat kita nak buat macam tu.. kalau nak kata tak percaya lansung, ramai sangat dah orang yang bercakap. Saya sendiripun pernah nampak mereka jumpa berdua..belum tanya lagi pada Shafi.. tak sanggup nak tanya” jawapan Husna seakan berat kepada percaya.
Raudhah menghela nafas “Husna ingat tak firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud : Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” Raudhah berhenti seketika.
“Syed Qutb ada menjelaskan berkenaan ayat tersebut dalam Tafsir Fi Zilal Quran, kata beliau seorang mukmin itu hendaklah mencari penjelasan atau kebenaran terhadap maklumat yang dibawa kepadanya.. Husna.. Allah sedang uji kita dengan ukhuwwah ini.. Husna tidak boleh cepat melatah. Husna ingat tak tingkat paling rendah dalam ukhuwwah?” Raudhah melontarkan persoalan.
“bersangka baik” jawab Husna ringkas.

Masing-masing diam. Berfikir. Husna beristigfar panjang. Terbangun dari ulit syaitan durjana yang membisikkan kejahatan dalam dirinya. Nyaris sahaja dia tersungkur oleh buruk sangka terhadap sahabat dunia akhiratnya sendiri. Sahabat sefikrah yang selama ini duduk bersamanya dalam halaqoh, dan berdiri bersamanya dalam menongkah badai perjuangan. Raudhah hanya memerhati. Yakin sahabatnya sedang bermuhasabah. Bangkit mentarbiyah diri kembali ke sistem Allah. Dia faham benar Husna. Berada dalam Perwakilan Pelajar yang tidak didasari dengan sistem Islam membuatkan sahabatnya itu harus berjuang tiap detik dan waktu untuk membezakan antara sistem Islam dengan system jahiliyah. Dalam siri perjuangan itu, adakalanya dia akan rebah.. tersungkur dek serangan yang bertubi-tubi menyerang diri.

_____________x x x __________________

Iman Shafi menyandar di kerusi. Buku Onkologi karangan Mat Watson hanya di pandang sepi. Muka surat 84 yang menceritakan tentang klasifikasi peringkat kanser payudara invasif yang dibuka sejak pagi tidak berkalih. Tiada suatupun yang dibacanya masuk ke kepala. Buku nota juga kosong. Sesekali mata melirik ke arah telefon bimbit di atas meja. Belum ada tanda-tanda mesej baru diterima. Shafi merengus. Mana Hakeem ni? Masih belum bangunkah? Sudah tiga mesej dihantar, satupun masih belum berbalas. Getus hatinya. Beep.. beep… Hah,mesej! Hati berbunga mekar. Segera telefon bimbit dicapai. Dengan tidak sabar menekan punat “BUKA” di telefon. “selamat pagi pujaan hatiku.. seindah suria yang mencapahkan sinarnya yang terang menderang, seindah itulah rasa kasih dan cintaku padamu bidadariku.. wahai angin pagi.. sapalah bidadariku..agar dia bisa tersenyum menghadap hari yang penuh dengan kebahagiaan.” Iman Shafi tersenyum lebar. Kata-kata romantis Hakeem benar-benar menyejukkan hatinya. Menyapu pergi bara-bara geram yang membuak didadanya sebentar tadi. Siapa sangka, ahli Majlis Tertinggi Persatuan Penyair Melayu yang digilai ramai itu akhirnya memilih dia untuk dinobatkan sebagai Ratu hati. Dan siapa juga pernah menyangka, Hakeem yang dibenci-benci, yang mendengar namanya sahaja dah bisa membuatkan Shafi naik darah, akhirnya menjadi pangeran impian yang dirinduinya siang malam.

