Skinpress Rss

Rabu, 11 Ogos 2010

SAHUR PERTAMA

1


Pulang ke Makassar untuk menjalani ibadah puasa yang pertama bersama yang tersayang. berpeluang berkumpul kembali dengan teman-teman sehalaqah.. Nabilah, Kak Soolihah, Farhana dan Ummi Kalsom.. setelah lebih dari 2 minggu di posko.

4.15 am.. bangun telat disebabkan semalam tidur lambat kerana menguruskan berkas wisuda (urusan graduasi. Jam 1 pagi baru tidur.. jadi jam 4 masih dalam mode tidur REM..tidur nyenyak.. alhamdulillah tersedar jua jam 4 lewat 15. melirik ke telefon genggam.. MasyaAllah 5 mesej masuk dari Ummi kalsom.. Ummi menanyakan samada perancangan yang kelmarin mahu sahur bersama..sebentar telefon berdering menandakan ada panggilan masuk.. farhana yang menelefon.. Rupanya dia sudah ada di depan pintu kamar. Ummi baru saja dikhabarkan supaya datang ke kamar.

Tergesa-gesa memasak telur mata sapi untuk semua.. memandangkan masa yang semakin singkat (mepet, sardin tidak sempat dibuat. jadilah bersahur dengan nasi kecap dan telur goreng. sangat ringkas tapi tetap bahagia kerana masih berpeluang bersahur bersama dengan sahabat-sahabat dunia akhirat.. walaupun hanya makan bersama tetap mengukuhkan ikatan yang terbina antara kita..

Selasa, 10 Ogos 2010

RAMADHAN KAREEM

0

ahlan wa sahlan ya Ramadhan..



Iringilah kehadiran Ramadhan dengan hati yang penuh sedar, jiwa yang teguh jaga, fizikal siap siaga dan juga keazaman yang lebih kental. Ya.. keazaman..apa azamku untuk Ramadhan kali ini? apakah sama dengan Ramadhan yang sebelumnya? azamku..
1)Tadarus 30 juz Al-Quran
2)Meningkatkan qiamulail dan ibadah sunat
3)Gandakan dzikir dan istigfar
4)Membanyakkan sedekah
5)Mempelajari ilmu dengan banyak membaca



semoga diri mampu untuk meniti madrasah Ramadhan kali ini dengan lebih baik agar lahir darinya nanti natijah insan taqwa yang mengikut acuan Allah..
"Ya Allah limpahkanlah rahmat dan kasih sayangmu padaku agar aku mampu untuk menjalani hari-hari dalam Ramadhan ini sarat dengan ibadah dan hal-hal yang membuatMu redha padaku.."

Sabtu, 7 Ogos 2010

SOLAT JEMAAH

0


3 Ogos 2010. Pagi ini agak berbeda dari pagi-pagi sebelumnya. Walaupun hujan yang turun deras dari semalam menyajikan hawa dingin yang menyucuk tulang belulang, namun sedikitpun tidak mencacatkan keindahan pagi yang bersinar dengan kebaikan. Untuk kali pertama kalinya setelah sebulan berada di posko, kami menunaikan solat berjemaah secara “massal” (beramai-ramai : hampir setengah ahli posko) dengan berimamkan Tuan rumah kami Haji Tewa. Bukan selama ini tidak solat berjemaah tapi kali ini lebih meningkatkan syu’ur (rasa) untuk menghidupkan subuh. Tambahan kami bertujuh berpuasa secara jamaie hari ini.

Solat berjemaah.. mungkin bagi sesengah orang hal itu rutin dilakukan dirumah atau sudah menjadi suatu hal yang terlalu biasa hingga terkadang kita tak lagi merasa solat berjemaah itu adalah suatu nikmat yang tak ternilai harganya. Diri ini juga seperti itu. Mungkin sewaktu masih berada di halaman ayah bonda, amalan ini menjadi satu kebiasaan dari kecil (rutinitas yang tidak terubahkan) hingga memasuki era matrikulasi, masih menjalankan solat jamaie di masjid Nilai atau juga di asrama bersama teman-teman serumah : Kak Maryam, Izyan dan lain-lain. Hingga diri terbang ke Makassar, Allah masih memberi kesempatan nikmat dan peluang untuk menjalani ibadah solat secara jamaie dengan teman kamar, Nachia dan Kak Soolihah.

