Skinpress Rss

Jumaat, 31 Disember 2010

MELATIH SIFAT PRIHATIN DENGAN SEDEKAH

0


Balik dari MTOS membeli kelengkapan rumah. Cuaca diluar mendung. Awan menghunjamkan rintik hujan yang makin lama makin deras. Membasahi bumi yang sebelumnya panas dibakar bahang mentari. Kelihatan beberapa orang anak kecil berlumba-lumba mendatangi pengunjung yang baru keluar dari mall tersebut. Mereka menawarkan untuk memayungkan dan membantu membawa barang belian. Begitulah fenomena yang biasa terlihat di hadapan shopping kompleks ini. tiba-tiba retina menangkap imej seorang anak kecil yang sedang berdiri di tepi tembok sambil memegang payung besar berwarna warni. Tubuhnya menggigil menahan kedinginan yang menusuk ke tulang. Matanya melirik ke kanan dan ke kiri mencari-cari kalau ada pengunjung yang memerlukan khidmatnya.

MasyaAllah sayu hati melihat anak-anak kecil ini. Jika adik-adik kita di rumah gembira menanti hujan supaya boleh bermain hujan, boleh melancarkan permainan kapal, bola air dan sebagainya yang melengkapkan keceriaan zaman kanak-kanak mereka, anak-anak ini sebaliknya masih harus tekun meredah kedinginan percikan air, bekerja untuk mendapatkan sesuap rezeki yang halal. Kasihannya mereka. Di kala adik-adik kita nyaman di rumah, berbalut selimut hangat sambil menonton televisyen dalam cuaca begini, anak-anak ini berpeleseran di tepi-tepi tembok menunggu pengunjung yang memerlukan bantuan, meresikokan nyawa membantu pengunjung melintasi jalan raya.

Setelah masuk ke teksi, memberi anak-anak yang membantu itu lebih dari biasanya. Mereka tersenyum girang sambil berkali-kali mengucapkan terima kasih. Sungguh jiwa lebih lapang apabila kita bisa membantu meringankan bebanan yang ditanggung orang lain.

Teringat beberapa waktu yang lalu, sewaktu ziarah ayah, ummi dan adik ke sini, ummi yang tak sempat memberikan sedekah pada anak-anak kecil sewaktu di Pasar Butung tak sudah-sudah mengeluh kekesalan lantaran tiada wang kecil untuk diberikan waktu itu. Hingga pulang ke hotel ummi masih mengungkit kejadian tadi. Kecewa benar kerana tidak berpeluang memberikan sedekah. Ayah juga setiap kali keluar dari petak parking kereta (tempat parker mobil) terus saja menghulurkan wang Rp2000 kepada orang yang membantu. Subhanallah betapa pemurahnya mereka. Sedangkan diri, maklumlah sebagai mahasiswa/pelajar yang wangnya terbatas, terkadang beri tapi banyak juga yang bolong. MasyaAllah masih belum cukup sensitif.

TANGAN yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima. Sekecil mana sumbangan yang dihulurkan, ia cukup bermakna kepada si penerima yang hidup serba kekurangan, malah ‘buah tangan’ yang tidak seberapa itu mampu menerbitkan senyuman, walaupun cuma untuk seketika.

Islam sangat menggalakkan umatnya membantu mereka dalam kesempitan. Nas daripada al-Quran dan hadis Nabi s.a.w jelas menganjurkan umat Islam menghidupkan amalan sedekah, kerana banyak manfaatnya. Sedekah adalah perkataan berasal daripada bahasa Arab, iaitu sadaqah. Maksud yang sama ialah menderma, membelanjakan wang atau memberikan sesuatu kepada pihak lain dengan hati yang ikhlas, tanpa mengharapkan sebarang imbalan.

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku alangkah baiknya kalau engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit saja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang yang soleh.” (al-Munafiquun: 10)


Seringkali mendengar bahawa kebanyakan peminta sedekah itu dikelola oleh sendiket (diurusi oleh agen) hingga wang yang diperoleh digunakan untuk keuntungan orang lain. Padahal dalam memberi sedekah, kita tidak seharusnya terlalu berkira dengan hal seperti itu, atau prasangka tersebut akan menyebabkan kita lokek (kedekut) untuk memberikan sedekah. Biarlah hal tersebut antara dia (agen) dengan Allah. Sedangkan sedekah itu akan memberikan ketenangan jiwa kepada kita.

Amalan bersedekah daripada satu sudut menggambarkan sifat insani, kemurahan hati dan keluhuran budi seorang manusia. Tidaklah dikatakan seseorang manusia itu kaya perikemanusiaannya jika tiada di dalam jiwanya sikap prihatin dan kasihan belas kepada sesama manusia, yang menggerakkan hatinya untuk memberikan pertolongan sekadar kemam puannya.

"Sifat prihatin dan belas kasihan harus dibina di dalam diri kita dengan melatih diri suka bersedekah dan membantu yang kurang berkemampuan"

0 ulasan:

Catat Ulasan