Tok! Tok! Bunyi pintu diketuk dari luar. Shafi bingkas bangun membuka pintu. Wajah Izyan Ayuni dan Syarifah Sofea terjojol didepan pintu. Sopan bergaya dalam mini jubah dan tudung labuh. Keduanya mengekspresikan wajah terkejut bila melihat Shafi masih dalam pijamanya.
“lor..kok masih belum siap?” Sofea bertanya.
Shafi terkulat-kulat tidak faham. “ siap nak pergi mana pula pagi-pagi buta ni?” dia bertanya seraya melirik jam dindingnya. Baru pukul 9 pagi.
“eh..eh..buat-buat lupa pulak dia.. hari ni kan kita ada usrah kat rumah kak Fatimah, pukul 9.30 . Bukan tiap-tiap minggu macam tu ke? Buat tak biasa pulak..” Izyan membidik dengan ayat yang agak pedas.
Serta merta Sofea mencubit belakang Izyan. Walaupun dia dan Shafi memang sudah sedia maklum dengan mulut Izyan yang agak tidak berlapik, tetap Sofea tidak mahu membina jurang antara mereka dengan Shafi..
“Er.. Shafi ada kerja sikit la nak kena buat segera..mungkin..” Shafi teragak-agak. Alamak, teringat janji Hakeem untuk menghantar nasi ayam lalapan kegemarannya sebentar lagi. Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Sofea lebih dulu memotong
“Shafi.. dah dua minggu Shafi tak datang usrah. Semua orang dah rindu sangat pada Shafi..” Sofea cuba memujuk.
“ala Sofea ni.. kan kita hari-hari jumpa kat kelas. Tak pergi rumah kak Fatimah pun boleh jumpa. Bilik pun dekat.” Shafi masih beralasan.
“Shafi.. sahabat sefikrah sekalipun bila tidak duduk bersama dalam satu halaqoh, tidak duduk bersama untuk beriman, lama-lama akan tetap menjadi sahabat adat bukan lagi sahabat atas dasar iman. Shafi.. kalau lebih tiga hari hati tidak mendapat peringatan, ia akan mati.” Suara Sofea bergetar.
Shafi diam seketika. Benar kata-kata Sofea. Sudah dua minggu dia tidak menghadiri usrah. Dia sebenarnya malu. Malu pada Kak Fatimah, naqibahnya. Malu pada sahabat-sahabat seusrahnya. Bagaimana kalau mereka tahu tentang hubungan cintanya dengan Hakeem? Pasti mereka akan memandang serong padanya. Dia adalah seorang yang taat menghadiri usrah, pertemuan dalam rangka mendidik hati, menyucikan diri dari karat-karat jahiliyah. Tapi masih melakukan dosa dalam sedarnya. Itu semua gara-gara tidak mampu mentarbiyyah nafsunya sendiri. Dia malu pada dirinya. Tapi dia juga tahu, jika dia terus-terusan melarikan diri dari usrah dan sahabat-sahabat yang baik, tentu dia akan makin jauh terpesong. Bertelingkah panjang antara iman dan nafsu, antara kehendak dan keperluan, Alhamdulillah akhirnya najjah berpihak pada cahaya iman. Shafi nekad. Dia mesti menghadiri usrah hari ini. Biarlah walau apa yang bakalan terjadi, dia mesti memenangi ujian ini. Cepat-cepat dia masuk ke kamar untuk bersiap. “tunggu Shafi!” dia sempat berkata pada Izyan dan Sofea sebelum menghilangkan diri ke kamar persalinan. Sofea dan Izyan berpandangan. Masing-masing tersenyum bahagia.

Husna dan Raudhah telah sampai terlebih dahulu di rumah Kak Fatimah. Sengaja datang awal untuk membantu Kak Fatimah menyediakan makanan. Kak Fatimah sekarang sudah di tahun akhir pengajian. Alhamdulillah dalam kesibukannya bertugas di wad anestesi minggu ini, sempat meluangkan masa untuk mengendalikan usrah pada petang ini. Jika minggu-minggu sebelumnya, usrah dikendalikan oleh Ustazah Syauqah dari Azhar Center.

TING TONG! Loceng rumah bordering. Serentak, Husna dan Raudhah berpaling ke pintu. Kak Fatimah yang telah siap memakai jilbab merah jambu yang disesuaikan dengan jubah merah hati bergegas membuka pintu. Senyuman manis menghiasi wajah putih mulusnya tatkala retina mata menangkap imej adik-adik mutarabbinya. Izyan, Sofea dan Shafi dirangkulnya erat sebagai melepaskan bebanan rindu yang memberat di pundak. Usai salam jamaie, mereka dijemput masuk.

Segera usrah dimulai oleh Husna selaku Pengerusi Majlis pada minggu ini. Lantunan ayat-ayat suci Al-Quran surah Al-Imran ayat 1-100 dibaca satu persatu secara tadarus. Sofea menghuraikan tafsir ayat-ayat tadarus tersebut sebelum majlis diteruskan dengan sesi sirah tentang Miqdad bin Amr oleh Izyan. Miqdad adalah pemuda ketujuh yang beriman kepada Allah yang Esa seawal dakwah Rasulullah SAW. Beliau terkenal disisi Allah disebabkan oleh sikapnya yang begitu menjaga tutur katanya dan tidak mudah membuat tanggapan terhadap orang lain. Panah tarbiyah menusuk hati Husna tatkala merenung keperibadian Miqdad. Diam-diam membina azam di dalam hati untuk mencontohi akhlak mulia yang ditunjukkan oleh pemuda syurga tersebut.

