
Masih dalam mode Sepak Bola dan hubungan antara Indonesia-Malaysia. Luahan rasa dari seorang teman agak membuat diri kaget dan mengundang kesedihan serta kekecewaan di pantai hati. Apa lagi apabila mengingatkan bahawa dia adalah antara teman Indonesian yang sangat dekat dengan diri. Tapi diri mengerti posisi temanku tersebut. Dia juga seperti diri ini suatu ketika dulu.

Sewaktu masih berada di Malaysia, masyarakat didedahkan dengan jenayah-jenayah yang melibatkan warga Indonesia. Seperti penglibatan dengan narkoba, perompakan, pembantu rumah yang mencuri di rumah majikan dan mendera anak majikan, dan pelbagai lagi jenayah ringan dan berat. Pengalaman diri juga sewaktu di Nilai berhadapan dengan warga Indonesia yang suka pulang larut malam, berpakaian dengan pakaian seksi yang menurut norma setempat tidak begitu sopan(perempuan). Berbicara dengan bahasa yang kasar dan kesat. Hal-hal begini yang sebenarnya memberikan impresi yang buruk terhadap Negara tetangga tersebut. Di tambah lagi dengan sifat masyarakat yang sering berdemostrasi biar kerana isu apa sekalipun, serta provokasi-provokasi yang terkadang oleh hal yang kecil dan dianggap tidak masuk akal oleh warga Malaysia. Mulalah terhasil paradigma bahawa “orang Indonesia jahat” dan menakutkan dan harus sangat berhati-hati.
Pertama kali mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke Indonesia, sempat ketakutan itu menjalar ke urat saraf mendengarkan bahawa Sulawesi Selatan terutama Makassar adalah antara suku Indonesia (Bugis) yang paling kasar di negara itu. Hal ini disampaikan sendiri oleh kenalanku yang asli Indonesia sewaktu ketemu di UKM. Namun kerana sebuah cita-cita, ketakutan itu diharungi juga. Kekuatan semangat mengatasi ura-ura tak berasas tersebut.
Menjejakkan kaki ke Makassar, hari pertama di kampus, banyak teman-teman yang menyapa. Menghulurkan salam persahabatan yang hangat. Minggu-minggu adaptasi berjaya diharungi dengan baik berkat bantuan teman-teman kuliyah. Pensyarah-pensyarah (dosen) yang seikhlas hati menyampaikan ilmu. Sentiasa terbuka menerima kunjungan dan menjawab persoalan dari mahasiswa biar diluar waktu kuliah walau tanpa temujanji. Status professor atau dokter spesialis lansung tidak menjadi pembatas untuk mereka dekat dengan mahasiswa. MasyaAllah kagum melihat kerendahan hati para ilmuan ini.

Tambah terkesan dijiwa, setelah diri melewati hari-hari di KKN. Hidup bersama teman-teman Indonesian yang sangat mendukung. Sangat perhatian, prihatin dan saling bantu membantu. Kalau memasak, pasti mengambil kira selera teman yang lain, ada yang tidak bisa makan perasa (bumbu siap), ikan, ada yang suka sekali makan sambal (lumbok) dan sebagainya. Maka teman-teman yang memasak sentiasa memasukkan hal-hal tersebut ke dalam perhitungan. Saat sedih, saat jatuh, saat lagi bermasalah, teman-teman pasti tahu biar tidak berkata apapun. Terus saja bertanya dan mendukung. Berusaha menceriakan suasana hati yang sedang mendung. Waktu seseorang sakit, semua orang biar tanpa disuruh akan terus membantu dan memberikan semangat. Menjaganya tanpa mengenal penat.
Ternyata orang Indonesia baik-baik sebenarnya. Kejamnya diri menghukum dan membina persepsi tanpa mengenali mereka terlebih dahulu. Benarlah pepatah yang mengatakan “tak kenal maka tak cinta”. Kita selalu menutup hati kita tanpa membuka ruang untuk memahami situasi mereka.
Berada di Indonesia benar-benar mengubah paradigma diri selama ini. Ternyata budaya berpakaian masyarakat di Indonesia berbeza (beda) dari tempatku. Kalau di Malaysia, memakai seluar pendek (celana pendek) dan warna-warna terang (warna mencolok) itu tidak sopan. Justeru masyarakat di sini lebih gemar dengan pakaian sedemikian. Lebih sesuai dengan cuaca dan lebih ceria katanya. Hingga kalau dilihat di toko-toko juga fesyen yang sedemikian yang di tampilkan. Makanya ia adalah sesuatu yang biasa di sini.
Kalau masalah suka berdemostrasi, setelah mengikuti Latihan Kader 1 yang diatur oleh Badan

