Skinpress Rss

Khamis, 13 Januari 2011

HAPPY BIRTHDAY MY DEAR SHAFI

2


Shafira sahabatku.. bagiku perkenalan antara kita sangat unik. Berjalan sepertimana telah teratur dengan sempurna di Loh Mahfuz. Bermula dari kelas Bahasa Inggeris yang secara kebetulan kita ikuti bersama. Auramu begitu kuat. Dalam jangka waktu singkat kita langsung rapat. Hal pertama yang menyentuh hatiku adalah sewaktu ketidakhadiranku dikelas lantaran mengikuti suatu Mukhayyam Tarbawi. Kau bertanya ke mana diri menghilang. Setelah mengetahui alasanku lantas kau berkata “lain kali ajaklah (undanglah) saya jika ada lagi program sebegitu” MasyaAllah, mungkin kerna usia perkenalan yang masih terlalu muda hingga sedikitpun tidak pernah terlintas di fikiran untuk mengundangmu menghadiri program sebegitu.

Usai kelas Bahasa Inggeris tersebut, putaran takdir kian mendekatkan kita. Bertemu lagi di Matrikulasi Pahang (KmPH). Walau tidak sama kuliyah mahupun asrama, kita tetap sering meluangkan masa untuk makan bersama. Menghabiskan hujung minggu untuk memperkuat perkenalan. Apabila surat tawaran USIM menjengah, rupanya Allah masih ingin mendekatkan kita. Kalau di matrikulasi kita menempati asrama yang berlainan, kini ditamhidi, kita menempati rumah yang berjiran pula hingga mengizinkan kita untuk pergi kuliah bersama setiap pagi. Subhanallah betapa indahnya penyusunan Allah untuk kita.


Melalui hari-hari bersamamu sahabatku banyak mengajarkanku arti hidup ini. kau mengajarkanku erti ketabahan dan kecekalan dan keazaman yang tinggi. Semangat kentalmu memotivasikanku untuk turut menyelami lautan kalimat sakti yang diturunkan Ilahi. Dirimu yang mempunyai disiplin yang tinggi membuatkan kita senantiasa menjadi antara orang terawal yang tiba di ruang kuliah mahupun tutorial. Masihku ingat sahabatku suatu saat menjelang peperiksaan, dikau pernah bertanya pak cik bas sama ada terdapat bas yang lebih awal dari yang biasa kita naiki pada jam 7 pagi. Lantas pak cik itu berkata, bas yang kita naiki itulah bas pertama yang berangkat ke kampus setiap pagi. Pak cik terburu-buru keluar dari rumah setelah solat subuh untuk memandu bas tersebut. Senyuman manis terukir dibibirmu tanda puas hati dengan penjelasan pak cik tersebut.

Setiap hujung minggu, kita bersama meluangkan waktu menghadiri qiamulail, liqa’ mahupun program-program umum yang diadakan diluar kampus. Teringat qiamulail pertama yang kita hadiri dirumah kakak di Sg.Merab, kau tidur di sampingku dan sebelum tidur, kau genggam tanganku lantas berkata “terima kasih ye dah bawa saya datang program ini” di susuli dengan senyuman bahagia. MasyaAllah Fira.. sungguh Allah telah membukakan hatimu untuk ini. Alhamdulillah diri juga cukup bahagia bisa bersamamu meniti jalan yang payah ini. semoga kita akan saling mendukung dan saling berpaut hingga ke syurga.

Detik demi detik meniti untaian taaruf membina rasa kagumku pada dirimu sahabatku. Hatimu yang tulus suci cukup menyentuh. Sentiasa dirimu mengambil berat tentang teman-teman yang lain hingga kapan teman ada masalah kau justeru yang pertama mengalirkan air mata.

Teringat sewaktu menghadiri kem Bahasa Arab anjuran university. Kau mengajarkanku asas pertuturan Bahasa Al-Quran tersebut dengan tekun. Ya Allah rindunya saat-saat duduk di sampingmu di ruang kuliah mendengarkan penjelasan guru berkaitan mata kuliyah yang kita ambil. Rindunya pada saat duduk di sampingmu dalam bas dan bercerita tentang keluargamu. Rindu pada saat menghadiri program-program bersamamu.. melihat senyuman manismu yang penuh ikhlas. Melihat dikau menyeka air mata saat tersentuh dengan sesuatu penyampaian. Ketahuilah sahabatku, bahawa pada saat ini, angin sedang memainkan musik yang menabuh sepi dalam kerinduan yang kronis. Rasa yang sudah begitu renta tapi tak pernah menjadi kata-kata.

Terima kasih Ya Allah kerana memberikanku ruang dan peluang untuk mengenali insan yang sangat hebat ini. Terima kasih Ya Allah kerana meminjamkan kepadaku sedikit waktu untuk bersamanya. Sahabatku.. kau akan selalu menjadi keajaiban bagiku.

Shafira sahabatku.. selamat ulangtahun yang ke-23.. semoga Allah mengurniakanmu usia yang berkah, hati yang tenang dan teguh serta jiwa yang ketal. Ilmu yang bermanfaat dan bahagia hingga ke akhirnya. Dan semoga juga Allah menetapkan hati-hati kita untuk terus berada di jalan dakwah dan tarbiyah ini. Sungguh sahabatku.. aku amat menyintaimu kerana Allah..

2 ulasan:

Catat Ulasan