Skinpress Rss

Khamis, 23 Disember 2010

KAKAK'S BIG DAY

0


Sibuk dengan laporan Patologi Klinik. Bebanan kerja yang banyak bertimbun di tambah dengan kesempitan waktu yang melilit membuatkan hormon-hormon stress seperti kortisol dan adrenalin terembes keluar membanjir saraf-saraf, merendam otak dan membuatkannya berada dalam posisi siaga. Sebenarnya praktikum ini tidak diwajibkan pun ke atas kami untuk di ikuti namun kerana sudah terlanjur mengambil ulang sistem hematologi ini, biarlah mampu memperbaiki nilai yang jelek.

Di celahan kekalutan otak menyusun maklumat, di samping kesibukan tangan menulis, terpandang kelibat kakak yang keluar masuk bilik sejak tadi. Esok, teman kamarku Kak Soolihah akan menghadiri Upacara Angkat Sumpah Dokter Muda, Es.Ked. Meskipun sebenarnya kami sama-sama sisa satu mata kuliyah yang harus di ulang, namun kakak paling bernasib baik antara kami kerana disediakan kelas terminal/ tutup strata/ kuliah penghabisan. Yang mana membolehkannya selesai sebelum acara graduasi (wisuda) sesi Disember. Sedangkan kami masih terpaksa berjuang mengikuti kuliah yang hanya akan berakhir awal Januari nanti.

Kakak kelihatannya bingung sendiri mempersiapkan apa yang perlu untuk besok. Pakaian TOGA (pakaian untuk majlis graduasi yang wajib di pakai sewaktu upacara besok) juga baru di bawa pulang. Baru coba-coba digayakan untuk memastikan baju tersebut lengkap menutupi aurat. Aneh melihat kakak yang begini namun tidak sempat meluang banyak waktu untuknya. Banyak hal yang kakak tanya hanya disambut dingin lantaran diri benar-benar malas untuk mengambil tahu tentang majlis graduasi buat masa sekarang. Maklumlah ujian juga belum menunjukkan "tanduknya" untuk tiba. Sudah diri utarakan padanya untuk bertanya pada teman-teman yang lain dan memperlengkapkan persiapan bersama mereka namun balasan kakak “ susahlah grad sorang-sorang”..

Kalimat yang cukup ringkas dan biasa namun bagai halilintar yang membelah langit hati. Ya Allah.. Allah sedang menegur perbuatanku. Astagfirullahal adzim. Mungkin diri ini dan sahabat-sahabat yang lain sedang berjuang dengan kesibukan masing-masing. Diri dan Nabila sibuk dengan laporan praktikum, kuliah yang sarat ilmu di jihat sini, sedang Ana dan Ummi pula sibuk dengan ujian demi ujian di samping kuliah yang menyesakkan di jihat yang lain untuk menggenggam sebuah masa depan. Mungkin pada fikiran kami masing-masing, tak mengapalah, kakak kan dah lepas (dah berjaya grad), tentu dia tiada masalah. Namun kami lupa, bahawa yang menghidupkan setiap momen di sini dan menyemangati kami adalah kerana kebersamaan ini.

Kakak akan mengangkat sumpah besok, hari yang sepatutnya amat bermakna dalam hidupnya sebagai calon dokter muda. Tapi kami sahabat-sahabat yang seharusnya berkongsi kegembiraan tersebut sebaliknya lenyap, tenggelam dalam dunia masing-masing. Kasihan kakak. Sendirian mengurus perihal graduasinya. Walaupun masih ada teman-teman lain yang bersamanya graduasi namun mungkin kebersamaan itu masih jauh lain terasa.. MasyaAllah.. kakak, maafkan kami.. Rasa bersalah serta merta menjerut.

Pagi-pagi lagi besoknya menelefon Ummi dan Nabilah. Untung mereka juga sangat supportive dan mahu untuk sama-sama foto. Berkongsi kebahagiaan kakak pada hari bersejarahnya. Ummi dan Ana siap menemani kakak ke Baruga (dewan graduasi) sebagai dokongan padu. Diri dan Nabilah tidak begitu bernasib baik kerana pagi ini harus mengikuti Kuliah Pakar Sistem Hematologi. Semoga hari-hari yang melenyapkan deria rasa ini akan kami tempuhi bersama.