Setelah sesi sirah, Husna mempersilakan Kak Fatimah untuk menyampaikan materi tarbiyah. Dengan tertib, kak Fatimah memulakn bicara. Tajuk hari ini adalah ukhuwwah fillah (persahabatan kerana Allah). Imam As-Syahid Hassan al-Banna dalam Majmuk Rasa’il menjelaskan :
“Yang saya maksudkan dengan ukhuwah islamiyah ialah hati dan jiwa terikat dengan ikatan aqidah. Aqidah merupakan titik paling kukuh dan bernilai. Kekuatan pertama setelah aqidah adalah kekuatan perpaduan dan tidak ada perpaduan tanpa kasih sayang.”
Ikatan aqidahlah yang mengikat antara hati orang Islam- bukan ikatan darah, keturunan, bangsa, kebendaan, kroni dan sebagainya. Ikatan ini adalah yang paling kukuh. Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 103 yang bermaksud :
“dan berpegang teguhlah dengan tali Allah (Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, serta ingatlah nikmat Allah suatu ketika dulu(ketika Jahilliyah,) kamu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hati-hati kamu, lalu jadilah kamu dengan nikmat Allah tersebut orang-orang yang bersaudara. Dan ketika kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatnya agar kamu mendapat petunjuk”
Ukhuwwah yang minimal adalah salamatus sadri yaitu sejahtera jiwa sesame muslim. Seorang mukmin itu tidak mempunyai sebarang halangan dengan saudaranya. Wujud saling percaya mempercayai, tiada syak wasangka, tidak curiga. Ukhuwwah yang paling tinggi adalah al-ithar iaitu seorang muslim melebihkan saudara seislamnya melebihi dirinya sendiri. Ukhuwah itu adalah anugerah dari Allah kepada orang beriman. Ukhuwwah sentiasa melazimi iman. Tiada ukhuwwah tanpa iman dan tidak sempurna iman tanpa ukhuwwah. Firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat 62-63:
“Dialah yang memperkuatkan kamu dengan pertolonganNya dan dengan para mukmin dan DIA lah yang menyatukan hati-hati mereka. Sekiranya kamu membelanjakan semua kekayaan yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati-hati mereka akan tetapi Allah telah menyatukannya. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”

Paling penting dalam prinsip berukhuwwah adalah saling berpesan-pesan kearah kebenaran dan kesabaran sepertimana telah dijelaskan dalam Surah al-Asr dan tetap bersabar bersama-sama dengan sahabat-sahabat yang soleh yang menginginkan kebaikan dunia akhirat. Semua khusyuk mendengar. Subhanallah.. kata-kata sakti yang menusuk tangkai hati. Walaupun materi ukhuwwah ini sudah acap kali dilalui, namun kali ini, seakan sangat berbeza. Seakan mendapat teguran lansung dari Allah. Suasana hening.
Ahli usrah diam menghitung diri masing-masing. Betapa khilafnya mereka pada sahabat. Betapa dangkalnya fikiran mereka dalam memahami makna sebenar ukhuwwah.
“Husna nak buat luahan rasa..” Husna memberanikan diri. Kak Fatimah sekadar mengangguk membenarkan. Husna menelan air liur.
“Shafi, sebelum Husna mula, Husna nak mohon ampun pada Allah dan minta maaf sangat pada Shafi andai ada luahan Husna yang bakalan melukai Shafi” dada Shafi berdebar. Seakan dapat menebak apa yang mahu dibicarakan oleh temannya. Ah, pasti Husna sudah tahu. Husna yang bergiat dalam Perwakilan Pelajar di sini pasti tentu sahaja telah lama mendengar berita ini. Iman Shafi pasrah. Dia tahu lambat atau cepat, dia akan menghadapi juga saat ini.
“ begini Shafi, Husna dengar Shafi dan Aiman Hakeem telah terperangkap dalam jerat percintaan. Ramai yang bertanya.Husna tidak tahu harus berkata apa sedang Husna sendiri tidak jelas dengan kondisi Shafi.. sejak belakangan ini pun, Husna lihat Shafi seakan mahu menjauhkan diri dari kami.apa sebenarnya yang dah berlaku? ” Empangan air mata yang dibina Husna sejak tadi pecah jua. Menggugurkan manik-manik jernih dari kelopak mata.
“ Shafi, sebenarnya Yan dan Sofea pun pernah ternampak Shafi dan Aiman Hakeem jumpa berdua di Satpam beberapa kali. Cara Shafi bercakap dengan Hakeem mengundang rasa tidak kena di hati kami. Tapi Sofea kata jangan terlalu percayakan mata..kerana indera terkadang jua menipu.., tapi Shafi.. roh ukhuwah yang terbina antara kita mengatakan ada yang salah dengan itu..” Izyan juga gagal mengawal emosinya. Air mata menitis mewakili perasaan yang diamuk badai kesedihan. Shafi hanya mendiamkan diri.
Di matanya terbayang saat awal perkenalannya dengan Hakeem. Dulu dirasakan Hakeem adalah seorang yang nampak sok alim padahal benar-benar tidak faham tentang Islam. Idea yang dilontarkan berkenaan program yang bakalan dianjur Persatuan Penyair Melayu sangat kebudakan jauh sekali menepati syariat. Berada dalam barisan jawatankuasa perancang program bersama Hakeem amat memenatkan. Perangai Hakeem yang keras kepala membuatkan Shafi terpaksa belajar bertolak ansur. Berusaha mencari titik persamaan dengan Ketua Tim Perancang tersebut. Akhirnya usaha Shafi kian menampakkan hasil.

