SEMEMANGNYA
amalan menziarah tanah perkuburan merupakan suatu amalan yang lazim dan
menjadi tradisi turun- temurun masyarakat kita. Terutama di musim
perayaan Aidilfitri mereka menziarahi tanah perkuburan bagi tujuan
berdoa dan menyedekahkan ayat-ayat suci al-Quran kepada mereka yang
pergi lebih awal meninggalkan dunia ini.
Sesetengah
kelompok tertentu mengecam keras perbuatan atau tradisi membaca
al-Quran atau surah Yasin di kalangan umat Islam ketika menziarah tanah
perkuburan. Malahan dikatakan bahawa membaca al-Quran atau bertahlil di
kuburan merupakan perbuatan bidaah dan sesat.
Menurut
mereka perbuatan tersebut tidak dianjurkan oleh agama, tidak pernah
dilakukan oleh Nabi s.a.w. Perbuatan ini boleh membawa kepada perbuatan
syirik yang sangat berbahaya kepada keutuhan tauhid umat Islam.
Sedangkan pada hakikatnya dari segi adab menziarahi kuburan kita
disunatkan membaca al-Quran seperti surah al-Fatihah, al- Ikhlas,
al-Mauzatain atau membaca surah Yasin dan pahala bacaan itu dihadiahkan
kepada ahli kubur kata Imam Ahmad r.a.
Pahala
bacaan tersebut akan sampai kepada ahli kubur. Semakin ramai ahli
keluarga yang membaca surah Yasin sudah tentu akan semakin banyak
cucuran rahmat yang diberikan kepada orang yang diziarahi.
Mereka
dianjurkan membaca surah Yasin seperti dikatakan Nabi s.a.w. bermaksud:
Barang siapa berziarah ke kuburan kedua-dua orang tua atau salah satu
di antara mereka pada hari Jumaat dan membacakannya surah Yasin, maka
dia akan diampuni dosanya dan dihitung sebagai kebaikan.
Satu-satunya
amalan yang sangat baik ketika menziarah kubur ialah membaca
(sebahagian) al-Quran dan berzikir kepada Allah s.w.t. Banyak ulama yang
menegaskan bahawa pembacaan al-Quran itu dapat sampai kepada arwah
orang yang telah meninggal dunia.
Dalam
fadilat surah Yasin, diterangkan hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan
oleh Imam Ahmad bin Hambal dalam masnadnya oleh Abu Daud, An-Nasai dan
disahkan oleh Ibnu Hiban, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Bacalah Yasin bagi orang-orang yang (akan atau) telah wafat di antara
kamu (Muslimin).
Abu
Hurairah r.a. meriwayatkan bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda yang
bermaksud, Barang siapa yang berziarah di kuburan, kemudian ia membaca
al-Fatihah, Qul Huwa llahu Ahad dan Alhakumut takasur, lalu ia berdoa
“Ya Allah, kuhadiahkan pahala pembacaan firman-Mu pada kaum Mukminin
penghuni kubur ini, maka mereka akan menjadi penolong baginya (pemberi
syafaat) pada hari kiamat. Hadis-hadis inilah dijadikan dalil oleh ulama
mengenai dibolehkan membaca al-Quran bagi orang yang telah wafat.
Keafiatan
Ziarah
kubur juga bertujuan berlaku ihsan terhadap penghuni kubur, lebih-lebih
lagi kepada roh kedua-dua ibu bapa kita dan menggembirakan mereka
dengan memberi salam, memohon doa agar dilimpahi dengan rahmat,
pengampunan dan keafiatan dari Allah s.w.t.
Bahawa
permohonan doa anak yang soleh itu, yang sentiasa mendoakan kedua-dua
ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia akan diterima serta ditulis
oleh Allah s.w.t. sebagai anak yang taat kepada ibu bapanya.
Sabda
Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Iman Muslim yang
bermaksud: Apabila seseorang manusia itu mati, akan terputuslah
daripadanya segala amalan melainkan tiga perkara: Sedekah yang
berterusan manfaatnya, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh yang
mendoakan baginya.
Selain
itu, kita juga disunatkan untuk berdoa dengan cara berpaling ke arah
kiblat serta mengangkat kedua-dua belah tangan dan mohon ke hadrat Allah
s.w.t. semoga roh ahli kubur dilimpahi dengan rahmat, keselamatan,
keafiatan dan sebagainya Inilah yang dilakukan Rasulullah s.a.w. ke atas
kubur anaknya Ibrahim.
Ziarah
kubur sememangnya disyariatkan bahkan disunahkan. Nabi s.a.w. sering
berziarah ke kuburan kaum Muslim dan beristighfar memohon ampun bagi
para penderhaka yang menjadi ahli kubur, sebagai bukti bahawa kedatangan
Nabi adalah satu rahmat.
Sebuah
hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari menyebut: Rasulullah s.a.w.
melewati dua kuburan. Lalu beliau berkata. Kedua-dua ahli kubur ini
sedang diazab Tuhan, meskipun bukan kerana dosa besar. Rasulullah s.a.w.
lalu meletakan di atas kedua-dua kuburan itu pelepah kurma yang masih
hijau sambil berdoa, Sesungguhnya kedua-dua pelepah kurma itu,
insya-Allah, akan meringinkan azab mereka sehingga pelepah itu kering.
Dengan berkat kehadiran Rasulullah ke kuburan itu, Tuhan meringankan
azabnya.
Ziarah
juga adalah cara kita untuk mendoakan orang yang telah mendahului kita.
Al-Quran mencontohkan doa itu: Tuhanku ampunilah orang-orang yang telah
mendahului kami dalam keimanan. (Maksud al-Quran surah Al-Hasyr:10).
Itulah
perintah al-Quran agar kita mendoakan orang-orang yang telah lebih
dahulu meninggal dunia. Doa itu kita baca ketika berziarah kubur.
Menziarahi kubur berserta membaca ayat suci al-Quran sebenarnya dapat
melembutkan hati yang keras kerana ketika seseorang menziarahi kubur ia
sudah tentu akan teringat dengan firman Allah yang bermaksud: Setiap
yang bernyawa pasti akan merasakan mati. (al-Anbiyaa ayat 35)
Begitu
juga dalam firman Allah yang lain bermaksud: Setiap makhluk yang ada
(di muka bumi ini) pastilah akan binasa dan kekallah zat Tuhanmu yang
memiliki keagungan dan kemuliaan. (Surah al-Rahman ayat 26-27).
Jika
manusia sudah teringat dan menghayati ayat-ayat Allah ini sudah tentu
dia akan merasa takut dan akan meninggalkan perbuatan jahat.
Sesungguhnya
Islam menggalakkan umatnya supaya saling hormat-menghormati sesama
manusia, dan tidak terkecuali dengan orang yang telah meninggal dunia.
Kerana itulah Islam menganjurkan umatnya supaya menghormati ahli kubur serta menjaga kehormatan persekitaran perkuburan.
Amat
dikesali sekiranya amalan membaca al-Quran di kuburan yang diamalkan
Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya ini dikata bidaah (sesat) dan
sebagainya.
Umat
Islam yang pulang kampung hanya sekali setahun sempena perayaan, maka
amat digalakkan merebut peluang tersebut untuk menziarahi kuburan ibu
bapanya dan secara tidak langsung juga mendidik kepada anak-anaknya
(cucunya) dengan amalan kebaikan ketika berziarah kuburan.

0 ulasan:
Catat Ulasan