
5 june 2010, mencatat sebuah lagi sejarah di kanvas hidupku. Diri bersama-sama sahabat seperjuangan telah membuka sebuah gerai “Untukmu Palestine” sebagai salah satu inisiatif mengumpulkan dana bagi tabung Viva Palestine Lifeline for Gaza.
Pertama kalinya kami menceburi bidang jualan cendera hati setelah beberapa kali gagal dalam bidang perniagaan makanan. Nak katanya semua dari kami, jenis yang pemurah.. jual banyak dan murah kerana kasihan pada pembeli, siapa yang tak mahu..akhirnya kami yang menanggung kerugian.
Barangan jualan cendera hati ini di bekalkan oleh kakak Z yang sememangnya sangat pakar dalam bidang ini. Kami juga berusaha untuk menyediakan CD kompilasi nasyid Palestin dan nasyid-nasyid perjuangan di samping video-video tentang LL4G baru-baru ini. Kerana ramai di kalangan komuniti Malaysia di sini, jarang bahkan ada yang sama sekali tidak cenderung untuk mendengarkan nasyid. Ya, mungkin disebabkan kurang pendedahan dan kurang kesedaran. Jadi ,kami berinisiatif untuk mengetuk pintu hati mereka dengan nasyid-nasyid yang menyegarkan sebegini. Bak kata salah seorang sahabatku, biarlah apa yang kita lakukan itu, boleh mendidik masyarakat. Sesuai dengan slogan kita “berakhlak, mendidik dan berbakti”. Selain itu juga kami sempat menyediakan pin Palestine dan juga penanda buku.
Sepanjang masa persiapan untuk menghasilkan barang jualan, banyak sangat pertolongan Allah yang datang. Bayangkan, hanya 2 hari sebelum hari kejadian kami merancang, seolah mustahil untuk dilaksanakan dalam masa yang terdekat. Namun kami tetap menanamkan rasa positif pada Allah. Rasa “insyaAllah boleh”. Jadi “insyaAllah” itu memomentumkan kami berlima supaya terus menggandakan usaha untuk merealisasikan impian itu. Dan berserta dengan usaha, kami iringkan dengan doa yang melaut luas, sarat dengan pengharapan.
Dan sesungguhnya, pertolongan Allah itu amat dekat. Barangan mentah yang kami cari, senang pula untuk diperolehi. Tempahan pin yang selalunya memakan masa berhari-hari, dapat di siapkan dalam masa beberapa jam. CD yang asalnya mahu kami lekatkan menggunakan kertas biasa, akhirnya terjumpa pula pelekat CD yang terjual dengan harga yang murah. Begitu juga penanda buku, asalnya mahu di buat design sendiri akhirnya terjumpa design yang telah dibuat oleh sahibah. Lumayan cantik. Tinggal siap dicetak. Kerja menjadi lebih ringan dan menjimatkan lebih banyak waktu. Pokoknya, persiapan berjalan dengan sangat lancar.
Di samping gerai jualan, kami juga membuka kaunter penerangan yang dipertanggungjawabkan pada salah seorang sahibah yang Allah izin sangat hebat kemahirannya berbicara. Persiapan dan kekuatan semangatnya menyampaikan maklumat tentang penindasan terhadap rakyat Gaza serta perkembangan LL4G telah menarik ramai orang dari semua golongan untuk mendengarkannya. Tidak kira senior yang telah bertugas di rumah sakit, junior yang masih di pre-klinikal, rakan seangkatan, doctor-doktor Indonesia, residen dari rumah sakit, mahupun orang kenamaan yang turut hadir bersama delegasi Dato’ S dari Malaysia. Kalau tidak orang yang datang padanya, dia yang mengajak mereka untuk mendengarkan. India, Melayu, pakai ketayap atau topi sudu, seluar pendek atau panjang, semua dilihat dari kaca mata kasih sayang dan potensi. Dengan sabar dan bersemangat menerangkan satu persatu rentetan kezaliman yang menimpa saudara seagama kita di tanah bertuah palestin. Semoga Allah terus memberi kekuatan pada sahibah ini..dan pada kita semua..untuk menegakkan agamaNya..

0 ulasan:
Catat Ulasan