Hakeem yang awalnya sering menolak mentah-mentah idea Shafi yang dianggap terlalu Islamik sudah boleh di ajak berbincang. Shafi gembira dengan perubahan itu. Dia terlena dari sikap waspada. Hingga tidak sedar bahawa itu adalah permulaan kepada ujian Allah yang maha berat ke atas dirinya. Mengharung program demi program membuatkan mereka makin rapat. Hubungan mula berubah rentak. Bermula dari SMS, bergayut di telefoon dan akhirnya tiada lagi rasa segan untuk bertemu berdua. Astagfirullahal azim. Shafi seakan baru tersedar dari lena yang panjang. Rasa berdosa menjalar ke urat nadi seakan tiada harapan lagi untuk mengintip sebuah kemaafan. Dalam kemelut jiwa yang melanda, dalam badai dosa yang menghempas ganas pantai hati, Shafi menggagahkan jua lisannya. Mengkhabarkan kepada sahabat-sahabatnya apa yang sebenarnya terjadi.

Sebaik mendengar pengakuan Shafi, semua terdiam.tidak mampu berkata walau sepatahpun. Rasa kasihan menjalar memenuhi rongga dada. Shafi sudah dipertengahan jalan dan mereka harus berbuat sesuatu untuk menariknya kembali.
“Shafi sudah berdosa pada Allah. Shafi menyesal atas kebodohan Shafi. Masihkah Allah akan memberi ampunanNya pada Shafi?” Shafi merintih penuh kehibaan.
“Shafi.. rahmat dan keampunan Allah itu begitu luas, mencakupi langit dan bumi.Allah sentiasa membuka pintu taubatNya di malam hari, supaya orang yang berdosa pada siang hari bisa meminta ampunan dariNya dan DIA membuka pintu taubatnya pada siang hari, supaya orang yang berdosa pada malam hari bisa memohon ampunan dariNya. Asal sahaja hambaNya mahu kembali padaNya..” kak Fatimah berkata lembut. Tangisan Shafi semakin rancak. Terasa kasih sayang Allah memenuhi jiwa. Jalannya yang selama ini kelihatan kabur berkabus dosa seakan diterangi mentari pagi yang mencapahkan kehangatannya, mengiringi perjalanan yang akan dilalui.

“Shafi, apa yang akan Shafi lakukan selepas ini? bagaimana dengan Hakeem?” Sofea yang dari tadi hanya mendengar mencelah. Benar kata Sofea. Apa yang harus dilakukannya? Kalau mahu berkahwin sekarang macam tak mungkin. Kalau mahu memutuskan perhubungan, perasaannya pada Hakeem sudah utuh. Sebelum ini pun dia dan Hakeem ada berbincang untuk lebih menjaga hubungan mereka namun syaitan dan nafsu lebih kuat menumpaskan iman. Tambahan pula, pasti Hakeem akan menyalahkan usrahnya seperti awal-awal dulu.
“Shafi pun tak tahu. Shafi tak nak nanti dia salahkan usrah kita kalau Shafi minta putus. Tapi Shafi pun tak nak Allah tarik keberkatan dalam hubungan kami. Hakeem tu, dia tak faham soal keberkatan, soal mencari redha Allah. Tapi dia hajat untuk belajar.” Iman Shafi buntu.
“InsyaAllah kalau dia hajat pada Islam, akak akan cakap pada Hasan, mas’ul usrah banin untuk bimbing dia. Kita usaha dan selebihnya tawakal pada Allah. Kalau Allah nak bagi dia hidayah, walau satu dunia menghalang, tentu Allah tetap akan beri begitu juga sebaliknya.” Ujar Kak Fatimah dengan yakin.
“Shafi, kalau soal dia akan membenci usrah kita,Shafi jangan bimbang sebab kita semua jelas dengan apa yang kita buat. InsyaAllah kita akan mengharungi dugaan ini bersama-sama. Yang penting kita bergandingan tangan untuk mencari redha Allah. Kalau salah seorang antara kita terjun ke jurang berbahaya, yang lain pasti akan terjun sama untuk mamaut tangannya kembali ke jalan yang benar.kerana apa? Kerana kita berkawan atas dasar iman. Berteman untuk mendaki tingkat taqwa. Bersahabat menuju syurga..” Raudhah menenangkan.

