
Bismillahi Alhamdulillah.. segala puja dan puji bagi Allah yang masih membenarkan matahari untuk memancarkan sinarnya yang cemerlang, membiarkan bumi untuk terus berputar dengan seksama, membiarkan angin untuk terus bertiup sepoi bahasa.
Semalam, 13 Disember 2010, jam 12.00 am, diri sedang menuliskan email buat kakak kesayangan yang baru berpeluang untuk saling mengenal, kak Murni Fahmi apabila tiba-tiba lantai kamar seakan bergoyang. Fikiranku mungkin kepalaku yang pening gara-gara tidak tidur siang kerana menghadiri acara dirumah teman KKN ku, Winda. Tapi gegaran semakin kuat terasa hingga gantungan kunci bergoyang-goyang ke kiri dan ke kanan. Gantungan baju serta kerusi juga mula kelihatan bergoyang. MasyaAllah ada apa ini? seperti keadaan di pusat stimulasi gempa di Jakarta yang pernah diri serta Kak Soolihah hadiri 1 tahun yang lalu.
Segera ke kamar temanku Fazlina.. kata Fazlina dia juga merasakan gegaran tersebut hingga menyebabkan dia takut untuk kembali tidur. Temanku juga mengatakan bahawa di kos (rumah sewa mahasiswa) nya yang terletak di Jalan Sahabat juga merasai gegaran itu. Pertamanya dia kira ada pencuri yang masuk, tapi setelah melihat anak-anak dari Rusun UMI (asrama mahasiswa Universitas Muslim Indonesia) lari bertempiaran ke kawasan lapang baru di sedari ternyata gempa bumi yang baru berlaku.
Sejurus kemudian baru menerima sms dari PKPMI dari Dato’ Junaidi memberi peringatan supaya pelajar Malaysia berhati-hati dan segera menghubungi pihak PKPMI sekiranya ada sebarang hal yang terjadi. Segera tangan mencari informasi dari internet berkenaan dengan gempa yang baru saja berlaku. Ternyata mendapati:
REPUBLIKA.CO.ID,MAKASSAR--Kota Makassar diguncang gempa selama beberapa detik pada Ahad pukul 23.59 WITA dengan kekuatan 5.9 Skala Richter. Badan Meteorologi dan Geofisika Makassar melaporkan pusat gempa berada pada 6.11 Lintang Selatan, 117.55 Bujur Timur di 232 kilometer Barat Daya Makassar, Sulsel, pada kedalaman 19 kilo meter. Red: Krisman Purwoko
Sumber: ant
MasyaAllah, selama ini diri hanya mendengar berita bencana yang melanda segenap penjuru negeri bertuah ini di kaca-kaca televisi.. banjir kota, tsunami, gunung berapi, gempa bumi. Baru kali ini merasai sendiri kesan gegaran 5.9 Ritcher yang menggoyangkan plat bumi ini. itupun Cuma sedikit dan sebentar. Dengan kejadian yang sebegini saja, berbagai hal yang terlintas di fikiran.. berasak-asak meminta untuk diperhatikan. Tidak terbayang rasanya perasaan saudara-saudaraku yang menghadapi bencana.
Semua berlaku dengan izin Allah…..
Ketahuilah bahawa semua yang berlaku disekeliling kita berada di bawah kekuasaan dan pengetahuan Allah. Semua telah ditentukan, bumi bergoncang, angin bertiup bahkan bilakah berlaku gempa bumi, di wilayah mana, kekuatan berapa, berapa mangsa yang meninggal, berapa yang terselamat dan tercedera.
“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang gaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lohmahfuz).” { al Ana’am : 59}
Pengajaran kepada manusia
Bagi setiap mu’min segala peristiwa hendaklah diperhatikan, jangan butakan mata serta matahati dengan tak ambil kisah. Mu’min yang peka mesti mengambil I’tibar dan pengajaran ke atas semua yang berlaku mudah-mudahan ianya memberi manfaat untuk dirinya sendiri dan juga kepada masyarakat secara umumnya.
- Apabila sesuatu kadar yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t akan berlaku ianya akan berlaku tanpa ada kuasa lain yang akan menahannya. Dengan Kun Fayakun maka bergoncanglah bumi, air sungai melimpah serta bangunan jatuh menyembah bumi.