Eksekutif Mahasiswa (BEM), yang mana di dalamnya di selitkan ceramah (materi) demostrasi baru diri mengerti bahawa di negeri bertuah ini, untuk mendapat perhatian dan peluang berurusan dengan pemerintah harus lewat demostrasi. Apabila sesuatu demostrasi dilakukan dan mendapat perhatian dari media massa, baru mereka diberi peluang untuk berhadapan lansung dengan pihak pemerintah untuk menyuarakan aspirasi mereka. Subhanallah betapa getirnya jalan yang harus mereka lalui untuk menyampaikan suara masyarakat. Di banding dengan mahasiswa di Malaysia yang kebanyakannya Cuma sibuk belajar dan aspirasi harus disampaikan lewat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang akan bertemu lansung dengan pihak kerajaan. Atau melalui memorandum dan sebagainya kerana mahasiswa di Malaysia terikat dengan undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Kalau masalah tuntutan-tuntutan perbatasan, hak dagang dan sebagainya, itu diri tidak mahu berbicara banyak mengingatkan hal-hal tersebut adalah urusan antara pemerintah. Tapi kalau mahu membahas itu harus kita pertanyakan kembali “adakah dasar pemerintahan Malaysia mahupun Indonesia sudah menjalankan sistem pemerintahan yang benar-benar berlandas kepada syariat dan menepati hokum-hukum Allah?” Sungguh Islam itu mengajarkan kita untuk saling menghormati, saling berbagi rezeki. Saling mendukung bukan saling menjatuhkan. Bukan saling hasad dengki dengan kejayaan antara satu sama lain, bukan saling tamak dan mengaut keuntungan untuk diri sendiri.kalau dasarnya juga tidak menepati jadi bagaimana kita mahu membuat pertimbangan yang sesuai dengan syara’?

Sementara jika membahas persoalan budaya, diri juga tidak tahu apa sebenarnya yang dipermasalahkan kerana asli masyarakat Nusantara itu sama sebenarnya. Orang yang membuka Melaka, Kerajaan pertama di Tanah Melayu juga adalah Parameswara yang asli putera Palembang. Setelah itu berlaku penghijrahan beramai-ramai masyarakat dari suku Bugis, Minangkabau, Jawa, Aceh dan sebagainya yang membawa bersama mereka budaya dan jati diri yang diklaim sebagai milik mutlak Indonesia. Rata-rata jika ditanya penduduk Melayu di Malaysia sekarang, pasti ada darah Jawanya, darah Bugis dan lain-lainnya. Hanya saja mungkin kerana masa beredar, jam berputar maka tak semua budaya Jawa/ Bugis/ Minangkabau yang diturunkan kepada generasi setelahnya. Hanya saja adaptasinya masih kuat berumbi dalam masyarakat. Kita sibuk berperang hak antara Indonesia-Malaysia, tanpa kiata pernah berfikir “adakah orang yang aku perangi ini adalah orang yang sebenarnya terhubung darah denganku?” “mungkinkah saudaraku yang tidak pernah aku temui atau ketahui sebelumnya?” temanku saja sebagai buktinya, lahir, membesar di Malaysia. Tapi ternyata ada keluarganya di Medan dan akan ke sana bulan 3 nanti. Ada lagi temanku yang begitu, setelah datang melanjutkan pelajaran ke sini baru mendapati oh ternyata adik kepada ayahnya asli orang Sulawesi.
Kalau mahu menunding jari mungkin harus dipersalahkan Parameswara dan pembesar-pembesarnya yang sewaktu berhijrah lupa untuk menanggalkan juga adat budaya dari Palembang. Mungkin juga harus dipersalahkan orang-orang Jawa, Bugis, Minangkabau, Aceh dan lain-lain kerana membawa masuk juga budaya dan adat dari sukunya. Tapi adakah salah mereka mengekalkan jati diri Melayu tersebut? Adakah salah mereka bangga dengan asal usul mereka dan cuba mengekalkannya dengan menurunkan adat tradisi tersebut kepada anak keturunan mereka?
Masalah Tenaga Kerja Indonesia (TKI) sebenarnya diri kagum dengan mereka yang sanggup

mengambil resiko dan berani untuk berhijrah demi mendapatkan sesuap rezeki yang halal. Mengubah nasib keluarga. Menghidupi tanggungan yang ramai. Berpisah anak, isteri, suami. Itulah hidup yang keras. Pengalaman diri sewaktu di KKN sangat menyentuh hati apabila seorang dari teman kecilku, Anah, ibu bapanya pergi ke Malaysia sebagai TKI. Sudah 4 tahun tidak pernah pulang. Anak itu ditinggalkan sendirian sejak kecil di bawah jagaan tetangga kerana desakan hidup. Bayangkan bagaimana anak sekecil itu bertahan hidup tanpa orang tuanya. Bayangkan betapa berat hati orang tuanya untuk meninggalkan permata hati dalam usia pembesarannya? Pasti sangat parah, sakit terluka.
Di sini, melihat suasana hidup yang sangat mendesak, jurang ekonomi yang besar hingga orang-orang terpaksa tinggal di kaki lima dalam kotak (kardus), terpaksa mencari katak, atau menangkap burung buat dijual mendapatkan sesuap nasi. Di kala setiap malam harus berfikir “apakah aku dapat makan besok” berbanding “apa yang mahu dimakan besok?”. Nasib anak-anak tak terbela. Usia 7-8 yahun yang harusnya berada di bangku sekolah terpaksa meminta sedekah di tepi-tepi jalan. Hidup yang cukup tertekan. Boleh jadi tekanan hidup ini yang memaksa individu(warga Indonesia) yang berada di Malaysia untuk melakukan jenayah. Mencuri dan merompak lantaran tidak sabar dan menginginkan hasil yang tampak di mata. Namun harus kita fahami, bahawa itu adalah kesalahan individu yang mana tidak seharusnya kita menghukum Indonesia untuk itu. Setiap Negara itu juga ada orang baik dan ada orang jahat. Tidak adil kita menghukum orang baik kerana kejahatan orang lain. Sama juga adalah tidak wajar kalau Indonesia menghukum Malaysia ganas gara-gara Nordin M.Top atau individu yang tidak etik (etis) yang memancarkan laser saat perlawanan akhir piala AFF.
KERANA ITU KESALAHAN INDIVIDU.
Setiap kali timbul isu berkenaan Indonesia-Malaysia,media seakan menghangatkan. Ya media massa dan cetak (televesi dan Koran) juga memainkan peran penting dalam membina persepsi masyarakat sini. Seperti masyarakat Malaysia yang percaya, masyarakat sini juga terprovokasi dengan “kejahatan” orang Malaysia yang mencuri budaya dan jahat kerana mendera pembantu rumah tangga. Dan juga pasti orang-orang sekitar akan bertanya pendapat kami sebagai warga Malaysia, “kamu pilih yang mana? Malay atau Indo?” jujur itu adalah soalan yang sukar untuk dijawab kerana diri sayang kedua-dua Negara ini. Malaysia tanah tumpah darahku, membesarkan aku dan memberikan kecukupan hidup sedang Indonesia tanah tempatku menuntut ilmu. Tanah berkah yang melengkapkan diri ini dengan pengalaman hidup yang pelbagai untuk menyediakan diri menghadapi hari esok yang penuh cabaran.
Kesimpulannya, belajarlah untuk mengenali dan memahami sebelum menghukum dan membina persepsi dan ingatlah bahawa perbezaan adalah pelengkap.(beda menambah keunikan). Belajarlah untuk menghargai diri sendiri dan orang lain. Kerana matlamat tinggi kita adalah untuk bersama menuju kepada Allah. Kalau yang namanya ukhuwah islamiyah itu merentasi Negara dan bangsa, ras dan warna, adat dan budaya. Berhentilah untuk saling menyalahkan dan belajarlah untuk saling menghargai. Hakikatnya kita semua sama tidak kira Malaysia atau Indonesia. Yang membezakan kita adalah orang baik dengan orang jahat. orang yang beriman dengan orang yang kufur.
~peace for Indonesia & Malaysia~