Dan semoga peringatan dari Allah ini akan menjadi satu tarbiyah supaya diri lebih peka dan menghargai orang lain. Ya, menghargai itu bukanlah hal yang terlalu susah untuk dilakukan namun sering dilupakan lantaran hal-hal getir yang dilalui. Mengejar impian itu penting memang harus serius namun bukan bermakna kita perlu melupakan orang lain di sisi kita..

Kakak.. maafkan kekhilafan diri ini dan sahabat-sahabat.. moga kita akan bersama menempuh suka duka, saat susah dan bahagia, saat menangis dan ketawa. Dan semoga kita akan sentiasa menjadi sahabat yang mendokong iman. Bersahabat keranaNya..

Alfu mabruk kak.. Selamat menempuh alam baru..alam klinik..doakan kami.. Sayang kakak kerana Allah.

Rabu, 22 Disember 2010

NIGHT WALK

0

Hanyalah beberapa kata-kata yang ditemui sewaktu membaca sebelum tidur.. mungkin berarti untuk sesiapa..

# Kenapa kita menutup mata ketika kita tidur? ketika kita menangis?
ketika kita membayangkan?
Ini karena hal terindah di dunia itu adalah TIDAK TERLIHAT...

# Kita semua agak aneh...dan hidup sendiri juga agak aneh...Dan ketika kita menemukan seseorang yang keunikannya SEJALAN dengan kita..kita bergabung dengannya dan jatuh ke dalam suatu keanehan serupa yang dinamakan KASIH SAYANG DAN CINTA..

# Orang terkuat BUKAN mereka yang selalu menang..MELAINKAN mereka yang tetap tegar ketika mereka jatuh

# Entah bagaimana...dalam perjalanan kehidupan, kamu belajar tentang dirimu sendiri..dan menyadari..bahwa penyesalan tidak seharusnya ada..HANYALAH penghargaan abadi atas pilihan2 kehidupan yang telah kau buat.

# Sahabat terbaik adalah dia yang dapat duduk berayun-ayun di beranda bersamamu, tanpa mengucapkan sepatah katapun , dan kemudian kami meninggalkannya dengan perasaan telah bercakap-cakap lama dengannya.

# Ketika satu pintu kebahagiaan tertutup, pintu yang lain dibukakan. Tetapi acap kali kita terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup sehingga tidak melihat pintu lain yang dibukakan bagi kita.

Selasa, 21 Disember 2010

BREAKING A TRUST

2


Mengalami suatu kejadian yang sangat berbekas di hati pada hari ini. Seorang teman yang terpercaya telah melakukan sesuatu hal yang menurutku agak melampaui batas. Kebohongannya bahkan mengheret pihak lain yang tidak bersalah ke kancah permasalahan. Fitnah tersebar. Orang yang tidak pernah tahu menahu punca kekalutan menjadi mangsa keadaan. Benar-benar kacau. Bahkan hampir mengganggu kedamaian persahabatan antara orang lain. Untung akhirnya mahu untuk berterus terang. Tapi keadaan sudah agak parah.

Astagfirullahal adzim. Mungkin bagi temanku itu, dia hanya mahu bergurau (sengaja mencari gara-gara). Atau ingin melihat ketegaran diri dalam menghadapi sesuatu situasi. Ntahlah diri juga tidak jelas apa tujuannya bertindak sedemikian. Tapi yang jelas diri benar-benar kesal. Pertama kali menghadapi situasi seperti ini. tidak tahu mahu bertingkah bagaimana.. Aduh, astagfirullahal adzim.. ampunkan diri ini Ya Allah.. bersihkan hatiku dari prasangka.. Ya, barangkali dia kurang tahu adab dalam bersahabat.

ADAB BERSAHABAT

Dalam kehidupan, manusia tidak dapat lari dari pergaulan rakan dan taulan. Asas utama yang menjadi kunci adalah hati yang menjadi peranan penting dalam jiwa dan kehidupan Muslim untuk menegak iman yang kuat serta jati diri yang berasaskan ketakwaan kepada Allah serta mengingati-Nya dengan berzikir dan berselawat kepada Rasulullah sepanjang masa.

Firman Allah dalam surah al-Anfal 8, ayat 2 menyentuh kepentingan hati:

‘Sesunguhnya orang orang beriman itu apabila mereka menyebut Allah terasa gementarlah hati-hati mereka.’