Iman Shafi lega. Di hatinya sarat dengan rasa syukur atas kebaikan yang Allah kurniakan padanya. Rasa bertuah kerana Allah masih menyayanginya. Masih menetapkan hatinya dalam cahaya iman. Dikurniai sahabat-sahabat soleh yang berukhuwwah hanya kerana Allah, setia di sampingnya, menghulurkan tangan tatkala jatuh, memaut dia tatkala tersasar. Tentang Hakeem, kalaulah benar, dia adalah jodohnya yang telah tertulis di Loh Mahfuz, semoga Allah mempertemukan mereka kembali dalam keadaan yang lebih baik. Buat masa sekerang, dia hanya ingin bergandingan tangan dengan sahabat-sahabatnya menegakkan amar makruf dan nahi mungkar, berjalan bersama menuju syurga…

Sabtu, 12 Jun 2010

Demostrasi Palestine

0


Tanggal 6 June 2010, berkesempatan menghadiri demostrasi bebaskan Palestine yang diadakan di hadapan Hospital Pleumonia, dekat MTC, Makassar, Sulawesi Selatan anjuran Partai Keadilan Sejahtera (PKS). Ini merupakan pengalaman pertama kami berlima menghadiri demostrasi di sini. Sebelum ini, kami hanya melihat adanya demostrasi atau dalam bahasa Indonesia, aksi/pembentrokan di layar television. Takut juga sebenarnya mahu mengikuti demostrasi di sini kerana selalunya mereka sangat agressif bertindak hingga menyebabkan kecederaan, merosakkan harta benda awam dan sebagainya.

Apa yang berbeza dengan demostrasi “Bebaskan Palestine” ini adalah tempat perkumpulan lelaki dan perempuan di asingkan sama sekali. Agar muamalat lebih terjaga. Muslimin di bagian sayap kanan dan muslimat di bagian sayap kiri. Hal yang sangat jarang dilakukan oleh pihak penganjur lainnya.

Sangat berbekas di hati apabila melihatkan sekawan ibu memimpin dan menggendong anak masing-masing yang masih kecil untuk ikut sama menyertai program tersebut. Mungkin dalam fikiran ibu-ibu ini, mereka ingin anak-anak merasai suasana yang soleh dan mendidik anak mereka untuk peka dan sensitive dengan isu ummah sejak dari kecil. Golongan wanita yang semakin melewati usia senja juga tidak mahu mengalah. Tetap bersemangat melaungkan takbir dan slogan “bebaskan Palestine” sambil mengibarkan bendera Palestine,seakan terlupa tentang kekangan fisikal dan kesihatan. Semuanya demi menunjukkan rasa peka mereka kepada saudara seagama.Pemudi-pemudi dari segenap penjuru Makassar juga tak ketinggalan untuk turun padang membanjiri dataran.

Sempat berkenalan dengan beberapa pemudi dari Universitas Islam Makassar (UMI) dan juga dari Azhar Center. Perbualan mereka berkisar seputar masalah ummat Islam dan kezaliman yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap relawan dalam kapal Mavi Marmara baru-baru ini. tentang terkorbannya insan tak berdosa yang berhati mulia untuk menghulurkan tangan kepada yang memerlukan. Tentang kebiadapan zionis laknatullah yang secara terang-terangan menyerang kapal bantuan kemanusiaan sambil diperhatikan oleh seluruh dunia. MasyaAllah,suatu suasana yang cukup mendidik diri.

Jika dilihat pemuda hari ini, kebanyakan dari mereka hanya sibuk dengan urusan sendiri, berputar di lingkungan hal-hal sepele, hiburan yang melampau, pergaulan yang tak terjaga serta banyak lagi urusan dunia yang tak pernah habis.
Sempat berbincang dengan sahabat-sahabat sebelum pulang, betapa luasnya kasih sayang yang terpatri kerana Allah. Ianya merentasi sempadan Negara dan benua, nusa dan bangsa, adat dan budaya, tua dan muda. Sepertimana ia merobohkan tembok 1`Malaysia dan Indonesia Raya pada hari ini. Buktinya, kita pada hari ini, berkumpul dalam satu medan, atas rasa kasih dan cinta kita pada saudara-saudara kita. Demi melahirkan kepekaan dunia pada kekejaman yang bermaharajalela.

