Skinpress Rss

Khamis, 17 Jun 2010

BERSAHABAT MENUJU SYURGA

0



cepen ini dinukilkan atas banyak sebab.. antaranya yang paling penting adalah untuk mengingatkan diri sendiri dan sahabat-sahabat bahawa kita berteman bukan hanya untuk ketawa bersama.. malah lebih dari itu. kita bersahabat untuk saling menyelamatkan dari azab api neraka. jadi kita harus tetap menyampaikan kebenaran dan saling mendokong ke arah redha Allah.. buat sahabat-sahabatku.. sumber inspirasiku.. terima kasih kerana selalu mendokongku dan meneguhkan pendirianku.. uhibbukum fillah..

BERSAHABAT MENUJU SYURGA

Husna mencuit bahu Raudhah. Rasa tidak senang dengan berita yang didengarnya sewaktu mesyuarat tadi. Raudhah yang dari tadi khusyuk membaca buku Tazkiyatu Nafsi karangan Ibnu Qayyim al-Jauzi berkalih. Duduk menghadap Husna sebagai tanda menghargai sahabatnya itu.
“ada apa Husna?” Tanya Raudhah penuh kelembutan.
“Raudhah.. tadi dalam mesyuarat, anak-anak sibuk bercerita tentang Shafi dan Aiman Hakeem..” Husna mula bercerita sambil matanya memerhati reaksi wajah Raudhah.
“kenapa dengan mereka?” Raudhah bertanya kehairanan.
“ ala.. macam yang Husna pernah cerita pada Raudhah tempoh hari la.. mereka kata, Shafi dan Hakeem tu bercinta. Lagi parah bila sekarang, mereka dah mulai jumpa berduaan. Macam mana ni Raudhah? Husna tak sedap dengar mereka bercakap hal buruk berkenaan sahabat kita..”
Husna bercerita panjang lebar. Segala kegalauan yang melanda hatinya dimuntahkan pada teman sejatinya itu. Raudhah berkerut. Sukar untuk memenerima apa yang baru diperkatakan oleh Husna.
“Husna percaya ke? Dah tanya pada Shafi sendiri kedudukan sebenar?” Raudhah meminta kepastian.
“saya tak tahu la Raudhah. Nak kata percaya, takkanlah sahabat kita nak buat macam tu.. kalau nak kata tak percaya lansung, ramai sangat dah orang yang bercakap. Saya sendiripun pernah nampak mereka jumpa berdua..belum tanya lagi pada Shafi.. tak sanggup nak tanya” jawapan Husna seakan berat kepada percaya.
Raudhah menghela nafas “Husna ingat tak firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud : Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” Raudhah berhenti seketika.
“Syed Qutb ada menjelaskan berkenaan ayat tersebut dalam Tafsir Fi Zilal Quran, kata beliau seorang mukmin itu hendaklah mencari penjelasan atau kebenaran terhadap maklumat yang dibawa kepadanya.. Husna.. Allah sedang uji kita dengan ukhuwwah ini.. Husna tidak boleh cepat melatah. Husna ingat tak tingkat paling rendah dalam ukhuwwah?” Raudhah melontarkan persoalan.
“bersangka baik” jawab Husna ringkas.

Masing-masing diam. Berfikir. Husna beristigfar panjang. Terbangun dari ulit syaitan durjana yang membisikkan kejahatan dalam dirinya. Nyaris sahaja dia tersungkur oleh buruk sangka terhadap sahabat dunia akhiratnya sendiri. Sahabat sefikrah yang selama ini duduk bersamanya dalam halaqoh, dan berdiri bersamanya dalam menongkah badai perjuangan. Raudhah hanya memerhati. Yakin sahabatnya sedang bermuhasabah. Bangkit mentarbiyah diri kembali ke sistem Allah. Dia faham benar Husna. Berada dalam Perwakilan Pelajar yang tidak didasari dengan sistem Islam membuatkan sahabatnya itu harus berjuang tiap detik dan waktu untuk membezakan antara sistem Islam dengan system jahiliyah. Dalam siri perjuangan itu, adakalanya dia akan rebah.. tersungkur dek serangan yang bertubi-tubi menyerang diri.

