Skinpress Rss

Khamis, 26 Ogos 2010

WANITA SEMPURNA

0


Aku ingin menjadi wanita sempurna
Yang mengagungkan cinta Allah dan RasulNya
Wanita suci yang memelihara diri dan mata
Malam beribadah siang berbakti pada nusa

Aku ingin menjadi wanita sempurna
Yang ilmu pengetahuan sarat di dada
Suruhan Allah terpatri di jiwa
Membina tamadun agama dengan membina keluarga

Namun aku sedari,
Bahawa aku hanyalah wanita biasa
Yang khilaf dan penuh dosa
Menimba ilmu tapi kemudian lupa
Iman belum kukuh dan hati mudah alpa

Aku hanyalah wanita biasa
Yang tidak mungkin akan sempurna
Hanyalah seorang wanita yang bisa berusaha
Dan terus berusaha
Untuk mencontohi sosok wanita yang sempurna
Seperti Khadijah dengan sifat dermawannya
Seperti Aisyah dengan kebijaksanaannya
Seperti Fatimah Az-Zahra dengan ketinggian akhlaqnya.

“wanita hiasan dunia, seindah hiasan adalah wanita solehah..”
21 Agustus 2010
2.30 pm

KENALAN DI PERJALANAN

0


Jumaat, 13 Ogos 2010. Dalam perjalanan pulang ke Jeneponto setelah 1 minggu cuti awal puasa (libur awal puasa). Sepetutnya pulang ke sana kelmarin tapi kerana kesepakatan (kekompakan) teman-teman yang mahu pulang pada hari ini memaksa diri untuk turut serta.

Merancang untuk solat jama’ zohor dan asar di luar, diri dan sahabatku Ummi Kalsom berangkat dari rusun jam 10.30 pagi. Sampai di masjid Telekom, Masjid Nurul Iman yang agak selesa dan besar. Menurut Ummi, dia sering singgah di situ untuk menunaikan solat sebelum meneruskan perjalanan ke Jepot. Sewaktu tiba di masjid, kelihatan beberapa orang Hawa yang sedang menjalankan usrah (tarbiyah) di satu sudut di penjuru masjid,manakala ada satu kumpulan yang lain sedang mempelajari tilawah Al-Quran di penjuru yang lain. Bahagianya melihat satu suasana yang cukup mendidik. Biah yang selari dengan corakan Allah, biah solehah.

Semakin menghampiri waktu Zohor, ruangan masjid dipenuhi dengan kaum adam. Kaum Hawa beredar pergi. Hairan (aneh) diri memikirkan seolah-olah masjid itu memang dijadikan untuk kaum itu. Segan-segan pula diri dan Ummi masih duduk-duduk di situ. Sedang ligat otak berputar mencari kesesuaian fakta dengan kondisi, ada seorang wanita tua menegur, “hari ini kan jumaat nak, orang mau solat jumaat..”. Astagfirullahal azim.. betul-betul lupa.. Ya Allah.. bagaimana mau menunaikan solat zohor.

Bertanya pada seorang saudari yang barusan menyelesaikan usrah (tarbiyah), untung dia mengajak diri serta Ummi mengikutinya ke SMK berhampiran kerana dia sebenarnya merupakan penanggungjawab bagi program Pesantren Kilat anak-anak jurusan farmasi. Diri dan Ummi bersetuju lantaran terdesak untuk mengerjakan solat. Tidak mahu menunda solat kerana kita juga tidak tahu apa yang berlaku di depan.

Menaiki kereta (mobil) kenalan baru kami, Nurul, sempat berkenalan sedikit sebanyak. Nurul adalah alumni Unhas dari jurusan teknis angkatan 2006. Kata Nurul dia dulu bercita-cita untuk kuliyah di kedokteran namun pada sesi pengambilannya, dia gagal untuk lulus dalam ujian kemasukan SPMB. Setahun setelahnya dia mencoba lagi namun tidak mengingat nombor peperiksaannya. Akhirnya Nurul pasrah. Mungkin bukan takdirnya untuk menjadi seorang dokter. Senyuman manis gadis yang berusia 22 tahun itu sangat bersahabat. Membawa kami ke tempatnya untuk menunaikan solat dan menghantar kami kembali ke masjid Nurul Iman.