Subhanallah. Bagaimana mungkin kita mampu mengalirkan air mata untuk orang yang tak pernah kita kenali?, bagaimana mungkin para relawan misi kemanusiaan sanggup mempertaruhkan jiwa raga mereka untuk membantu bangsa yang tak pernah terhubung dengannya oleh ikatan biologi? Sanggup menanggung resiko besar, meninggalkan anak dan isteri, jawatan dan perkerjaan demi orang-orang yang tak pernah ditemui? Itulah kekuatan cinta atas dasar Aqidah. Cinta yang merobohkan segala tembok perbezaan. Cinta yang meruntuhkan benteng penghalang. Kekuatan cinta atas sandaran iman. Itulah kekuatan yang disalurkan oleh Rabbul Jalil, penguasa seluruh alam.

Jualan Amal, Membeli Sambil Menderma

0


5 june 2010, mencatat sebuah lagi sejarah di kanvas hidupku. Diri bersama-sama sahabat seperjuangan telah membuka sebuah gerai “Untukmu Palestine” sebagai salah satu inisiatif mengumpulkan dana bagi tabung Viva Palestine Lifeline for Gaza.

Pertama kalinya kami menceburi bidang jualan cendera hati setelah beberapa kali gagal dalam bidang perniagaan makanan. Nak katanya semua dari kami, jenis yang pemurah.. jual banyak dan murah kerana kasihan pada pembeli, siapa yang tak mahu..akhirnya kami yang menanggung kerugian.

Barangan jualan cendera hati ini di bekalkan oleh kakak Z yang sememangnya sangat pakar dalam bidang ini. Kami juga berusaha untuk menyediakan CD kompilasi nasyid Palestin dan nasyid-nasyid perjuangan di samping video-video tentang LL4G baru-baru ini. Kerana ramai di kalangan komuniti Malaysia di sini, jarang bahkan ada yang sama sekali tidak cenderung untuk mendengarkan nasyid. Ya, mungkin disebabkan kurang pendedahan dan kurang kesedaran. Jadi ,kami berinisiatif untuk mengetuk pintu hati mereka dengan nasyid-nasyid yang menyegarkan sebegini. Bak kata salah seorang sahabatku, biarlah apa yang kita lakukan itu, boleh mendidik masyarakat. Sesuai dengan slogan kita “berakhlak, mendidik dan berbakti”. Selain itu juga kami sempat menyediakan pin Palestine dan juga penanda buku.

Sepanjang masa persiapan untuk menghasilkan barang jualan, banyak sangat pertolongan Allah yang datang. Bayangkan, hanya 2 hari sebelum hari kejadian kami merancang, seolah mustahil untuk dilaksanakan dalam masa yang terdekat. Namun kami tetap menanamkan rasa positif pada Allah. Rasa “insyaAllah boleh”. Jadi “insyaAllah” itu memomentumkan kami berlima supaya terus menggandakan usaha untuk merealisasikan impian itu. Dan berserta dengan usaha, kami iringkan dengan doa yang melaut luas, sarat dengan pengharapan.

Dan sesungguhnya, pertolongan Allah itu amat dekat. Barangan mentah yang kami cari, senang pula untuk diperolehi. Tempahan pin yang selalunya memakan masa berhari-hari, dapat di siapkan dalam masa beberapa jam. CD yang asalnya mahu kami lekatkan menggunakan kertas biasa, akhirnya terjumpa pula pelekat CD yang terjual dengan harga yang murah. Begitu juga penanda buku, asalnya mahu di buat design sendiri akhirnya terjumpa design yang telah dibuat oleh sahibah. Lumayan cantik. Tinggal siap dicetak. Kerja menjadi lebih ringan dan menjimatkan lebih banyak waktu. Pokoknya, persiapan berjalan dengan sangat lancar.

