Skinpress Rss

Isnin, 27 Disember 2010

GARA-GARA SEBIJI BOLA

0



Demam bola sepak Piala AFF Suzuki. Yang menyebabkan demam bertambah panas mencapai suhu tinggi adalah apabila pasukan “saudara tetangga/ musuh tradisi” yang akan bertempur pada liga akhir. Pasukan (tim) Harimau Melaya (pasukan nasional Malaysia) melawan Timnas Garuda Indonesia. Dua pasukan bola sepak yang semakin naik ke persada, keluar dari kepompong kegelapan menuju harapan yang menjulang. Permainan pertama dijalankan di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Malaysia pada 26 Disember 2010. Sementara permainan kedua akan dijalankan di Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta Indonesia pada 29 Disember 2010.


Permainan pertama di Stadium Bukit Jalil sudah lewat. Dan Malaysia mencatat kemenangan 3-0. Apa yang menjadi kekesalan adalah terjadinya insidens pancaran laser ke arah penjaga gol Tim Garuda, Markus sewaktu Malaysia diberikan peluang untuk membuat tendangan bebas dihadapan kotak D gawang lawan. Bekas Pakar Pandangan Mata Hospital Pulau Pinang Dr Zahimi Chik berkata, sinaran laser akan berbahaya kepada mata sekiranya ia mempunyai daya kekuatan yang tinggi seperti yang digunakan untuk pembedahan. Sinaran laser yang lemah tidak akan menjejaskan pandangan mata manusia jika dipancarkan dari jarak jauh contohnya ketika satu perlawanan bola sepak, menurut seorang pakar optometris.

"Sinaran ini akan merosakkan retina jika ia terkena pada titik pandangan visual mata iaitu mekula walaupun dalam jangka masa singkat.
"Bagaimanapun, jika sinaran itu hanya daripada penunjuk laser seperti "laserpointer" yang digunakan orang ramai sekarang, ia tidak berbahaya kecuali dalamjarak dekat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Beliau berkata, sinaran laser yang mampu dibeli kini hanya mempunyai daya kekuatan yang lemah kerana ia dihasilkan dengan tujuan tidak membahayakan pengguna. Menurut Dr Zahimi, sinaran laser itu mungkin mengakibatkan kesan penglihatan sementara jika disasarkan secara tetap selama beberapa minit di hadapan mata seseorang.

Alasan medis ini tentunya tidak diterima oleh para supporter Indonesia yang mengganggap bahawa itu adalah aksi provokasi dan penghinaan terhadap Timnas kebanggaan mereka. Ia juga sekaligus menyentap kekuatan Garuda dan ibarat belati yang mencalitkan luka pada sang gagah untuk mengalih tumpuannya. Berbagai tuduhan, kutukan dan tohmahan dilemparkan oleh masyarakat, meletus bagai Gunung Merapi yang tidak tertahan lagi memuntahkan laharnya yang maha dahsyat.

Sibuk diperbincangkan di televisi, situs-situs layar maya, dikampus, di masyarakat. Ada yang menaggapinya secara sangat negative, ada yang menanggapinya secara positif dan menjadikannya sebagai pembakar semangat. Tak kurang juga yang berbalik arah dan meletakkan kesalahan pada tim Merah-putih tersebut. Dari pihak Malaysia juga tidak mahu kalah. Sengaja mendabik dada seakan kemenangan sudah di genggaman. Sengaja tambah menyiram minyak ke bara api yang marak menyala. Akhirnya saling perang mulut. Perang tulisan. Kata mengata.Perang media dan sebagainya dengan tujuan saling menyakiti hati dan mencalarkan kehormatan Negara. Provokasi-provokasi/ isu-isu yang pernah terjadi sebelumnya timbul lagi di permukaan sebagai upaya untuk menambah bara. Isu antara Negara kembali dibahas. Asli rumpun yang sama saling caci mencaci, keji mengeji. Berkata seenaknya tanpa mempedulikan orang yang mendengar atau membaca. Yang ada hanya memuaskan hati masing-masing.