Diri sangat bertuah kerana diberi kesempatan oleh Allah untuk berkenalan dengan Nurul dan melihat suasana program pesantren kilat yang mereka jalankan. Berkenalan dengan siswi-siswi SMK, generasi baru yang diharap untuk mendokong syiar Islam di pundak mereka. Wajah-wajah jernih mengundang rasa kasih yang mendalam di pojok hati walau baru pertama kali mengenali. Teringat suasana sewaktu program-program di Malaysia dulu.. suasana yang penuh dengan biah yang mendokong. Suasana yang mengingatkan pada Allah dan membina iman.

Berpamitan di depan masjid Nurul Iman di tempat kami mula berkenalan, dalam hati mengharapkan supaya aka nada lagi pertemuan. Ya, sahabat kerana iman itu akan saling merindu tika berjauhan dan saling menghargai tika berdekatan..

PENDAKWAH KECIL

0


Sering kita lihat kebiasaan anak-anak yang suka bermain saat solat terawih di masjid, tak kurang juga yang mengganggu temannya saat berjemaah. Tapi hari ini, Allah memberikan peluang pada diri untuk menyaksikan satu fenomena yang cukup mengagumkan.

Seorang anak sekitar usia 10 hingga 11 tahun berusaha menunjukkan qudwah hasanah (contoh yang baik) pada temannya yang tidak mahu mendirikan solat walaupun sudah berada di masjid. Mungkin di benak anak sekecil itu, sejadah adalah suatu syarat wajib yang menyebabkan sahnya solat. Jadi meski imam sudah selesai membaca surah, anak kecil tadi masih belum tergerak untuk mendirikan solat lantaran ketiadaan sejadah sebagai tempat sujud.

Pendakwah kecil tadi datang pada temannya dan menggosok ubun-ubunnya sebelum membersihkan lantai didepan mereka. Perlahan tangan teman yang tidak mau menunaikan solat ditarik. Kemudian mereka berdua menunaikan solat bersama beralaskan lantai yang dingin sebagai tempat sujud.

Usai solat terawih pertama, pendakwah kecil tadi kemudian mendekati seorang anak kecil berusia antara 4-5 tahun yang berada di saff depannya. Anak kecil itu dari tadi hanya menjadi pemerhati setia di tepi gelanggang. Pendakwah kecil itu mengusap ubun-ubun anak kecil itu sambil mengajarkannya cara mengerjakan solat. Sedang abangnya yang hampir sebaya dengan pendakwah kecil itu saja tidak berjaya mengajak adiknya solat. Anak kecil itu pun mengerjakan solat di samping pendakwah kecil. MasyaAllah. Sentuhan kasih sayangnya berjaya melunakkan hati-hati disekitarnya. Mampu mempengaruhi sekelilingnya untuk turut sujud menyembah Al-Khaliq, Pencipta Agung alam semesta yang terbentang tak bertepi.

Subhanallah.. siapa kata harus tunggu besar baru bisa mendakwahi orang lain, siapa kata harus tunggu sempurna baru bisa menyampaikan kebenaran? Dakwah itu tanggung jawab setiap insan sebagai khalifah. Dakwah itu mulai dari lahir hingga ke liang lahad. Tak semestinya dengan ceramah yang berapi-api. Tapi bisa juga hanya dengan teladan yang baik. Bisa dengan senyuman. Dakwah itu adalah saling berpesan pada kebenaran dan kesabaran. Yang penting, kita melihat masyarakat di depan kita sebagai peluang dakwah. Terus dan terus memberikan teladan yang baik untuk menyeru pada kebaikan.