Di samping gerai jualan, kami juga membuka kaunter penerangan yang dipertanggungjawabkan pada salah seorang sahibah yang Allah izin sangat hebat kemahirannya berbicara. Persiapan dan kekuatan semangatnya menyampaikan maklumat tentang penindasan terhadap rakyat Gaza serta perkembangan LL4G telah menarik ramai orang dari semua golongan untuk mendengarkannya. Tidak kira senior yang telah bertugas di rumah sakit, junior yang masih di pre-klinikal, rakan seangkatan, doctor-doktor Indonesia, residen dari rumah sakit, mahupun orang kenamaan yang turut hadir bersama delegasi Dato’ S dari Malaysia. Kalau tidak orang yang datang padanya, dia yang mengajak mereka untuk mendengarkan. India, Melayu, pakai ketayap atau topi sudu, seluar pendek atau panjang, semua dilihat dari kaca mata kasih sayang dan potensi. Dengan sabar dan bersemangat menerangkan satu persatu rentetan kezaliman yang menimpa saudara seagama kita di tanah bertuah palestin. Semoga Allah terus memberi kekuatan pada sahibah ini..dan pada kita semua..untuk menegakkan agamaNya..

1 Malaysia, Gagasan yang Wajar didokong?

2


BERSATULAH WAHAI BANGSAKU

Wahai bangsaku,
Jangan kau nyalakan api perkauman,
Jangan kau hangatkan bara permusuhan,
Kerana itu akan membawa kepada perpecahan,
Menuntun masyarakat kea rah kemusnahan.
Sejarah telah banyak mengajar kita,
Tragedi 13 Mei melahap nusa,
Meranapkan kemakmuran Negara,
Perpecahan,
Melemahkan institusi penguasa,
Merundum rakyat ke dalam sengsara.
Ayuh bersatu wahai bangsaku,
Bersama kita mengorak langkah satu per satu,
Tanpa mengira India, Cina atau Melayu,
Iban, Kadazan, Bajau mahupun Maluku.
Kita ciptakan perubahan,
Kita lakarkan peradaban,
Kita lestarikan pembangunan dan kemajuan.
Perkenalkan Malaysia di arena antarabangsa,
Harumkan nama Negara di mata dunia..

Puisi ini adalah puisi asal yang ku tulis untuk pertandingan puisi 1 Malaysia yang diadakan di Makassar baru-baru ini. Menulis tanpa perasaan. Hanya nukilan sepi untuk memenuhi persyaratan pertandingan yang terpaksa di masuki tanpa persiapan. Puisi ini kemudian dah di ‘touch up’ dan diberi nafas baru oleh seorang pakar puisi sebelum di hantar ke pengadilan.

Ntahlah tak faham dengan konsep yang nak diketengahkan oleh 'satu Malaysia' ni. sekali dikatakan sebuah gagasan era baru. lain kali pula cakap, cuma slogan untuk memupuk perpaduan rakyat. mana satu yang betul? pening. Jika benar sebuah gagasan, tentulah ia akan merubah sistem. Hak diberi sama rata, kekayaan dikongsi bersama. satu bangsa, satu bahasa. Tapi kalau cuma sebuah slogan, maksudnya apa?

Khamis, 10 Jun 2010

ANTRAX RESEARCH

0




Alhamdulillah.. segala puja dan puji ku persembahkan buat Al-Khaliq yang membenarkan hidung untuk terus menghirup udara segar, membenarkan trakea untuk terus terbuka dan seterusnya paru untuk terus mengembang memberi laluan masuk pada molekul-molekul oksigen yang akan digunakan untuk sel berespirasi . selawat dan salam buat junjungan agung Rasulullah SAW yang menunjuki kita jalan yang lurus, ahli bait, para sahabat, tabien, tabi' tabien , para ulama' dan ilmuan, para syuhada' seterusnya para pejuang agung kebenaran dari semalam, hari ini hingga hari qiamat..

Dengan rahmat dan keizinan Allah, semalam, diri berkesempatan mengikuti salah satu program yang di rancang oleh pihak universiti untuk pelajar tahun 3 perubatan di UNHAS yaitu membuat kajian dan penelitian tentang penyakit wabak di salah satu Pusat Kesihatan Masyarakat (PUSKESMAS) daerah Tamangapa, Antang kira-kira 15km dari kota Makassar. kelompok kami telah ditugaskan untuk membuat kajian tentang Antax. Antax secara umum adalah suatu penyakit infeksi bacteria Bacillus anthracis yang bisa tertular pada manusia melalui saluran pernafasan, saluran pencernaan atau melalui kulit. penyakit ini sangat jarang dan merbahaya bak kata masyarakat setempat "penyakit langka". penyakit seperti ini walau hanya timbul 1 kes sudah di anggap wabak disebabkan ia boleh merebak secara progressif dan masif.