Melalui hari-hari bersama kakak memang sangat membantu iman. Walau masih terkadang jatuh, lagha dan lupa, nikmat Allah masih mengizinkan kami untuk menunaikan rutinitas solat berjemaah, membaca Al-Quran, Mathurat, bahan-bahan fikrah dan melakukan hal-hal lain yang bermanfaat bersama. Namun usai datang ke Jeneponto, iman semakin teruji. Diri terbelenggu dengan sifat jumud (tidak bekerja) yang harus segera dihakis. Solat sendiri-sendiri, mendengar bacaan Al-Quran dirumah pada awalnya jarang sekali. Tapi Allah masih menyayangi diri. Dimakbulkan doa yang dipanjat sehari-hari..

Ya.. doa supaya dikurniakan sahabat yang soleh yang bisa membantu iman.. di penjuru desa Jeneponto ini, Allah mengurniakanku sahabat sebaik Amel dan Rahmah yang bisa diajak berbincang tentang iman dan Islam. Memang sedikit memakan masa untuk perkenalan tapi kini, kekuatan itu ada untuk dikumpulkan. Paling seronok apabila dahulu, diri hanya bangun sendirian untuk solat tahjud hinggakan untuk menyalakan lampu diruang depan juga tidak berani, tapi kini ada temanku Rahmah yang berlumba denganku untuk saling membangunkan tahjud, mengingatkan untuk berjemaah dirumah dan masjid dan berlumba-lumba membaca Al-Quran. Amel juga sekarang sudah kerap menyertai. Hingga kita tak lagi segan untuk saling mengejutkan walau hingga benar-benar bagun segar.

Alhamdulillah pagi ini, kenikmatan berganda-ganda apabila dapat berjemaah dirumah bersama Haji Tewa, teman-teman cowok dan cewek. Selalunya teman poskoku yang laki-laki akan berjemaah di masjid subuh begini namun hari ini mereka berjemaah dirumah memandangkan hujan masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti. Semoga saja hari ini berlalu dengan baik.amin..

LONG DISTANCE RIDE

1


2 Ogos 2010. Pengalaman pertama diri menempuh perjalanan yang panjang dengan menaiki motor. Bersama dengan beberapa orang teman beriringan pulang ke Jeneponto dari Tanjung Bira. Terpaksa menaiki motor berikutan kereta (mobil) yang bertambah penumpangnya (barang hiasan cenderamata) berbanding dengan sewaktu kami datang. Pertama kali juga bergaul dengan teman-teman yang “spesial” yang tidak begitu dikenali dengan akrab sebelumnya. Ya.. sentiasa ada perkataan “pertama kali”.. kerana pertama kali adalah satu nilaian pengalaman yang paling terkesan dan berbekas di memori.

Sepanjang berada di Jeneponto, motor telah menjadi suatu pengangkutan yang paling sering digunakan. Walaupun sebelumnya diri agak-agak fobia dengan motor tapi suka pula bila sudah terbiasa menaiki kenderaan beroda dua ini. Ya.. pastilah diri hanya menjadi pembonceng setia memandangkan diri lansung tidak memiliki pengetahuan tentang motor.. apatah lagi untuk membawanya.

Pemandangan sepanjang perjalanan saujana mata memandang. Kehijauan sawah yang terbentang luas sangat mendamaikan hati yang gundah. Lautan yang membiru membawa pergi resah yang bertandang di jiwa. Subhanallah, lafaz syukur terbit di atma mengenangkan nikmat penglihatan yang terus menerus dikurniakan Allah walau diri cemar bersalut dosa noda.