“nahnu du’at qabla kulli syai’in”

UNDANGAN BERBUKA PUASA

0


18 Agustus 2010. Di undang berbuka puasa di rumah koordinator desa (Kordes) kami, saudara Irfan Syahrir di rumahnya yang kebetulan juga di Jeneponto. Tidak begitu jauh dari posko kami. Perjalanan ke sana menaiki angkot kota (pete-pete) mengambil masa lebih kurang 20 menit dengan kos Rp60 000.

Sampai di sana di sambut oleh bunda Irfan yang kelihatannya sangat ramah. Kami dipersilakan duduk di ruang tamu sambil menunggu waktu berbuka. Mendekati jam 6, baru kelihatan kelibat ayah Irfan yang baru pulang dari kerja. Walaupun kepenatan dalam seragam kerjanya, ayah Irfan tetap tersenyum dan menyambut setiap tamu yang datang dengan begitu mesra.

Sempat berkenalan dengan adik ketiga Irfan, Ayu. Secantik namanya, begitulah empunya diri dan pekerti. Ayu sangat peramah dan bersahabat seperti orang tuanya. Walau kali pertama bertemu lansung bisa mesra dan bercerita tentang banyak hal. Gadis yang berusia lebih kurang 16 tahun itu kini menuntut di SMK bagian akutansi (accountancy) dan merencanakan untuk melanjutkan pelajaran di bidang yang sama di peringkat perguruan tinggi (IPT) nanti.

Kebahagiaan terpancar di wajah mulus itu tatkala menceritakan tentang susur galur keluarganya yang terdiri dari 4 bersaudara. Kakaknya yang sulung kini telah berkerja di Mandala sementara Irfan selaku kakak keduanya sudah hampir selesai kuliyah sedikit waktu lagi. Dia sendiri akan memasuki era perkuliyahan manakala adik perempuan bungsunya sudah di kelas 5 sekolah dasar SD. Turut termasuk dalam pokok bahasannya adalah tentang hubungan kekeluargaannya dengan tantenya (mak cik- mak ciknya) serta topografi rumahnya dan hubungan dengan tetangganya yang sangat akrab ibarat punya pertalian keluarga.

Turut tidak ketinggalan tentang neneknya yang barusan sembuh dari penyakit stroke. Neneknya masih dalam fase pemulihan. Dari anamnesis yang ku lakukan pada nenek Irfan kemudian, ternyata stroke nya berasal dari komplikasi darah tinggi dan penyakit jantung yang telah di alami sejak beberapa tahun belakangan. Namun begitu nenek masih dianugerahkan kesehatan yang baik dan penyembuhan yang mengembalikan anggota geraknya secara fungsional.

Ayu turut petah berbahas tentang isu-isu semasa seperti ramalan mencairnya es di Jawa yang dikhuatiri akan membanjiri kepulauan Indonesia setinggi menara MONAS di Jakarta pada tahun 2050 nanti. Dari cara bicaranya jelas terlihat kecerdasan dan kematangan Ayu dalam menyusun kata dan menyamakan levelnya dengan lawan bicara. Satu kelebihan yang jarang dimiliki oleh anak seusianya.
Keluarga Irfan walaupun tampak sederhana tetap kelihatan amat bahagia. Satu contoh keluarga sakinah yang mampu membentuk peribadi yang teguh dan berkeyakinan. Benarlah asal pembentukan anak-anak yang baik itu bermula dari rumah tangga yang bahagia dan di payungi rahmah dan sakinah.

Sabda rasulullah SAW dalam satu hadith :
“anak-anak itu bersih, ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya untuk menjadi yahudi, nasrani atau majusi..”

*masakan ibu Irfan sangat enak. Pertama kali merasakan Coto Ayam yang sangat enak dan memenuhi cita rasa hingga menambah dua kali. Penuh cita rasa, penuh juga perut yang di isi hingga hampir terlupa bahawa solat terawih belum dikerja.