_____________x x x __________________

Iman Shafi menyandar di kerusi. Buku Onkologi karangan Mat Watson hanya di pandang sepi. Muka surat 84 yang menceritakan tentang klasifikasi peringkat kanser payudara invasif yang dibuka sejak pagi tidak berkalih. Tiada suatupun yang dibacanya masuk ke kepala. Buku nota juga kosong. Sesekali mata melirik ke arah telefon bimbit di atas meja. Belum ada tanda-tanda mesej baru diterima. Shafi merengus. Mana Hakeem ni? Masih belum bangunkah? Sudah tiga mesej dihantar, satupun masih belum berbalas. Getus hatinya. Beep.. beep… Hah,mesej! Hati berbunga mekar. Segera telefon bimbit dicapai. Dengan tidak sabar menekan punat “BUKA” di telefon. “selamat pagi pujaan hatiku.. seindah suria yang mencapahkan sinarnya yang terang menderang, seindah itulah rasa kasih dan cintaku padamu bidadariku.. wahai angin pagi.. sapalah bidadariku..agar dia bisa tersenyum menghadap hari yang penuh dengan kebahagiaan.” Iman Shafi tersenyum lebar. Kata-kata romantis Hakeem benar-benar menyejukkan hatinya. Menyapu pergi bara-bara geram yang membuak didadanya sebentar tadi. Siapa sangka, ahli Majlis Tertinggi Persatuan Penyair Melayu yang digilai ramai itu akhirnya memilih dia untuk dinobatkan sebagai Ratu hati. Dan siapa juga pernah menyangka, Hakeem yang dibenci-benci, yang mendengar namanya sahaja dah bisa membuatkan Shafi naik darah, akhirnya menjadi pangeran impian yang dirinduinya siang malam.

Tok! Tok! Bunyi pintu diketuk dari luar. Shafi bingkas bangun membuka pintu. Wajah Izyan Ayuni dan Syarifah Sofea terjojol didepan pintu. Sopan bergaya dalam mini jubah dan tudung labuh. Keduanya mengekspresikan wajah terkejut bila melihat Shafi masih dalam pijamanya.
“lor..kok masih belum siap?” Sofea bertanya.
Shafi terkulat-kulat tidak faham. “ siap nak pergi mana pula pagi-pagi buta ni?” dia bertanya seraya melirik jam dindingnya. Baru pukul 9 pagi.
“eh..eh..buat-buat lupa pulak dia.. hari ni kan kita ada usrah kat rumah kak Fatimah, pukul 9.30 . Bukan tiap-tiap minggu macam tu ke? Buat tak biasa pulak..” Izyan membidik dengan ayat yang agak pedas.
Serta merta Sofea mencubit belakang Izyan. Walaupun dia dan Shafi memang sudah sedia maklum dengan mulut Izyan yang agak tidak berlapik, tetap Sofea tidak mahu membina jurang antara mereka dengan Shafi..
“Er.. Shafi ada kerja sikit la nak kena buat segera..mungkin..” Shafi teragak-agak. Alamak, teringat janji Hakeem untuk menghantar nasi ayam lalapan kegemarannya sebentar lagi. Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Sofea lebih dulu memotong
“Shafi.. dah dua minggu Shafi tak datang usrah. Semua orang dah rindu sangat pada Shafi..” Sofea cuba memujuk.
“ala Sofea ni.. kan kita hari-hari jumpa kat kelas. Tak pergi rumah kak Fatimah pun boleh jumpa. Bilik pun dekat.” Shafi masih beralasan.
“Shafi.. sahabat sefikrah sekalipun bila tidak duduk bersama dalam satu halaqoh, tidak duduk bersama untuk beriman, lama-lama akan tetap menjadi sahabat adat bukan lagi sahabat atas dasar iman. Shafi.. kalau lebih tiga hari hati tidak mendapat peringatan, ia akan mati.” Suara Sofea bergetar.
Shafi diam seketika. Benar kata-kata Sofea. Sudah dua minggu dia tidak menghadiri usrah. Dia sebenarnya malu. Malu pada Kak Fatimah, naqibahnya. Malu pada sahabat-sahabat seusrahnya. Bagaimana kalau mereka tahu tentang hubungan cintanya dengan Hakeem? Pasti mereka akan memandang serong padanya. Dia adalah seorang yang taat menghadiri usrah, pertemuan dalam rangka mendidik hati, menyucikan diri dari karat-karat jahiliyah. Tapi masih melakukan dosa dalam sedarnya. Itu semua gara-gara tidak mampu mentarbiyyah nafsunya sendiri. Dia malu pada dirinya. Tapi dia juga tahu, jika dia terus-terusan melarikan diri dari usrah dan sahabat-sahabat yang baik, tentu dia akan makin jauh terpesong. Bertelingkah panjang antara iman dan nafsu, antara kehendak dan keperluan, Alhamdulillah akhirnya najjah berpihak pada cahaya iman. Shafi nekad. Dia mesti menghadiri usrah hari ini. Biarlah walau apa yang bakalan terjadi, dia mesti memenangi ujian ini. Cepat-cepat dia masuk ke kamar untuk bersiap. “tunggu Shafi!” dia sempat berkata pada Izyan dan Sofea sebelum menghilangkan diri ke kamar persalinan. Sofea dan Izyan berpandangan. Masing-masing tersenyum bahagia.