Iman menunjukkan keikhlasan hati yang sihat akan membuahkan keimanan yang kuat dan akan membawa kepada jiwa yang bersih serta fikiran yang bernas dan menampakkan keikhlasan dalam pergaulan. Hati membayangkan keikhlasan iman seseorang berdasarkan apa yang diungkapkan oleh lidah atau gerak geri dan tingkah laku dalam pergaulan harian, ini sudah dapat difahami bahawa itu adalah kehendak hati walaupun tiada sebarang penjelasan melalui percakapan.

Sekiranya hati sentiasa sihat, pergaulan dan persahabatan sentiasa mesra dan bahagia. Sebaliknya andai hati tidak sihat maka tidak ada tolak ansur dalam pergaulan. Setiap tindakan sudah ketara tidak ikhlas dan boleh membawa kepada munafik disebabkan sering kali berbohong dan berdolak dalik mencari helah bagi melindung diri dari penipuan. Begitulah peranan hati dalam menjalani kehidupan di dunia ini, tetapi setiap insan sering kali melupai bahawa segala tindakan di dunia ini adalah penentuan habuan yang akan sampai di antara dua persimpangan di hari pembalasan sama ada baik atau buruk, ke syurga atau neraka. Malangnya jalan yang dilalui dalam kehidupan setiap insan sentiasa melalaikan kecuali yang beriman. Lantaran itu Rasulullah sentiasa memberi peringatan terhadap umatnya melalui sabda baginda:

‘Kasihilah olehmu akan saudara kamu seperti mana kamu kasih kepada diri kamu sendiri.’

BAIK BURUK PERANAN HATI

Sabda Rasulullah SAW:
‘Ketahuilah kamu di dalam badan manusia terdapat segumpal darah. Apabila baik maka baiklah keseluruhan segala perbuatannya dan apabila buruk maka buruklah keseluruhan tingkah lakunya. Ketahuilah kamu bahawa ia adalah hati’

Berdasarkan hadis di atas bahawa kebaikan manusia atau keburukannya datang dari hati, kerana hati adalah pengarah bagi pancaindera yang lahir. Jika hatinya baik maka baiklah segala perbuatannya serta rasa senang setiap rakan taulan mendekatinya dalam pergaulan. Andai hatinya buruk dan busuk, maka segala perbuatannya akan jahat dan keji, sentiasa cenderung ke arah maksiat mengikut kehendak hati dan hawa nafsu, dan pernikirannya ketika itu pula akan kalah dan sentiasa diketepikan. Oleh itu, hati adalah raja bagi seluruh anggota, manakala anggota-anggotanya yang lain adalah tentera. Anggota-anggota ini sering melakukan sesuatu mengikut kehendak hati. Andai baik hati maka baiklah dalam pergaulan. Andai sebaliknya, maka kawan dan rakan seringl kali menjadi mangsa.

Hati yang amat dihargai di sisi Allah ialah hati yang suci bersih dari sebarang maksiat, syubhah, hasad dengki dan seterusnya perkara perkara yang makruh atau yang dibenci oleh Allah. Sebab itu Rasulullah s.a.w sentiasa berdoa kepada Allah dengan sabdanya:

‘Ya Allah, sesungguhnya aku memohon darimu hati yang suci bersih’

Suatu yang sangat dituntut terhadap seseorang muslim ialah pergaulan sesama saudaranya wajib dilakukan dengan baik serta menggembirakan saudaranya. Dengan kata lain tidak membebankan saudaranya dengan sesuatu yang boleh melukakan hati atau menyusahkannya, serta rasa terganggu dan serba salah yang membawa ke arah mendukacitakan. Tanggungjawab ini amat dituntut di dalam Islam sepertimana diterangkan oleh Rasulullah s.a.w.:

‘Seseorang itu tidak beriman sehinggalah dia mengasihi terhadap saudaranya sepertimana dia kasih terhadap dirinya sendiri’
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan bahawa seseorang itu tidak dibenarkan sama sekali untuk menyakiti hati saudaranya, ataupun kawannya menyebabkan saudaranya kecewa menderita putus asa kerananya lebih-lebih lagi menyakiti tubuh badan seperti memukul, mencedera dan sebagainya, ataupun sesuatu yang menyebabkan dia teraniaya, seperti penipuan yang membawa ke arah kegagalan dalam kehidupan serta kesusahan sepanjang hayat. Semua ini ternyata dalam al-Quran dan al-Surmah dengan larangan yang amat keras dan tidak dibenar walau apa cara sekalipun.