AMARAH BISU

0


17 ogos 2010. Entah angin timur laut mana yang menyapa membuat diri tak keruan hari ini. Post dari Mr.H menghentak keras persada atma. Kenapa harus ditulis di Wall FB hal yang telah lama dipertanyakan. Berkenaan foto pimpinan organisasi sesi lepas yang masih terpampang di website organisasi. Jawaban yang diberikan bukan sahaja tidak wajar bahkan kasar sekali seakan-akan sedang melepaskan dendam yang tersimpan. Dia seolah mahu menyalahkan diri kerana tidak prihatin terhadap alamat blog yang sudah ditukar.

Sudahlah ada program kerjaku sebentar siang yang harus ku tuntaskan. Benar-benar memeningkan kepala. Barangkali kerana kondisi tubuh yang kurang sehat di tambah suhu yang agak tinggi merendahkan ambang sabar yang sememangnya masih banyak memerlukan latihan dan didikan hati.

Segera sms dikirim menanyakan apa masalah yang dihadapi hingga tegar menulis post yang demikian. Balasan dari sang H lebih menyakitkan hati. Dengan bahasa yang sangat tidak terjaga, dia membalas dengan sindiran yang keras. Katanya amarah yang menyala dalam dirinya bukan kerana salahku. Dia geram dengan sikap segelintir mahasiswa 07 yang membuat onar hingga dia yang diharus menghadap pihak yang berwajib.

Tak mengerti. Apa sebenarnya masalah anak ini?? kembali membalas sms nya setelah beberapa jam “ntahlah..akak minta maaf kalau akak dah buat salah pada awak tapi akak rasa akak dah cukup support awak selama ini. kalau awak rasa apa yang awak lakukan ini benar, teruskan. Tapi jangan sampai prinsip awak menggugah kepimpinan awak. Wassalam”. Titik. Semoga tiada lagi balasan darinya. Jiwa yang mendidih biarkanlah dingin dengan sendirinya.

Air mata sudah berhemburan tanda protes. Sedih melanda tatkala terganggu dengan hubungan sesama manusia. Diri yang selama ini cuba berbaik sangka dengan Mr.H hari ini teruji hebat. Kepada sahabatku Farhana dimuntahkan segala galau yang membungkam di hati. Ya, saat begini, apa yang diperlukan adalah teman untuk “curhat” (curahan hati). Tempat berbagi perasaan. Ya, berbagi perasaan adalah hal yang sangat melegakan bagi yang namanya perempuan. Untung, teman curhat ku adalah sahabat dunia akhiratku yang akan tetap setia membantu supaya tanaman iman tumbuh subur di jiwa. Ana tak putus-putus menasihati diri supaya sabar…sabar..dan terus sabar..

Jam demi jam terus berlalu dan diri baru bisa lebih rasional berfikir bukan hanya pakai emosi tapi juga pakai akal dan pertimbangan kasih sayang. Difikir kembali, anak ini kasihan juga. Mungkin mulut laser itu salah satu cara dia melepaskan tekanan jiwanya. Siang, mesej masuk. Permintaan maaf dari H andai ada kesilapan bahasa. Ya Allah, kasihan anak ini. untung tidak meneruskan niat jahat untuk menyuruhnya meletak jawatan saja. Kalau tidak,. Itu pasti menjadi penyesalanku di akhir waktu. Benarlah bahawa api tidak boleh di lawan dengan api yang sama panasnya. Tapi harus dipadamkan dengan air. Tapi untuk kekal menjadi air yang dingin dalam kehangatan api yang membakar atau dalam terik mentari yang mencarik tubuh hingga ke tulang amat payah. Memerlukan latihan demi latihan dan harus melalui ujian demi ujian untuk menjadi mantap.

PENUNGGU

0


14 Ogos 2010. Teman poskoku sepertinya sakit. Tidak enak badan katanya. Kepala sudah panas. Mual muntah melengkapkan lagi penderitaan yang ditanggung tubuh. Teman-teman membantu memicit (memijat) tubuhnya biar lega. Tapi keadaannya seperti semakin tenat. Kasian Uul. Ibu rumah memijat bahagian kaki ketika dia tiba-tiba menjerit kesakitan. Serentak kaki berubah menjadi panas. Ibu meneruskan pijatan seakan-akan tiada apa-apa yang berlaku.