Lambaian pepohonan menghijau menyapa laluan kami sepanjang perjalanan 4 jam ke posko. Sebelumnya sempat singgah di rumah tante (mak cik) kepada teman yang berada di Bira. Bahagia melihat hubungan baik yang terjalin antara teman dengan keluarga tante nya tersebut. Ya lah anak muda sekarang kebanyakannya susah untuk bergaul dengan orang tua apatah lagi mahu untuk mampir (berkunjung) .. Tante siap memasakkan juadah enak yang menjadi santapan kami siang itu. Usai makan siang, kami tidak dibiar berehat.. lansung dihulurkan pisang goreng kegemaran bersama air teh panas. Alhamdulillah sewaktu makan siang tadi, tidak makan hingga terlalu kenyang.. jadi masih mampu menjamah sedikit teh dan goreng pisang yang terhidang. Sempat singgah di masjid Nurul Aziz di Bantaeng untuk menunaikan solat jama’ qasar zohor asar. Lega rasanya apabila selesai menunaikan solat.

Perjalanan kali ini tidak menyebabkan timbul gejala mual muntah sepertimana kebiasaan. Walaupun dari awal sudah bersedia dengan obat anti muntah, obat itu seakan tidak berjasa pada diri sekarang. Kerana diri sudah terubat dengan kesaktian alam. Sudah terubat dengan lopak-lopak jalan yang bagaikan bulan penuh dengan kawah-kawahnya, terubat dengan gelagat-gelagat manusia yang bermacam-macam ditepi jalanan. Terubat juga dengan rintikan gerimis yang sempat menyapa.

Sampai di posko jam 4.30 sore.. Sesampai di posko sudah ada teman kecilku, Anah dan Kasmah yang setia menanti dipintu. Terukir pengharapan di pesona wajah yang mungil menyebabkan diri tidak tegar untuk menolak ajakan mereka berjalan-jalan ke sawah seperti biasanya walaupun rasa pegal dan lenguh-lenguh sendi mulai terasa menjalar hingga ke tulang belulang. Usai memenuhi ajakan mereka, diri pulang ke posko dan merapikan diri.

Kasihan melihat teman yang memboncengku tidur pulas malam itu. Pasti capek (letih) sekali dia terpaksa memboncengku selama berjam-jam tanpa ada berhenti rehat. Dia yang selalunya jago /juara satu membawa motor hari itu, menjadi yang paling terakhir antara teman-teman yang lain. mungkin kerana pertimbangannya yang macam-macam kerana memboncengku.

*Teman, terima kasih atas perhatian dan kebaikanmu..semoga sahaja Allah membalasmu dengan kebaikan yang berlipat ganda.. amin..

MEMORI PERMATA 2010

2


Berada di Tanjung Bira.. Suasana di Bira masih seperti hari-hari kelmarin. Cantiknya laut yang membiru menggambarkan keagungan penciptanya. Perbedaan kedalaman air menghasilkan warna yang berbeda pula. Menambahkan lagi keunikan pantai Bira yang indah berlantaikan pepasir halus memutih.

Saat-saat di Bira benar membangkitkan memori bersama teman-teman sewaktu menjalani program PERMATA Mei yang lalu.. seperti tahun-tahun sebelumnya, Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) telah menganjurkan program motivasi PERMATA yang mana pihak penganjur telah menjemput seorang penceramah dari Malaysia, En. Fazrul Ismail, motivator yang membawa pendekatan dakwah secara simple dan global yang dinamakan sebagai teknik PIES & CASIC. Tujuannya adalah untuk menjadikan dakwah kelihatan ringan di mata masyarakat umum.

Diri bersama Kak Soolihah, Nabilah dan Ana telah mengikuti program tersebut. Ummi yang pada awalnya agak keberatan untuk mengikuti lantaran adanya masalah air yang hampir saban tahun dihadapi di lokasi, turut hadir pada akhirnya, melengkapkan lagi kebersamaan. Turut hadir, sahabatku Rosnani, calon ustazah kelahiran Sabah yang kini sedang menuntut di Sekolah Tinggi Agama Negeri (STAIN) Watanpone, kebupaten Bone. Diri yang menjemput Nani untuk mengikuti program ini usai pertemuan kami dalam ziarah tarbawi Mac lalu ke Bone. Harapanku, di program itu nanti dapat memberi pengalaman pertama pada Nani menyertai acara anak Malaysia setelah setahun terpisah dari komuniti lantaran ketidak tahuan. Di samping ingin memperkenalkannya kepada pimpinan PKPMI tahun ini.

