Teladan sepanjang jalan dakwah. Dalam menelusuri jalan dakwah ini kita amat memerlukan kepada figure-figur yang boleh kita contohi untuk terus thabat (tetap) dan istiqamah di atasnya. Sepertimana Allah memberikan kita satu figure yang amat sempurna dalam mempelajari Islam itu sendiri yakni Junjungan Agung, Rasulullah SAW..
Al-Quran telah mengarahkan Rasulullah S.A.W. supaya mendidik hati, fikiran, perasaan, tingkahlaku dan akhlak manusia ke paras yang lebih tinggi dan mulia. Seterusnya, membentuk ummah dan membina daulah. Itulah hakikat Rasul diutuskan. Itulah contoh yang terbesar.
Hasilnya, dengan kurniaan Allah S.W.T. jua, Rasulullah S.A.W. telah berjaya mengubah corak hidup manusia yang serba pincang kepada corak hidup yang sempurna, aman, damai, bahagia dan bercahaya di bawah sistem yang ditanzilkan(diturunkan) Allah S.W.T. Akhlak dan keperibadian Rasulullah S.A.W. memainkan peranan utama dalam perlaksanaan tanggungjawabnya. Firman Allah S.W.T.:
Terjemahannya:
"Adalah pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagi sesiapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah dan Hari Akhirat, dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya".
(Surah Al Ahzab ayat : 21)
Kepimpinan dan contoh yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. telah memperlihatkan 'Amal Kulli dan Mutawazin. Amal yang merangkumi semua aspek kehidupan baik dari sudut fikri mahu pun dari sudut siasi. Natijahnya, lahirlah satu ummah yang terpimpin dengan roh al-Quran. Al Qur'an sentiasa mengalir di dalam jiwa-jiwa mereka dan memimpin hati-hati mereka hingga tunduk dan patuh kepada Allah S.W.T. dan rasulNya sahaja. Natijahnya juga, mereka tidak memilih nilai-nilai yang lain selain daripada nilai yang telah diajar oleh Rasulullah S.A.W.. Mereka telah mempersaksikan keperibadian yang agung dan tinggi hingga keperibadian itu tidak terjejas apabila bertembung dengan berbagai-bagai suasana. Mereka tetap beradab dengan Allah S.W.T. dan Rasul-Nya samada sewaktu senang atau susah, aman atau damai, bahkan dalam suasana perang dan genting.
Sepertimana Rasulullah SAW yang ditarbiyah secara lansung oleh Allah SWT hingga melahirkan suatu akhlak yang agung yang menjadi contoh panutan seluruh alam, para sahabat yang melihatnya lantas menjalani proses tarbiyah di bawah bayangan Rasulullah SAW hingga yang terhasil adalah generasi Al-Quran yang unik. Generasi para sahabat ini kemudiannya menjadi contoh teladan terhadap generasi tabien yang tidak pernah menatap wajah Rasulullah SAW. Tetapi dengan model akhlak dan contoh teladan yang menghiasi peribadi para sahabat hingga generasi tabien juga merasai betapa dekatnya mereka dengan Rasulullah. Begitulah seterusnya dan seterusnya hingga kepada kita hari ini. Kerna adanya orang yang rela dididik untuk kemudiannya mendidik orang lain, maka aqidah Islamiyah dan akhlak yang mahmudah (terpuji) tersebar dari generasi ke generasi.
Itulah kuncinya. Melahirkan generasi yang hebat harus bermula dengan mewujudkan peribadi (sosok) yang hebat. Kita sebagai kakak, harus menjadi teladan kepada adik-adik di rumah. Kita sebagai senior, harus menjadi teladan pula kepada junior-junior di bawah kita. Nantinya kita sebagai ibu, menjadi teladan pula kepada anak-anak kita. Begitulah seterusnya dan seterusnya. Ibarat mata rantai yang takkan terputus sampai kepada generasi yang akan datang. Segalanya bermula dari diri kita.
Menjadi kakak atau senior yang lebih tua bukanlah pilihan. Kerna kita hanya mematuhi sunnatullah yang telah tercatat di Loh Mahfuz. Menjalani kitaran hidup yang senantiasa bergerak. Namun menjadi kakak/ senior yang baik dan soleh/ah itu adalah pilihan. Memang tidak mudah. Kerna hakikatnya kita manusia lemah yang cepat lupa. Sering perlukan bimbingan dan petunjuk untuk tetap berada di atas jalan yang benar. Namun tiada salahnya jika kita berusaha sekuat tenaga dan memeras akal fikiran kita untuk menjadi teladan yang terbaik. Adik-adik, junior-junior mahupun anak-anak kita adalah medan amal kita. Orang-orang yang suci yang menunggu corakan dari kita. Maka jika kita masih ragu untuk menyimbahkan warna yang terang pada mereka, pasti mahu tidak mahu warna suram akan mewarnai hidup mereka. Mereka akan belajar dari orang lain dari sekeliling dan akhirnya dipengaruhinoleh nilaian yang tidak baik lagi melanggar corakan Allah.
Maka untuk menjadi teladan yang baik pada adik-adik dan junior-junior, kita yang pertama harus siap untuk menerima didikan. Siap mencontohi orang-orang yang memiliki ilmu serta keperibadian yang hebat. Dan senantiasalah bermuhasabah, menilai kembali diri kita dan berusaha untuk membina sifat-sifat yang diinginkan Allah pada diri seorang hamba. Jagalah diri dan hiasi peribadi dengan akhlak mahmudah dan jauhilah akhlak yang mazmumah. Semoga Allah sentiasa redha pada kita.
“ Seorang mukmin, menangis lemah disisi Allah, maka Allah menguatkannya disisi manusia..”

0 ulasan:
Catat Ulasan