Sungguh tidak tegar melihat situasi begitu. Teman-teman menenangkan temanku yang satu itu. Disuruh dia bersabar dan berdoa. Dipaksa untuk mencicip daun sirih sebelum daun itu dioleskan di ubun-ubunnya. Bau daun yang tidak enak itu pasti akan lebih menyiksanya. Walaupun temanku sudah menjerit dan meronta-ronta supaya tidak diperlakukan begitu, tetap saja ia di paksa. Kasihan sekali. Belum reda penderitaan yang ditanggung, kakinya diolesi pula dengan bawang merah hingga meronta-ronta temanku tak tertahan. Pedis katanya kaki. Air mata sudah berjejeran seakan tiada artinya kecuali meredakan perasaan sendiri yang makin tidak tegar untuk bertahan.
Setelah beberapa ketika, baru sedikit lega. Tapi katanya masih sakit-sakit tubuhnya.

Kata ibu, dia kerasukan. Baru kemudian temanku menceritakan tentang kejadian pagi tadi yang dia melihat bayangan lembaga putih berada disebelahnya saat selesai menunaikan solat subuh. Terus meremang bulu romanya. Itu lah saatnya dia merasa ada yang lain dengan dirinya. Pulak.. Pantaslah ibu mengatakan “jangan kasi begitu anaknya orang”..

Dari kejadian itu barulah terbongkar semua cerita-cerita tentang penunggu rumah, penunggu kebun dan sebagainya. Ibu juga menceritakan tentang bapak rumah yang juga seperti orang-orang kampong yang lain “memelihara”. Pantaslah kamar ditepi kamar tuan rumah tidak dibenarkan untuk ditempati kerana di situlah tempat pemujaannya. Ada padi mati yang diikat dan dipuja. Diberi hidangan makanan yang enak-enak seperti pisang, pudding dll. Penunggu itu dipercayai mampu memanggil rezeki supaya hasil tuaian menjadi dan dapat pula diperdagangkan dengan lumayan. Menurut ibu lagi, memang kebanyakan orang dikampung ini memiliki “benda” itu. Cuma tergantung ada orang memiliki yang “baik” dan ada pula memelihara yang “jahat”.

MasyaAllah.tidak ku sangka, dalam abad moden ini masih banyak hal-hal khurafat yang beredar di masyarakat. Cerita yang pernah dikisahkan oleh arwah nenekku suatu ketika dulu ibarat critera yang menari-nari di benakku.. Sungguh amat mengejutkan apabila aku juga menyaksikan fenomena tersebut di depan mata sendiri. Sedangkan mereka menunaikan solat dan menjalani kehidupan sebagai muslim.

Pergantungan pada Allah masih amat rendah. Sedangkan dalam asma’ Allah saja sudah membuktikan bahawa Allah lah yang mengurniakan rezeki, Allah lah yang mehidupkan tanaman dan tumbuhan. Allah lah yang mengekalkan alam agar terus hidup. Tapi manusia tetap ingkar. Tetap degil dari kembali pada Allah. Tetap bongkak dari meminta pertolongan Allah. Mereka lansung tidak menghiraukan bahawa pertolongan Allah itu amat dekat. Formula yang mudah dan praktikal “dan mohonlah bantuan Allah dengan sabar dan solat..”. ingin meminta.. mintalah pada Allah..

Analoginya seperti kita ingin memetik buah di kebun orang, yang mana yang lebih mudah kita dapatkan, meminta dari penjaga kebun atau lansung memintanya dari tuan kebun? Jika kita meminta dari penjaga kebun, pastilah penjaga kebun akan meminta juga dari tuan empunya kebun. Tapi jika kita lansung meminta dari sang pemilik kebun pastilah lansung diberikannya. Antara Allah dengan hambaNya tidak perlu kepada pengantara kerana Allah mendengar lansung permintaan hambaNya.