Berdasarkan hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda:

‘Sesunggubnya amalan yang sangat dicintai Allah selepas melakukan ibadat fardhu oleh hambanya ialah mengembirakan hati saudaranya sesama Islam’

(Riwayat Baihaqi)

Hadis ini menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab seseorang hamba bagi menceriakan jiwa saudaranya. Lebih lebih lagi soal menghasilkan sesuatu keperluan atau mencapai kepentingan sesama muslim dalam masa seseorang itu mengejar sesuatu kerjaya dalam hidupnya. Adalah tidak wajar orang lain menghalangnya bahkan dianjur supaya memberi bantuan ke arah usaha tersebut agar segera diperolehinya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. amat menggalakkan umatnya ke arah memberi pertolongan terhadap saudaranya untuk mencapai sesuatu hajat sepertimana dinyatakan di dalam hadisnya yang berbunyi:

‘Orang Islam adalah saudara bagi orang Islam yang lain, yang mana tidak boleh menzalimi antara satu sama lain, dan jangan mengabaikan pertolongan kepadanya dan sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, Allah sentiasa menunaikan hajatnya, dan sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada bala atau sebarang kesusahan, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari qiamat dan sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.’

(Riwayat Bukhari Dan Muslim, Abu Daud)

Melalui suruhan Rasulullah terhadap umatnya sepertimana yang difahamkan dalam hadis ini jelas menunjukkan bahawa menjadi suatu kewajipan ke atas orang muslim untuk berusaha bagi mengelokkan pergaulan sesama manusia dengan memberi pertolongan, bantu-membantu antara satu sama lain. Apabila terdapat sesuatu permusuhan atau pertengkaran bersegeralah untuk mendamaikan mereka.

*gambar sekadar hiasan
Subhanallah betapa indahnya Islam mengatur kehidupan kita hingga memenuhi hak sahabat juga di ajarkan.. Ikhlaskanlah Ya Allah.. bantu diri ini untuk memaafkan. Bantu diri untuk melihatnya dari kaca mata kasih sayang. Jangan Dikau biarkan hati ini terus hanyut dalam kekecewaan hingga diri bertindak menjauhinya Ya Allah..

Sedikit sebanyak kejadian hari ini membantu diri untuk bermuhasabah kembali. Mengimbau adab-adab bersahabat yang diajarkan oleh Islam. Boleh jadi selama ini, ada hal yang telah diri lupakan, ada hak sahabatku yang tidak tertunaikan. Astagfirullahal adzim.. mungkin kerna banyaknya khilaf diri terhadap sahabat-sahabat di sekitarku hingga Allah SWT membiarkan diri menghadapi situasi ini. sebagai tarbiyah sekaligus kifarah ke atas dosa-dosaku yang menggunung tinggi.

Sahabatku, maafkan kekhilafan diri ini. Untuk hati yang terguris kerana lisan ini, perbuatan yang mencalar peribadi, untuk perhatian yang sangat kurang lantaran kesibukan yang sangat menjerat, untuk janji yang tak terpenuhi,untuk aib yang tidak tertutupi, untuk hak yang tidak tertunaikan, untuk nasihat yang tidak membantu iman.. Mohon jutaan kemaafan dari lubuk hatiku yang terdalam.

Sabtu, 18 Disember 2010

PUBLIC SPEAKING

0


Segala puji hanya kepada Allah, dzat yang menciptakan alam yang luas terbentang. Dzat yang maha tahu akan setiap yang terlintas di hati ini. Tuhan yang Maha Tahu batas diri.. Selawat dan salam buat Rasul junjungan. Yang telah mewariskan kita risalah suci yang tiada cacatnya.

Mengikuti program yang dianjurkan oleh adik-adik juniorku “Dokter Muda Anggun Bergaya”. Yang menjadi sasaran program adalah adik-adik mahasiswa baru yang baru saja menjejakkan kaki ke bumi Makassar. Permulaan program masih saja lancar hingga tiba-tiba Kak Aza yang seharusnya menyampaikan isi program (pemateri) tiba-tiba berhalangan untuk datang. Secara terpaksa diri telah ditunjuk untuk menyelesaikan tugasan tersebut.