Padahal kerana kesalahan individu-individu yang tidak bertanggungjawab, maka nama Negara turut terheret sama. Seperti kata pepatah melayu “kerana nila (pewarna) setitik, rosak susu sebelanga”. Jiwa menjadi sempit. Hati penuh hasad. Syaitan durjana tersenyum sombong kerna tidak perlu bekerja keras menghasut ummat Rasulullah. Fikiran diselimuti awan gelap yang tidak mahu nyah pergi.


Ah, betapa keadaan ini sangat menyesakkan. Gara-gara sebiji bola, sirna hubungan baik antara Negara, roboh sifat saling mempercaya. Hilang kebaikan yang menggunung sebelumnya. Lupa bahawa kita adalah saudara seagama. Yang bersumpah dengan nama Tuhan yang Esa. Bersyahadat dengan kalimah “La illaha illallah, Muhammadu Rasulullah”. Pudar akhlak Islamiah lupa segalanya.

Ya, gara-gara sebiji bola yang dicipta oleh sistem jahiliah. Perancangan jahiliyah yang telah berakar umbi dalam kehidupan. Jahiliyah yang sekarang pasti sedang bertepuk tangan bangga kerana berjaya melagakan kita. Dan kita ibarat boneka yang hanya menurut skrip cerita. Diperbudakkan oleh sistem kuffar yang sedang menghampiri keruntuhan. Dan yang berazam untuk menarik kita semua bersama dalam keruntuhan itu. Melatah dengan hal yang sangat kecil. Astagfirullahal adzim.. astagfirullahal adzim.. Malu rasanya pada Allah SWT, Yang Maha Menyaksikan. DIA sedang menyaksikan kebodohan kita. Kita mencalari kehormatan Rasulullah SAW yang mengajarkan kita akhlak yang tinggi “sesungguhnya aku di utuskan untuk menyempurnakan akhlak” hanya kerana hal sepele. Kita menyakiti saudara sesama Muslim sedang prinsip ukhuwwah itu menghendaki kita untuk saling meraikan dan saling menjaga. Kita mengeluarkan perkataan busuk tanpa mengira ada tidak orang yang tersakiti kerana perkataan kita. Kita menunding jari menyalahkan orang lain tanpa meletakkan diri kita pada posisi mereka. Waktu menang di sanjung tinggi. Waktu kalah di biar tanggung sendiri.

Ini semua bukan corakan Islam. Ini semua bukan dari tarbiyyah Rasulullah. Orang mukmin itu sifatnya tenang bagai air yang mengalir. Dia tetap teguh sewaktu orang lain bergoncangan, tetap sabar ketika orang lain resah gelisah. Dalam berolahraga, dia berakhlak. Bersukan kerana Allah dan untuk mempertajam ukhuwah. Mengikut tata tertib. Berpakaian sopan menutup aurat. Jujur dan berakhlak menjadi modal utama. Di hatinya berolahraga untuk mempamerkan keindahan islam yang syumul. Yang supporter (penyokong) juga sama. Ada adab dan tata tertibnya. Saling menghormati. Saling menyemangati. Aduh, betapa indahnya Islam jika diterjemahkan ke dalam setiap lapangan kehidupan.

Semoga kekhilafan dalam permainan kali ini serta segala insiden yang berlaku didalamnya akan menjadi pengajaran bermakna buat kedua tim dan pengelola program. Dan semoga saja Allah SWT memberikan keputusan ya terbaik buat kedua Timnas Garuda Indonesia mahupun Skuad Harimau Melaya. Tidak usah pakai emosi. Nikmati saja permainannya. Lagi pula ia tidak lebih dari sebuah permaianan “11 lelaki mengejar sebiji bola”. Tidak perlu terlalu serius dalam menanggapinya.

Sebagai kesimpulan:

Kemarahan (pintu hasutan syaitan) + hawa nafsu + perancangan jahiliyah = masyarakat rendah nilai
Iman (x) ukhuwah (x) akhlak (x) baik sangka (x) saling menghargai (x) perpaduan / “bola”= 0 (hilang semua kebaikan)

0 ulasan:

Catat Ulasan