Skinpress Rss

Khamis, 3 Mac 2011

BAHAYA FUTUR

0


Futur adalah kemerosotan atau kemalapan yang berlaku pada keimanan atau keIslaman seseorang. Futur adalah satu penyakit. Seseorang yang dihinggapi penyakit ini akan lemah dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Antara bentuk-bentuk futur yang sering di alami oleh seseorang adalah:

1) Malas ber’ibadat.

2) Fenomena mati tidak memberi kesan kepada hati. Justeru itu kita digalakkan menziarahi kubur sebagai ‘ubat’ agar hati kita dapat mengambil pengajaran daripada peristiwa kematian.

3) Melakukan ma’siat samada kecil atau besar. Lebih teruk kefuturan seseorang jika kema’siatan menjadi kebiasaan. Dan lebih teruk lagi kefuturannya jika dia bergembira dengan ma’siat.

4) Suka melihat atau menyaksikan ma’siat. Orang beriman akan melihat dosa ma’siat umpama sebuah gunung yang akan menimpa dirinya, sedangkan orang munafik akan melihat dosa umpama lalat yang hinggap di hidungnya sahaja.

5) Ukhuwwah menjadi longgar.

6) Ghairah kepada dunia. Sebok dengan dunia hingga membuang masa dengan kerja-kerja yang tidak berfaedah. Dalam sistem yang ada, gagasan kecemerlangan yang disogokkan kerap menjerumuskan seseorang kepada sikap ghairah dengan dunia.

7) Berbangga dengan kemajuan duniawi. Atau merasakan lemah dengan kemunduran duniawi.

8) Lemah atau tidak bersedia untuk iltizam (patuh)

9) Menangguh-nangguhkan kerja.

Semua perkara di atas melemahkan keperibadian seseorang. Kadangkala seseorang itu futur hingga tidak bermaya melaksanakan kerja-kerja Islam. Futur boleh membahayakan aspek rohani atau ruhy kita terutama kerana ia bisa memnyebabkan:

1) Tidak ikhlas dalam berkerja.
Ikhlas perlulah dibina dan dikawal supaya ia hadir dalam semua kerja yang kita lakukan. Ikhlas kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam setiap kerja sangatlah berat, lebih-lebih lagi dalam suasana yang tidak Islamik.
Firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus.”
(Al Bayyinah (95):5)

Hadis Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

( إنما الأعمال بالنيات ) رواه البخاري ومسلم
“Sesungguhnya setiap amalan itu tergantung kepada niatnya.”

2) Lemah dalam ilmu syara’ (iaitu ilmu dari masdar yang betul) dan penghayatannya.
Ilmu syara’ itu luas, merangkumi tafsir al-Qur’an, ilmu hadis, fiqh, tarikh, bahasa arab dan lain-lain. Antara yang penting ialah ilmu mengenai hukum-hukum taklifi (wajib, sunnat, haram, makruh, dan mubah)

3) Berkawan dengan orang yang tidak berhimah atau bercita-cita tinggi (yakni yang berhimah rendah).

4) Bersifat fardhiyah. Yakni bersifat individu atau lebih me¬mentingkan diri sendiri. Kita perlu mendidik diri sendiri supaya memperseimbangkan antara kepentingan individu dan kepentingan jamaah. Bila seimbang barulah elok segala kerja kita.

5) Lemah tarbiyyah (proses mendidik hati dengan keimanan).

6) Tidak tahu menyelaras atau memperseimbangkan antara kemampuan dan kerja.

7) Futur dalam mengubati futur. Lemah dalam mengubati kelemahan. Seseorang yang futur itu tahu bahawa dirinya lemah. Dia terus lemah untuk mengubati dirinya. Bagi kita, kalau kita rasa lemah, maka cepat-cepatlah kita mencari sahabat yang boleh menguatkan diri kita atau berusaha dengan cara yang sunnah untuk mengubati futur.

8) Berpenyakit dalam hati atau jiwa. Banyak terdapat penyakit hati seperti hasad, dengki, cemburu buta dan lain-lain.

0 ulasan:

Catat Ulasan