“have faith in Allah.. have faith in HIM..”

TERAWIH MARATHON

0


13 Ogos 2010 = 3 Ramadhan. Baru kembali ke Posko setelah 1 minggu cuti (libur) awal puasa. Bahagia betul melihat teman-teman berkumpul memeriahkan suasana di rumah haji Tewa. Ibu rumah juga kelihatan bahagia menyambut kepulangan kami. Sudah bersusah payah memasakkan juadah (makanan) berbuka dan es buah sejak tengahari (siang).
Saat senja semakin berlabuh, azan berkumandang menandakan waktu berbuka sudah tiba. Alhamdulillah sempurna mengerjakan ibadah puasa untuk hari yang ketiga. Selesai berbuka puasa, kami mengerjakan solat berjemaah.

Ke masjid berdekatan di awal waktu, gusar kalau-kalau saff penuh dengan masyarakat kampung. Setelah mengerjakan solat isya’ berjemaah, ada yang memberikan tazkirah ringkas. Tapi sayang kerana tazkirah tersebut diberikan dalam bahasa daerah hingga tidak semuanya dimengerti oleh diri.

Sewaktu mengerjakan solat terawih berjemaah, agak mengejutkan kerana solat terasa cepat sekali. Mana tidaknya bacaan Al-Fatihah diselesaikan dalam 1 nafas dan bacaan surah lain disempurnakan dalam 1 nafas yang lain. Kesimpulannya 1 rakaat tidak sampai 2 menit. Selesai solat terawih tidak ada wirid-wirid khusus terawih. Lansung saja. Jadilah buat pertama kalinya di Makassar ini, diri menyelesaikan solat terawih 20 rakaat. Kalau tahun-tahun sebelumnya diri hanya berpeluang mengerjakan solat terawih di rusun yang hanya mengerjakan solat terawih 8 rakaat + 3 rakaat witir. Solat sunat terawih yang 20 rakaat ini Berjaya dihabiskan dalam masa lebih kurang 40 menit.

Namun di sudut hati, ada terase macam suatu yang kurang bila solat terlalu cepat. Kerana Islam mengajarkan kita bahawa di dalam solat ada toma’ninah. Bacaan Al-Quran harus tartil. Ya, sebenarnya di situlah seninya solat. Di dalam bacaan ada yang perlu di perhatikan. Ada tajwid. Ada wakaf. Ada makhraj huruf. Dan yang paling penting dan menjadi inti kepada sebuah solat itu ada penghayatan. Syu’ur (rasa hati) untuk menghadap Al-Khaliq.. rasa itu lah yang akan memandu kita untuk merasai kehadiran Allah dalam kehidupan kita. Merasai bahawa Allah memerhatikan kita. Mendengarkan kita dan mengasihi serta melindungi kita di setiap sudut dan penjuru hidup kita.

Kalau disingkap tabir sirah, disitu kita temui bahawa Rasulullah serta sahabat-sahabat sering mengerjakan solat malam dengan membacakan surah-surah yang panjang seperti surah Al-Baqarah dan surah Al-Imran dari awal sehingga akhir. Bahkan mereka-mereka ini,ada yang menyelesaikan berjuzuk-juzuk Al-Quran dalam 1 solat. Saidina Umar contohnya, beliau mengkhatamkan Al-Quran setiap hari dengan membacakannya di dalam solat. Dari ibadah solat dan bacaan Al-Quran inilah sebenarnya yang akan melahirkan jiwa-jiwa yang berhubung lansung dengan Allah SWT. Natijahnya akan lahirlah peribadi-peribadi yang mengikut acuan Allah. Akhlak-akhlak yang mahmudah dan hati-hati yang tegar dalam menghadapi setiap ujian yang melanda serta jiwa yang kuat menangkis segala macam kemaksiatan dan kemungkaran terhadap Yang Esa..

“ Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar”