
13 Ogos 2010 = 3 Ramadhan. Baru kembali ke Posko setelah 1 minggu cuti (libur) awal puasa. Bahagia betul melihat teman-teman berkumpul memeriahkan suasana di rumah haji Tewa. Ibu rumah juga kelihatan bahagia menyambut kepulangan kami. Sudah bersusah payah memasakkan juadah (makanan) berbuka dan es buah sejak tengahari (siang).
Saat senja semakin berlabuh, azan berkumandang menandakan waktu berbuka sudah tiba. Alhamdulillah sempurna mengerjakan ibadah puasa untuk hari yang ketiga. Selesai berbuka puasa, kami mengerjakan solat berjemaah.
Ke masjid berdekatan di awal waktu, gusar kalau-kalau saff penuh dengan masyarakat kampung. Setelah mengerjakan solat isya’ berjemaah, ada yang memberikan tazkirah ringkas. Tapi sayang kerana tazkirah tersebut diberikan dalam bahasa daerah hingga tidak semuanya dimengerti oleh diri.
Sewaktu mengerjakan solat terawih berjemaah, agak mengejutkan kerana solat terasa cepat sekali. Mana tidaknya bacaan Al-Fatihah diselesaikan dalam 1 nafas dan bacaan surah lain disempurnakan dalam 1 nafas yang lain. Kesimpulannya 1 rakaat tidak sampai 2 menit. Selesai solat terawih tidak ada wirid-wirid khusus terawih. Lansung saja. Jadilah buat pertama kalinya di Makassar ini, diri menyelesaikan solat terawih 20 rakaat. Kalau tahun-tahun sebelumnya diri hanya berpeluang mengerjakan solat terawih di rusun yang hanya mengerjakan solat terawih 8 rakaat + 3 rakaat witir. Solat sunat terawih yang 20 rakaat ini Berjaya dihabiskan dalam masa lebih kurang 40 menit.
Namun di sudut hati, ada terase macam suatu yang kurang bila solat terlalu cepat. Kerana Islam mengajarkan kita bahawa di dalam solat ada toma’ninah. Bacaan Al-Quran harus tartil. Ya, sebenarnya di situlah seninya solat. Di dalam bacaan ada yang perlu di perhatikan. Ada tajwid. Ada wakaf. Ada makhraj huruf. Dan yang paling penting dan menjadi inti kepada sebuah solat itu ada penghayatan. Syu’ur (rasa hati) untuk menghadap Al-Khaliq.. rasa itu lah yang akan memandu kita untuk merasai kehadiran Allah dalam kehidupan kita. Merasai bahawa Allah memerhatikan kita. Mendengarkan kita dan mengasihi serta melindungi kita di setiap sudut dan penjuru hidup kita.
Kalau disingkap tabir sirah, disitu kita temui bahawa Rasulullah serta sahabat-sahabat sering mengerjakan solat malam dengan membacakan surah-surah yang panjang seperti surah Al-Baqarah dan surah Al-Imran dari awal sehingga akhir. Bahkan mereka-mereka ini,ada yang menyelesaikan berjuzuk-juzuk Al-Quran dalam 1 solat. Saidina Umar contohnya, beliau mengkhatamkan Al-Quran setiap hari dengan membacakannya di dalam solat. Dari ibadah solat dan bacaan Al-Quran inilah sebenarnya yang akan melahirkan jiwa-jiwa yang berhubung lansung dengan Allah SWT. Natijahnya akan lahirlah peribadi-peribadi yang mengikut acuan Allah. Akhlak-akhlak yang mahmudah dan hati-hati yang tegar dalam menghadapi setiap ujian yang melanda serta jiwa yang kuat menangkis segala macam kemaksiatan dan kemungkaran terhadap Yang Esa..
“ Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar”

0 ulasan:
Catat Ulasan