Husna dan Raudhah telah sampai terlebih dahulu di rumah Kak Fatimah. Sengaja datang awal untuk membantu Kak Fatimah menyediakan makanan. Kak Fatimah sekarang sudah di tahun akhir pengajian. Alhamdulillah dalam kesibukannya bertugas di wad anestesi minggu ini, sempat meluangkan masa untuk mengendalikan usrah pada petang ini. Jika minggu-minggu sebelumnya, usrah dikendalikan oleh Ustazah Syauqah dari Azhar Center.

TING TONG! Loceng rumah bordering. Serentak, Husna dan Raudhah berpaling ke pintu. Kak Fatimah yang telah siap memakai jilbab merah jambu yang disesuaikan dengan jubah merah hati bergegas membuka pintu. Senyuman manis menghiasi wajah putih mulusnya tatkala retina mata menangkap imej adik-adik mutarabbinya. Izyan, Sofea dan Shafi dirangkulnya erat sebagai melepaskan bebanan rindu yang memberat di pundak. Usai salam jamaie, mereka dijemput masuk.

Segera usrah dimulai oleh Husna selaku Pengerusi Majlis pada minggu ini. Lantunan ayat-ayat suci Al-Quran surah Al-Imran ayat 1-100 dibaca satu persatu secara tadarus. Sofea menghuraikan tafsir ayat-ayat tadarus tersebut sebelum majlis diteruskan dengan sesi sirah tentang Miqdad bin Amr oleh Izyan. Miqdad adalah pemuda ketujuh yang beriman kepada Allah yang Esa seawal dakwah Rasulullah SAW. Beliau terkenal disisi Allah disebabkan oleh sikapnya yang begitu menjaga tutur katanya dan tidak mudah membuat tanggapan terhadap orang lain. Panah tarbiyah menusuk hati Husna tatkala merenung keperibadian Miqdad. Diam-diam membina azam di dalam hati untuk mencontohi akhlak mulia yang ditunjukkan oleh pemuda syurga tersebut.

Setelah sesi sirah, Husna mempersilakan Kak Fatimah untuk menyampaikan materi tarbiyah. Dengan tertib, kak Fatimah memulakn bicara. Tajuk hari ini adalah ukhuwwah fillah (persahabatan kerana Allah). Imam As-Syahid Hassan al-Banna dalam Majmuk Rasa’il menjelaskan :
“Yang saya maksudkan dengan ukhuwah islamiyah ialah hati dan jiwa terikat dengan ikatan aqidah. Aqidah merupakan titik paling kukuh dan bernilai. Kekuatan pertama setelah aqidah adalah kekuatan perpaduan dan tidak ada perpaduan tanpa kasih sayang.”
Ikatan aqidahlah yang mengikat antara hati orang Islam- bukan ikatan darah, keturunan, bangsa, kebendaan, kroni dan sebagainya. Ikatan ini adalah yang paling kukuh. Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 103 yang bermaksud :
“dan berpegang teguhlah dengan tali Allah (Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, serta ingatlah nikmat Allah suatu ketika dulu(ketika Jahilliyah,) kamu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hati-hati kamu, lalu jadilah kamu dengan nikmat Allah tersebut orang-orang yang bersaudara. Dan ketika kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatnya agar kamu mendapat petunjuk”
Ukhuwwah yang minimal adalah salamatus sadri yaitu sejahtera jiwa sesame muslim. Seorang mukmin itu tidak mempunyai sebarang halangan dengan saudaranya. Wujud saling percaya mempercayai, tiada syak wasangka, tidak curiga. Ukhuwwah yang paling tinggi adalah al-ithar iaitu seorang muslim melebihkan saudara seislamnya melebihi dirinya sendiri. Ukhuwah itu adalah anugerah dari Allah kepada orang beriman. Ukhuwwah sentiasa melazimi iman. Tiada ukhuwwah tanpa iman dan tidak sempurna iman tanpa ukhuwwah. Firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat 62-63:
“Dialah yang memperkuatkan kamu dengan pertolonganNya dan dengan para mukmin dan DIA lah yang menyatukan hati-hati mereka. Sekiranya kamu membelanjakan semua kekayaan yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati-hati mereka akan tetapi Allah telah menyatukannya. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”