MasyaAllah sewaktu permasalahan itu diutarakan, menggeletar hipotalamus mentafsirkan lantas dihantarkan impuls-impulse saraf ke kelenjar adrenal, maka terembeslah hormone adrenalin, hormone yang meningkatkan tekanan darah, menyempitkan pembuluh darah dan melebarkan saluran pernafasan. Jantung berdegup kencang. Nafas terasa sesak bagai ada bebanan yang menghimpit dada. Lidah kelu hampir tidak mampu untuk berbicara. Astagfirullahal adzim.. betapa tidak mampu dan tidak layaknya diri ini untuk melaksanakan amanah yang maha berat ini Ya Allah..

Sebentar, Kak Aza menelefon. Apa yang amat terkesan di hati ini adalah kata-kata Kakak murrabiku itu bagaikan teguran lansung dari Allah. Yakinlah bahawa setiap apa yang berlaku itu adalah dengan izin Allah. Penyusunan Allah untuk mentarbiyah diri kita. Diri sebenarnya sangat lemah dengan “public speaking”.. terasa bergetar jiwa, buntu idea dan sebagainya. Tapi ternyata Allah berkehendak lain. kata Kak Aza, memang kita takkan mampu untuk mengatasi kelemahan kita dan takkan mampu melepasi batas kemampuan kita melainkan kita harus menjadikan diri kita “mampu” untuk deen ini. Islam yang kita cintai akan menjadi asbab yang kuat untuk mendorong motivasi kita.

Dalam memberikan ucapan, tidak perlu kepada suara yang lantang, tidak perlu juga kepada ceramah yang berkobar-kobar. Kerana untuk menyentuh hati itu, harus bercakap telus dari hati. Dimensi akal dan hati itu adalah dimensi yang berbeda. Jadi untuk menyentuh hati itu harus melalui sudut yang tepat, “right angle”..lansung menembus tepat ke hati. Dan untuk mencari sudut yang tepat itu tidak mudah kecuali memohon dan memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT, Pemilik mutlak hati yang berbolak balik.

Teringat kisah Imam As-Syahid Hasan Al-Banna yang suatu ketika setelah menyampaikan ceramah di suatu kota, beliau ditanya oleh sahabatnya Umar Tilmisani “wahai sahabatku, sewaktu kamu menyampaikan ceramah tadi, aku lihat ramai di kalangan hadirin yang bersembang (ngobrol) sesama mereka di belakang” lantas apa yang dijawab oleh IHAB sewaktu itu, “kalaulah ada satu orang (satu hati) yang tertarik pada Islam lantaran ceramahku, itu sudah lebih dari cukup. Cuma satu orang”.. Subhanallah.. ini buktinya Al-Imam juga tahu betapa yang susahnya untuk menyentuh dimensi hati seseorang dan betapa hidayah itu milik Allah. Tetapi jika Allah memberikan hidayah kepada seseorang melalui tangan kita, itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.

Yang paling penting itu kita jelas dengan matlamat yang kita bawa. Matlamat untuk menuju kepada Allah SWT dalam keadaan apapun. Apabila menjadi mahasiswa, jadilah mahasiswa yang cintakan ilmu dan mengejar ilmu kerana Allah. Apabila menjadi dokter, jadilah dokter yang mengharapkan kesembuhan dari Allah, membantu manusia melanjutkan hayatnya dengan harapan orang tersebut akan mengenali Allah. Menjadi dokter untuk memberikan qudwah hasanah (contoh yang baik) kepada manusia. Itulah tujuan kita. Supaya apa yang kita lakukan akan punya nilai ibadah dan amal soleh di sisi Allah. Sesungguhnya dunia hanyalah mampir sebentar. Kita tidak tahu di mana penghujung hidup kita. Jadikanlah hidup kita ini sentiasa bermakna dan terpandang mulia disisiNya.

Ya setelah mendengar dan kembali memperbetulkan niat, hati lebih tenang. Rembesan hormone adrenalin sepertinya sudah semakin berkurang. Detakan jantung kembali normal. Kepada Allah doa dan pengharapan diharapkan.. “Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk menyampaikan agamaMu”.. Bismillahi tawakkal tu alallah..