Di Bira, kami menempatkan diri di sebuah kamar (bilik) belakang berenam walaupun sebenarnya harus berlima per kamar. Diri dan Nabilah telah dilantik sebagai panitia (ahli jawatan kuasa, AJK) divisi makanan menyebabkan kami begitu sibuk hingga tidak seluruhnya dapat mengikuti program yang disediakan. Harap maklum, kami terpaksa bersedia di lokasi setengah jam dari waktu program untuk menyediakan kosumsi, keluar dari program juga 15 menit lebih awal. Belum masuk bab cuci gelas, piring, periuk dan sebagainya. Akibatnya, jangankan mahu mengikuti aktiviti lasak seperti explorace, mendengar materi hingga selesai juga tidak sempat.

Agak stress dengan kondisi seperti ini. Bayangkan sejauh 6 hingga 7 jam perjalanan ditempuh untuk datang ke Bira dengan segala bentuk pengorbanan waktu belajar dan jam istirehat, tidak dapat pula memaksimalkan waktu untuk mendapatkan bekal pengisian. Teringat cerita kakakku sewaktu dia menjadi panitia makanan salah satu kem tarbiyyah di Kelantan. Katanya memang susah untuk mengikhlaskan tenaga dan waktu untuk menyediakan makanan untuk program namun itulah hal yang harus kita latih.. latih diri untuk melakukan barang apa kerja sekalipun, dengan ikhlas. Walaupun bekerja di balik tabir tidak dipandang, bahkan tidak dirasakan penting, namun itu sebenarnya adalah suatu tanggungjawab yang maha berat dan krusial. Tanamkan rasa “ Ya Allah, aku ni nak bagi makanan pada orang-orang yang ingin mendalami agamamu..maka ikhlaskanlah ya Allah”..

Mujur ada teman-teman yang tetap setia mendokong. Walaupun tak dapat menghabiskan banyak waktu dengan sahabat-sahabat di program, tetap merasa bersyukur apabila selesai tugasan, pulang ke kamar dapat duduk kembali bersama-sama. Berbincang tentang iman dan membuat konklusi tentang program yang berjalan pada hari tersebut. Jadi setiap hari menghadiri program dengan iman yang ter’cas’. Teringat satu kata-kata :

“ Seorang pejuang berjuang bukan hanya disandarkan oleh kekuatan hatinya tapi disokong oleh kekuatan hati saudara-saudaranya hingga dia berteguh dalam melakukan kebenaran dan bertegas dalam mencegah kebatilan..”

TANJUNG BIRA HANG OUT.. POSKO MODE

0


2 August 2010, hari ini, diri akan berkunjung ke salah satu tempat wisata tunjangan (tempat perlancongan utama) Sulawesi Selatan yang telah sering dikunjungi sebelumnya yaitu Tanjung Bira bersama dengan teman-teman seposko. Bertolak dari posko Tolo’ Barat jam 9 pagi. Cuaca yang cerah ibarat mendokong perjalanan kami.

Perjalanan ke Bulukumba mengambil masa 4 jam dari Jeneponto. Harus melalui Bantaeng Ayong yang memandu kereta yang disewa khas (mobil rental) untuk ke sana. Dalam perjalanan sempat singgah di satu warong bakso untuk mengalas perut. Berada dalam kereta bersama menempuh perjalanan yang panjang benar-benar memberi kami waktu untuk lebih saling memahami antara satu sama lain via komunikasi. Di situ kami berkenalan dan bercerita tentang apa sahaja yang bisa menghangatkan suasana. Bergurau (bercanda) mengeratkan lagi hubungan yang terbina.. ya..inilah proses.. proses untuk membina rasa sayang antara satu sama lain.

Sampai di Bira menginap di rumah tumpangan yang telah ditempah oleh temanku Kiki dari hari sebelumnya.. walaupun kamarnya tidaklah terlalu besar namun masih selesa untuk ditempati oleh 10 orang cewek. Teman-teman cowok menempati kamar yang berbeda namun berdekatan atas pertimbangan keselamatan. Kasihan cowok.. setelah hampir sebulan di posko mereka tidak pernah tidur di atas katil berikutan keterbatasan ruang. Hari ini baru merasa enaknya tidur di tilam (kasur) empuk yang tersedia..