Paling penting dalam prinsip berukhuwwah adalah saling berpesan-pesan kearah kebenaran dan kesabaran sepertimana telah dijelaskan dalam Surah al-Asr dan tetap bersabar bersama-sama dengan sahabat-sahabat yang soleh yang menginginkan kebaikan dunia akhirat. Semua khusyuk mendengar. Subhanallah.. kata-kata sakti yang menusuk tangkai hati. Walaupun materi ukhuwwah ini sudah acap kali dilalui, namun kali ini, seakan sangat berbeza. Seakan mendapat teguran lansung dari Allah. Suasana hening.
Ahli usrah diam menghitung diri masing-masing. Betapa khilafnya mereka pada sahabat. Betapa dangkalnya fikiran mereka dalam memahami makna sebenar ukhuwwah.
“Husna nak buat luahan rasa..” Husna memberanikan diri. Kak Fatimah sekadar mengangguk membenarkan. Husna menelan air liur.
“Shafi, sebelum Husna mula, Husna nak mohon ampun pada Allah dan minta maaf sangat pada Shafi andai ada luahan Husna yang bakalan melukai Shafi” dada Shafi berdebar. Seakan dapat menebak apa yang mahu dibicarakan oleh temannya. Ah, pasti Husna sudah tahu. Husna yang bergiat dalam Perwakilan Pelajar di sini pasti tentu sahaja telah lama mendengar berita ini. Iman Shafi pasrah. Dia tahu lambat atau cepat, dia akan menghadapi juga saat ini.
“ begini Shafi, Husna dengar Shafi dan Aiman Hakeem telah terperangkap dalam jerat percintaan. Ramai yang bertanya.Husna tidak tahu harus berkata apa sedang Husna sendiri tidak jelas dengan kondisi Shafi.. sejak belakangan ini pun, Husna lihat Shafi seakan mahu menjauhkan diri dari kami.apa sebenarnya yang dah berlaku? ” Empangan air mata yang dibina Husna sejak tadi pecah jua. Menggugurkan manik-manik jernih dari kelopak mata.
“ Shafi, sebenarnya Yan dan Sofea pun pernah ternampak Shafi dan Aiman Hakeem jumpa berdua di Satpam beberapa kali. Cara Shafi bercakap dengan Hakeem mengundang rasa tidak kena di hati kami. Tapi Sofea kata jangan terlalu percayakan mata..kerana indera terkadang jua menipu.., tapi Shafi.. roh ukhuwah yang terbina antara kita mengatakan ada yang salah dengan itu..” Izyan juga gagal mengawal emosinya. Air mata menitis mewakili perasaan yang diamuk badai kesedihan. Shafi hanya mendiamkan diri.
Di matanya terbayang saat awal perkenalannya dengan Hakeem. Dulu dirasakan Hakeem adalah seorang yang nampak sok alim padahal benar-benar tidak faham tentang Islam. Idea yang dilontarkan berkenaan program yang bakalan dianjur Persatuan Penyair Melayu sangat kebudakan jauh sekali menepati syariat. Berada dalam barisan jawatankuasa perancang program bersama Hakeem amat memenatkan. Perangai Hakeem yang keras kepala membuatkan Shafi terpaksa belajar bertolak ansur. Berusaha mencari titik persamaan dengan Ketua Tim Perancang tersebut. Akhirnya usaha Shafi kian menampakkan hasil.

Hakeem yang awalnya sering menolak mentah-mentah idea Shafi yang dianggap terlalu Islamik sudah boleh di ajak berbincang. Shafi gembira dengan perubahan itu. Dia terlena dari sikap waspada. Hingga tidak sedar bahawa itu adalah permulaan kepada ujian Allah yang maha berat ke atas dirinya. Mengharung program demi program membuatkan mereka makin rapat. Hubungan mula berubah rentak. Bermula dari SMS, bergayut di telefoon dan akhirnya tiada lagi rasa segan untuk bertemu berdua. Astagfirullahal azim. Shafi seakan baru tersedar dari lena yang panjang. Rasa berdosa menjalar ke urat nadi seakan tiada harapan lagi untuk mengintip sebuah kemaafan. Dalam kemelut jiwa yang melanda, dalam badai dosa yang menghempas ganas pantai hati, Shafi menggagahkan jua lisannya. Mengkhabarkan kepada sahabat-sahabatnya apa yang sebenarnya terjadi.