Jumaat, 17 Disember 2010

SABAR MENANTIKU

0


Di saat El Nino La Nina menjarah relung hati,
Langit cerah berubah mendung seakan memahami,
Awan hitam sarat mengandung hujan berarak melintasi,
Seakan tidak sabar lagi untuk memuntahkan rintik-rintik suci

Saat itu aku hanya duduk sendiri,
Bertafakur menghitung kenistaan diri,
Terkapai dalam mencari-cari,
Penawar untuk menyembuhkan luka yang parah menjerat urat nadi

Kau hadir tepat di kala aku memerlukan teman
Mungkin kerna kaget bibirmu terkunci diam
Namun aku tahu otakmu berfikir dalam
Untuk membantu melepaskan bebanan yang membungkam

Kau yang selalu padat nasihat hari ini kaku untuk berbicara
Gusar andai luka yang tercalar, tambah berdarah dek kata
Bimbang juga bertingkah jangan sampai mengguris rasa
Aku tahu temanku, matamu telah menjelaskan segalanya

Temanku,
Tinggallah sebentar lagi disisiku
Aku ingin menangis semahu-mahu
Meluahkan segala kegalauan yang terpaku
Kerna hanya engkau yang sanggup menunggu

-puisi sembarang-

[terinspirasi dari sebuah mimpi]

18 Disember 2010

7.47 am

*terima kasih teman atas kesabaranmu terus menantiku di persimpangan waktu
* sesungguhnya Allah menjadikan perempuan itu kuat supaya ia bisa menopang dunia, lantas Allah kurniakan air mata supaya kita bisa melepaskan perasaan kita. Jadi apabila merasa terbeban dan langit mendung di hatimu, kalaulah menangis itu boleh membuatkan kamu lega, maka menangislah.. namun jangan terlalu larut di dalamnya..

ALLAH MENYINTAIMU LEBIH DARI YANG KAU PERLU

0


Tuliskan rencana hidup kita dengan sebuah pensil, tapi berikan penghapusnya kepada Allah SWT. Biarkan Allah menghapus bagian-bagian yang salah dan menggantikan dengan rencanaNya yang indah di dalam hidup kita. Kerana Allah selalu tahu apa yang kita perlukan bukan apa yang kita minta dan Allah tidak henti-henti memenuhi keperluan kita , selama kita berusaha untuk memenuhi keperluan kita sendiri.

"Sesungguhnya Allah menyintaimu lebih dari yang kau perlu"

-IRSYA-

Rabu, 15 Disember 2010

PEMILIK CINTAKU SETELAH ALLAH DAN RASUL

0


MP writer

“Kamu percaya pada jodoh, Fahri? Setiap orang memiliki jodohnya masing-masing. Itu yang selalu kamu bilang. Aku rasa sungai Nil dan Mesir itu jodoh. Senang yah kalau kita bisa bertemu dengan jodoh yang diberikan Tuhan dari langit..”

“Bukan dari langit Maria, tapi dari hati..”

Itulah antara dialog Maria dan Fahri dalam salah satu karya agung Habiburrahman El-Shirazy, Ayat-ayat Cinta. Ya.. permasalahan jodoh adalah antara permasalahan yang seringkali merantai dan membelenggu pemuda pemudi hari ini.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa “Jodoh di tangan Tuhan, tetapi manusia harus berikhtiar mencari dan memilihnya.” Pendapat ini baik tapi kurang sempurna. Salahnya dari segi ikhtiar untuk mencari dan memilih jodoh. Pernyataan ini banyak di salah tafsirkan oleh pemuda sebagai ikhtiar atau usaha yang dijalankan hingga menjerumuskan mereka ke kancah percintaan yang tidak islamik lagi tidak menepati syariat Allah SWT. Lebih tepatnya “Jodoh di tangan Tuhan dan manusia wajib berikhtiar mencari dan memilihnya sesuai dengan ketentuan yang ditetapkan Tuhan”.. pendapat ini lebih sempurna kerana memang itulah aturan mencari dan memilih jodoh.

Pemuda hari ini memahami usaha/ikhtiar mencari jodoh sebagai memilih orang yang disukai kemudian bermulalah sesi pandang memandang, sms, telefon kemudian bercinta (pacaran). Supaya bila mahu mendirikan rumah tangga nanti senang. Sudah saling menyintai. Padahal, dalam proses percintaan itu telah berlaku banyak hal yang Allah murkai. Adanya berpegangan tangan, berduaan, ucapan-ucapan romantis, bahkan yang lebih parah, zina hati yang terus menerus berlaku. Inilah yang menyebabkan Allah SWT mencabut keberkatannya terhadap sesuatu perhubungan tersebut.