- Supaya manusia tahu tentang hakikat dirinya sendiri, jangan tertipu dengan kehebatan ilmu yang dimiliki sehingga ada yang sombong seolah-olah boleh menguasai undang-undang alam. Dengan berlakunya beberapa siri bencana alam sepatutnya para saintis berfikir bahawa ada kuasa yang mengatasi semua ilmu manusia bahkan apa yang mereka ada hanyalah sedikit sahaja. Manusia sebenarnya makhluk lemah yang tidak dapat melakukan semua benda untuk menyelamatkan dirinya sendiri. Betullah seperti apa yang dikatakan oleh Saidina Ali : “malang sekali nasib anak Adam, ia disakiti oleh seranggan mikro, dibunuh oleh angin panas yang datang dari Afrika dan dilemahkan oleh peluhnya sendiri. “Manusia dijadikan bersifat lemah.” {an Nisa’ : 28}
- Manusia sepatutnya lebih arif tentang nilai dunia yang menjadi rebutan. Ianya seolah lalat yang mengerumi sampah sarap yang tidak berguna langsung. Dunia yang menjadi rebutan akan hilang dalam sekelip mata sahaja, manusia berada di dalam istana impiannya tetapi tidak mengetahui bahawa sekejap lagi istana tersebut akan dihanyutkan di dalam banjir besar yang akan datang. Manusia menjangkakan akan terselamat tetapi sebenarnya maut lebih hampir dari tengkoknya.
- Mengingatkan tentang kedahsyatan hari Qiamat , kalaulah gegaran 5-9 skala Richter hanya beberapa saat, apakata kalau 10-20 skala Richter dalam beberapa minit. “Maka jadilah gunung-gunung seperti kapas yang berterbangan ditiup angin.” Saat yang sangat genting dan menakutkan sekali sehingga Allah mengambarkan apabila tibanya waktu itu ibu-ibu akan meninggalkan anak yang sedang menyusu, bayi-bayi di dalam kandungan akan keguguran, mungkin tertanya oleh kita hari apakah itu? Itulah hari penghabisan dunia bila ianya berlaku maka kekuatannya berkali-kali ganda.
Secara umumnya ramai di kalangan manusia yang tidak beriman menganggapkan setiap bencana alam yang melanda dunia adalah semata-mata fenomena alam, tiada kaitan secara langsung atau tidak langsung terhadap tindakan dan amalan manusia. Balasan terhadap amalan dunia hanya akan diterima di akhirat bukannya di dunia.
Sebenarnya ini adalah satu sangkaan yang salah dan bertentangan dengan nas al Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t telah menjelaskan di dalam al Quran bagaimana sebuah kampung akan dilanda musibah hanya disebabkan amalan maksiat yang dilakukan oleh penduduk kampung tersebut
“Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduk) nya mengingkari nikmat-nikmat Allah; karena itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat.” {an Nahl : 112}
Allah telah memberi segala kesenangan dan kemewahan kepada manusia tetapi apakah balasan manusia terhadap tuhannya? Mereka semakin ganas gara-gara mengikut hawa nafsu. Lalu apakah balasan dari Allah? Lebih baik merampas kembali pemberiaan dengan mendatangkan bala seumpama kelaparan dan ketakutan.
Bala bukan sahaja melalui bencana alam seperti yang berlaku kepada kaum Nabi Lut a.s, bahkan ianya juga mungkin terjadi dengan ketakutan dan keresahan yang membelenggu masyarakat. Kebimbangan terhadap keselamatan nyawa, ahli keluarga, serta kehilangan harta benda sebenarnya itu adalah satu bala.
“Dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, “. {Taha : 124}
Menurut Syeikh Yusuf al Qardhawi akibat daripada manusia meninggalkan syariah yang diturunkan oleh Allah bahkan menentangnya maka Allah telah menurunkan bala ketakutan yang menyelubungi kehidupan manusia hari ini. Semuanya berpunca dari maksiat yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri.
Golongan salafussoleh yang terdahulu apabila datangnya musibah, kepayahan dan kesusahan mereka akan beristighfar memohon ampun kerana bimbang kelalaiannya yang menyebabkan turunnya musibah dari Allah s.w.t. Allah telah menceritakan tentang doa Nabi Adam ketika diperintahkan turun ke bumi .
“Wahai tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami, jika sekiranya kamu tidak mengampuni kami maka termasuklah kami di kalangan orang-orang yang rugi.”
Oleh itu ayuh sahabatku bersama kita muhasabah diri tentang kelalaian yang telah dilakukan. Hisablah diri masing-masing terhadap tanggungjawab kita terhadap Allah, adakah kita telah laksanakan sebaik-baik perlaksanaan tanggongjawab hamba terhadap penciptanya? Tanggongjawab dakwah adakah kita telah melaksanakan tanggongjawab untuk menyelamatkan umat dari kehancuran dan kebinasaan? Kalau belum lagi kita bimbang kelalaian itulah penyebab kepada bencana yang melanda umat sekarang ini.
*Alhamdulillah hingga saat ini, Makassar masih bebas dari ancaman tsunami

akk....masih takot dgn keadaan kat cni...cme jgn leka=.=
tim insyaAllah dik kita sama2 doa semoga semuanya baik2 saja.. Allah nak beri kita peringatan tu.. semoga kita cepat terjaga dari lena yang panjang..