Sebaik mendengar pengakuan Shafi, semua terdiam.tidak mampu berkata walau sepatahpun. Rasa kasihan menjalar memenuhi rongga dada. Shafi sudah dipertengahan jalan dan mereka harus berbuat sesuatu untuk menariknya kembali.
“Shafi sudah berdosa pada Allah. Shafi menyesal atas kebodohan Shafi. Masihkah Allah akan memberi ampunanNya pada Shafi?” Shafi merintih penuh kehibaan.
“Shafi.. rahmat dan keampunan Allah itu begitu luas, mencakupi langit dan bumi.Allah sentiasa membuka pintu taubatNya di malam hari, supaya orang yang berdosa pada siang hari bisa meminta ampunan dariNya dan DIA membuka pintu taubatnya pada siang hari, supaya orang yang berdosa pada malam hari bisa memohon ampunan dariNya. Asal sahaja hambaNya mahu kembali padaNya..” kak Fatimah berkata lembut. Tangisan Shafi semakin rancak. Terasa kasih sayang Allah memenuhi jiwa. Jalannya yang selama ini kelihatan kabur berkabus dosa seakan diterangi mentari pagi yang mencapahkan kehangatannya, mengiringi perjalanan yang akan dilalui.

“Shafi, apa yang akan Shafi lakukan selepas ini? bagaimana dengan Hakeem?” Sofea yang dari tadi hanya mendengar mencelah. Benar kata Sofea. Apa yang harus dilakukannya? Kalau mahu berkahwin sekarang macam tak mungkin. Kalau mahu memutuskan perhubungan, perasaannya pada Hakeem sudah utuh. Sebelum ini pun dia dan Hakeem ada berbincang untuk lebih menjaga hubungan mereka namun syaitan dan nafsu lebih kuat menumpaskan iman. Tambahan pula, pasti Hakeem akan menyalahkan usrahnya seperti awal-awal dulu.
“Shafi pun tak tahu. Shafi tak nak nanti dia salahkan usrah kita kalau Shafi minta putus. Tapi Shafi pun tak nak Allah tarik keberkatan dalam hubungan kami. Hakeem tu, dia tak faham soal keberkatan, soal mencari redha Allah. Tapi dia hajat untuk belajar.” Iman Shafi buntu.
“InsyaAllah kalau dia hajat pada Islam, akak akan cakap pada Hasan, mas’ul usrah banin untuk bimbing dia. Kita usaha dan selebihnya tawakal pada Allah. Kalau Allah nak bagi dia hidayah, walau satu dunia menghalang, tentu Allah tetap akan beri begitu juga sebaliknya.” Ujar Kak Fatimah dengan yakin.
“Shafi, kalau soal dia akan membenci usrah kita,Shafi jangan bimbang sebab kita semua jelas dengan apa yang kita buat. InsyaAllah kita akan mengharungi dugaan ini bersama-sama. Yang penting kita bergandingan tangan untuk mencari redha Allah. Kalau salah seorang antara kita terjun ke jurang berbahaya, yang lain pasti akan terjun sama untuk mamaut tangannya kembali ke jalan yang benar.kerana apa? Kerana kita berkawan atas dasar iman. Berteman untuk mendaki tingkat taqwa. Bersahabat menuju syurga..” Raudhah menenangkan.

Iman Shafi lega. Di hatinya sarat dengan rasa syukur atas kebaikan yang Allah kurniakan padanya. Rasa bertuah kerana Allah masih menyayanginya. Masih menetapkan hatinya dalam cahaya iman. Dikurniai sahabat-sahabat soleh yang berukhuwwah hanya kerana Allah, setia di sampingnya, menghulurkan tangan tatkala jatuh, memaut dia tatkala tersasar. Tentang Hakeem, kalaulah benar, dia adalah jodohnya yang telah tertulis di Loh Mahfuz, semoga Allah mempertemukan mereka kembali dalam keadaan yang lebih baik. Buat masa sekerang, dia hanya ingin bergandingan tangan dengan sahabat-sahabatnya menegakkan amar makruf dan nahi mungkar, berjalan bersama menuju syurga…

0 ulasan:

Catat Ulasan