Bukti hilangnya keberkatan Allah dapat kita lihat, berapa banyak pasangan bercinta yang berjaya ke jinjang pelamin? Berapa banyak pula pasangan bercinta yang berkahwin kemudian bercerai? Berapa banyak pasangan bercinta yang melahirkan anak-anak yang derhaka? Berapa banyak pasangan bercinta yang hidup melarat setelah menikah? Itu semua adalah contoh hilangnya berkah dalam sebuah perhubungan.

Berusaha dan memilih jodoh yang dimaksudkan oleh Islam, sebenarnya adalah bagaimana kita mempersiapkan diri kita dengan bekalan-bekalan yang cukup untuk mendirikan sebuah rumahtangga yang berkah, rahmah dan sakinah. Mempelajari ilmu agama dan menjaga batas pergaulan serta aurat kita agar kita dikurniakan Allah SWT jodoh yang sesuai (pantas) untuk kita. Kerana Firman Allah SWT dalam Al-Quranul Karim yang bermaksud:

“dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita yang baik(pula)” [Surah An-Nur 24: 26]

Jadi jika kita menginginkan semoga Allah menjodohkan kita dengan pasangan yang baik, maka haruslah kita berusaha untuk menjadi seorang yang baik terlebih dahulu. kalau memikirkan secara logic juga, Kalau kita menginginkan pasangan kita untuk punya sifat setia dan bertoleransi, sedang dalam masa yang sama kita sibuk menjalinkan perhubungan dengan lawan jenis secara tidak syari’ie, adakah Allah Yang Maha Adil akan memberikan jodoh sebagaimana yang kita inginkan? Segalanya bermula dari diri kita. Selain itu, doa juga merupakan usaha yang vital dalam menemui jodoh yang baik. Kerana doa adalah senjata ampuh orang mukmin. Sepertimana yang diajarkan di dalam Al-Quran:

“ Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang bertaqwa” [surah Al-Furqan 25 : 74]

Dari segi memilih jodoh, kita dapat melihat, pemuda pemudi sekarang lebih senang memilih orang-orang yang berada di sekitarnya sebagai pendamping atas alasan kecantikan/ ketampanan (imut + cakep) sebagai ukuran utama. Tak kurang juga yang memilih atas dasar “dia baik” atau “kami banyak persamaan” “dia tu anak orang kaya”dan tak kurang juga kerana “sunyi la seorang diri di sini, kalau berdua kan bagus”. Alasan yang sangat dangkal dan tidak praktikal untuk jangka masa yang panjang.

Memilih jodoh sebagaimana yang digariskan oleh Rasulullah SAW :

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda:

“ Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara : kerana hartanya, dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkan kamu” (Riwayat Muslim)

Memilih jodoh, bukan sekadar untuk menemani kesunyian, bukan sekadar untuk bersenang-senang dan kerana banyak persamaan. Memilih jodoh adalah untuk kita bersama melayari bahtera hidup ini hingga kita di panggil pulang oleh Allah SWT. Bersama menanam benih amal soleh untuk dipungut hasilnya di akhirat kelak. Supaya bisa menjadi penyejuk mata, penenang hati menongkah arus dunia yang membadai. Kerana itu, sangat perlu untuk kita memilih jodoh yang bisa membantu iman, penguat di waktu lemah, pembantu di waktu susah.

Berdoalah:

“ Ya Allah, jika aku jatuh cinta pada seseorang, cintakanlah aku pada seseorang yang cintanya jatuh padaMu agar aku semakin kuat untuk menyintaiMu.
Jika aku jatuh hati, jatuhkanlah hatiku pada seseorang yang hatinya jatuh padaMu, moga perasaanku tidak dikaburi oleh nafsu.
Ya Allah jika aku jatuh hati, jatuhkanlah hatiku pada seseorang yang menyintai syahid. Moga aku tidak lagi gentar menghadapi maut.
Jika aku jatuh hati, jatuhkanlah hatiku pada seseorang yang berjuang di jalanMu agar aku turut tegar berdiri menegakkan agamaMu.
Jika aku merasai indahnya merindui kekasihMu, kurangkanlah kerinduan indah itu daripada bermunajat kepadaMu di sepertiga malam.
Andai aku menyintai kekasihMu, janganlah biarkan aku melampaui batas hingga aku terlupa bahawa cinta hakiki yang abadi itu adalah cinta kepadaMu..”


Rujukan : Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul (Fatimah Syarha Mohd Noordin) & Petua Membuat Orang Jatuh Cinta (dato’ Dr.Hj.Fadzilah Khamsah, Hj.Muhammad zakaria, Fatimah Syarha)