Dari PUSKESMAS tersebut, kami ditemani oleh seorang Ibu petugas di tempat tersebut ke rumah penderita Antrax. Bapak A yang berusia sekitar 40-an, bekerja sebagai penternak lembu. bapak ini di suspek menghidap Antrax pada tahun 2006 di mana kejadian bermula apabila dia mendapat luka di bahagian tangan akibat kecelakaan motosikal kemudian terkena percikan darah lembu yang sehari sebelumnya dikatakan melompat-lompat kemudian mati mendadak. keadaan lebih parah apabila bapak A dan keluarga mengkonsumsi daging lembu yang sakit tersebut. tangan beliau mulai membengkak dan melecur sebelum bagian tengah luka bertukar menjadi kehitaman. ciri khas antrax di kulit. apabila beliau ke PUSKESMAS, beliau segera dicurigai mengidap antrax, menyakit yang mampu meragut nyawa.

Sejak itu, khabar angin mula beredar memenuhi hawa Tamangapa. hingga sampai ke pengetahuan pihak media massa yang sememangnya sentiasa mencari berita ke mana sahaja. keluarga bapak A mulai didatangi para wartawan tidak kira malam atau siang,subuh maupun senja. sikap provokatif para wartawan yang menyatakan bahawa usia hayat bapak A tinggal menghitung hari amat memberatkan pundak keluarga tersebut..bayangkan sahabat-sahabat, bagaimana perasaan seorang ketua keluarga yang baru merangkak ke usia pertengahan apabila mendengar berita yang amat menyayat hati ini.. bagaimana pula perasaan sang isteri yang hanyalah seorang suri rumahtangga bila mendegar bahawa jangka hayat suami tercinta hanya tinggal sedikit? bagaimana pula nasib anak-anak kecil yang masih memerlukan sosok ayah mereka?

Ada ibrah yang dapat di pelajari di sini.. kenapa kakitangan medis di ajar kemahiran menyampaikan berita yang buruk kepada pesakit. supaya pesakit tidak bertambah parah sakitnya. memberi mereka ruang dan peluang untuk menerima takdir dan membina sedikit harapan di celah pilar kehampaan. Di sinilah juga kelihatan betapa pentingnya kita menjaga lisan kerana lisan yang tidak terjaga akan melukakan orang lain dan hanya menambahkan kepedihan di hati yang menanggung.. Rasulullah SAW menganjurkan kita supaya berfikir dahulu sebelum bercakap.. bak kata pepatah melayu, "kerana mulut badan binasa" dan "terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata, buruk padahnya"

Setelah bapak A , 2 lagi suspek dicurigai menghidap penyakit yang sama beberapa hari setelah itu, kakak iparnya serta seorang anak berusia 3 tahun. hal ini cukup memberi impak yang besar pada masyarakat setempat. mereka dilanda ketakutan untuk memakan daging lembu. PUSKESMAS Tamangapa bertindak segera melakukan pembenterasan penyakit ini dengan melakukan pencegahan "Door to door" yaitu memberikan antibiotik amoxicillin 3 x 1 pada orang dewasa dan 3 x 1/2 pada anak-anak di 2 kelurahan untuk mencegah penularan penyakit. selain itu di jalankan juga program penyuluhan untuk memberi informasi kepada masyarakat tentang penyakit ini.

akibatnya dari kejadian antrax ini, peniaga kerugian, masyarakat kekurangan sumber makanan dan sebagainya.. pemusnahan lembu secara masif dilakukan dengan memotong lembu-lembu yang mempunyai gejala yang mengarah ke antrax dan dikuburkan di tempat khusus. kawasan di atas kuburan di tabur dengan racun agar rumput tidak dapat tumbuh. kerana dikhuatiri rumput yang tumbuh atas daging yang tertular penyakit akan membawa gelombang wabak yang baru. namun apa yang mengagetkan masyarakat apabila daging-daging lembu yang ditanam tersebut hilang pada keesokan harinya dicuri oleh segelintir pihakt yang tidak bertanggungjawab.

daging yang berjumlah hampir 100 kg itu sudah pasti akan memberi keuntungan yang berlipat ganda. namun perbuatan yang tidak sivik ini tanpa disedari boleh menyebabkan penyakit antrax menjadi epidemik di beberapa tempat di seluruh Indonesia. bayangkan daging ini dijual ke mana-mana di serata Indonesia dan orang-orang yang tidak bersalah membelinya tanpa ragu. daging di kosumsi dan sebagai akibatnya menularlah penyakit antrax yang menakutkan menukarkan denah Indonesia yang indah menjadi selubung jurang kematian yang begitu menggerunkan.

Namun alhamdulillah.. Allah masih melindungi negeri ini..penyakit tersebut ternyata tidak tersebar luas. malahan, ia mulai terkubur sebulan kemudian..