Menikmati hari yang tidak terlalu panjang di Bira tetap menjanjikan pengalaman baru. Bersama teman-teman menikmati dinginnya air laut, menyusuri pantai yang indah dihiasi pelangi, menaiki boat mengharung ombak yang agak deras..memori yang takkan terlupakan..

Pasti.. semua orang punya kelebihan dan kelemahan masing-masing. Begitu juga dalam perjalanan ke Bira kali ini.. kesalahfahaman dan perselisihan pendapat bagai tidak dapat di elakkan. Namun itu rencah dan asam garam persahabatan. Justeru itulah intipati dari keakraban. Akhirnya akan terlahir ikatan kasih sayang yang utuh dan akan membuatkan kita menghormati antara satu sama lain..menerima baik buruk seseorang apa adanya dan saling menampungi kelemahan sesama sendiri.. kerana persahabatan itu adalah apabila kita bisa saling menghargai, saling mengambil berat dan mementingkan orang lain sepertimana mengambil berat tentang kepentingan kita sendiri..

Jumaat, 6 Ogos 2010

AFTER 10 DAYS

0


Pejam celik pejam cilik, sudah 10 hari berada di Jeneponto. Hari ini terpaksa pulang ke Makassar berikutan notis pendek yang diperoleh 2 hari yang lepas. Harus menghantar softcopy flipchart bagi membantu proses pengeluaran nilai IKAKOM.

Selesai seminar awal, terus pulang dengan menaiki panter (kereta/mobil sewa yang membawa penumpang ke Makassar) bersama Wawan dan Winda. Pertama kali menimba pengalaman yang begini.. menaiki kereta dengan orang yang sama sekali tidak di kenali. Dan susah sekali mahu meminta untuk berhenti solat. Sesampai di Makassar Winda menghantar diri lansung pulang ke Rusun.

Kakak Soolihah sudah terlebih dahulu sampai. Gembira sekali pulang untuk bertemu sahabat-sahabat. Farhana juga pulang. Sebentar lagi mungkin dia juga akan sampai. Ummi besok baru akan pulang. Nabilah tidak dapat pulang lantaran dia baru pulang baru-baru ini disebabkan kekangan kesihatan yang tidak begitu bagus. Kebetulan hari ini hari lahir Ain. Kami keluar makan bersama untuk pertama kalinya setelah lebih seminggu tidak ketemu.

Setelah ummi sampai ke Makassar besoknya, rasa terubat rindu yang bersarang di hati. Masing-masing sibuk bercerita tentang pengalaman di tempat masing-masing. Inti kepada kepulanganj kali ini, kami sempat mengambil peluang untuk menjalankan usrah. Walaupun ianya tak lah seformal biasanya namun ia cukup untuk menjadi bekal menghadapi hari-hari yang mendatang.

Memandangkan semua orang juga tidak bersedia penuh, jadi usrah kali ini Cuma membacakan buku karangan Ummu Anas dengan tajuk tazkirah “Binalah Iman dan Taqwa”. Tajuk ini sangat sesuai dengan kebutuhan semasa kami yang ketika berada di Posko, tiada orang lain yang bisa membantu. Tiada teman yang selalu mengingatkan. Tiada murabbi yang bisa dirujuk. Semua berbalik pada iman di dada. Iman yang menjadi benteng dari kebatilan. Iman yang membolehkan kita berfikir dengan waras, membuat keputusan selari dengan syariat.

Hanyalah keimanan yang dapat memancarkan ke dalam hati, benih-benih kebahagiaan yang dirindui setiap diri. Dengan iman akan tercipta ketenangan, ketenteraman dan kepuasan. Dengan iman juga setiap diri akan terdorong melakukan amal soleh yang diperintahkan dalam Islam. Hanya diri yang beriman dan beramal soleh yang mampu mengajak insan lain melaksanakan sebarang bentuk kebaikan. Justeru itu, kita harus mengawal diri kita dengan iman dan memperindahkan akhlak kita dengan taqwa. Tanpa kawalan iman, nescaya runtuhlah segala kekuatan dan hancurlah segala kebaikan. Hati-hatilah dalam berfikir dan bertindak. Batasi segala keinginan dengan rasa takut kepada Allah. Itulah dia taqwa yang sentiasa menjurus diri dalam ketaatan dan kepatuhan.