Skinpress Rss

Isnin, 24 Januari 2011

ANTARA UJIAN AKHIR, PERTEMUAN POSKO & LIQA'

0


Sibuk dengan persiapan menjelang ujian akhir semester sistem Hematologi. Walaupun sudah lulus pada ujian lalu tetap mahu mengambil ujian akhir untuk memperbaiki nilai. Walaupun stress yang dialami tidak seperti selalunya, namun ditambah dengan masalah-masalah semasa yang membebankan kotak fikiran tetap menimbulkan efek stress yang luar biasa pada akhirnya.

“ tit..tit..”

Ada sms yang masuk.

“InsyaAllah hari ini majlis ilmu..sore”

MasyaAllah, menghadiri majlis ilmu (liqa’) saat-saat berhadapan dengan ujian memang amat berat terasa. Itulah sebenarnya suara laknat syaitan yang sentiasa menghasut. Membuatkan diri diserang rasa malas-malas untuk keluar ditambah cuaca hujan tak menentu yang melanda pekan ini. waktu begini juga tiba-tiba merasa masih banyak pelajaran yang masih belum diulangkaji. Merasa harus meletakkan aulawiyat di hadapan (mendahulukan hal yang lebih penting). Tambahan jarak yang jauh pasti akan memakan masa yang lama serta kewangan juga sangat tidak membantu. Cuma Rp10,000 dalam tangan. Benar-benar cukup untuk pulang balik saja. (uang pas-pasan) “Tunggulah.. setelah ujian selesai baru pergi..” belahan hati yang dikawal nafsu berbicara.

Tiba-tiba terdetik di hati yang dikawal iman, “Amboi, kemarin, pertemuan dengan teman-teman KKN (ngumpul-ngumpul anak KKN) boleh pula pergi. Tanpa sebarang alasan. Padahal jarak tempat pertemuannya tak kalah jauh.” Tiada pula timbul alasan-alasan yang remeh seperti ini. Kalau untuk teman KKN rela berkorban kenapa untuk Allah (mendalami ilmuNya dan duduk sejenak untuk mengingatiNya) perlu berkira-kira panjang. Padahal Allah yang memberikan rezeki, menjaga kita dan menyelimuti kita dalam rahmatNya setiap waktu. Allah jugalah yang memberikan kejayaan dalam ujian, kekuatan ingatan dan melapangkan dada kita untuk menerima ilmuNya.. kalaulah kesibukan sekecil ini sudah memalingkan diri untuk hadir, apatah lagi sewaktu menempuh alam klinikal seterusnya alam pekerjaan dan rumahtangga yang semakin banyak komitmennya..

Astagfirullahal adzim.. astagfirullahal adzim.. betapa halusnya bisikan syaitan yang cuba untuk menggoda dan memperdaya. Alhamdulillah akhirnya annajah (kejayaan/sukses) buat cahaya keimanan yang mampu membimbing diri untuk bermujahadah menghadiri majlis ilmu (liqa’). Ya, menghadiri majlis ilmu juga perlu mujahadah. Sesampai di tempat liqa’ hilang segala rasa malas-malas, hilang ingatan terhadap ujian, masalah kewangan dan segalanya yang sebelumnya memberat di pundak. Wajah ustazah dan teman-teman yang ada bersama cukup membantu menaikkan rasa syu’ur (rasa hati) untuk bersama duduk sejenak untuk beriman.

Mendengar penerangan ustazah tentang iman dan taqwa kepada Allah dalam bahasa yang berbeza (beda) [bahasa setempat/bahasa Indonesia] semakin menambahkan rasa syukur pada Allah. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah kerana masih memilih hati-hati ini untuk duduk di dalam majlis ilmu. Untuk taat mempelajari agamaMu dan mendalami syariatMu. Merasai betapa hangatnya cinta Allah yang mengalir dalam diri. Masih diselamatkanNya dan diberiNya kekuatan di saat diri hampir tersungkur di balik kesibukan dan kesempitan dunia yang menipu..

Meskipun kejadian seperti hari ini seringkali terjadi dalam episode kehidupan kita, tapi untuk kali ini, Allah memberi diri ini “rasa” untuk meletakkan kehadiran dalam majlis ilmu bukan hanya sekadar kewajiban yang mendarah daging sebaliknya sebagai keperluan (kebutuhan) yang kita cuba untuk penuhi dengan keadaan sedar dan hajat kepadaNya. Dan ia juga menjadi formula rahsia (secret recipe) untuk diri membina kekuatan dan melonjakkan motivasi sewaktu dalam keadaan lemah pada masa yang akan datang insyaAllah. Benarlah hati itu perlu dididik, perlu dilatih untuk sentiasa dekat pada Allah.. walaupun permulaannya susah, namun semua akan indah pada akhirnya..

“Ya Allah tenggelamkan aku dalam menyintaiMu sehingga tiada yang menyibukkanku dari mengingatiMu..”

0 ulasan:

Catat Ulasan