Bismillahi alhamdulillah..
Segala puja dan puji kita persembahkan buat pemilik Agung alam semesta yang luas terbentang. Yang mengawal arah gerakan angin yang bertiup, yang menentukan gelombang laut yang membadai, yang meletuskan lahar berapi yang maha panas. Dengan nama Allah yang mengetahui rahsia langit dan bumi serta rahsia di antara keduanya, yang menjaga alam buana serta seisinya.
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan menyeru kepada yang maaruf dan mencegah dari yang munkar mereka itulah orang-orang yang beruntung"
maksud ayat (A1-Imran 104).
Baru sahaja melepasi proses pilihanraya. Pertukaran pimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) cawangan Makassar sesi 2010/2011. Proses pilihanraya kali ini berlaku menggunakan sistem demokrasi terarah yang mana 70% suara komuniti di ambil dan 30% lagi hasil mesyuarat Majlis Penasihat. Hasil pilihanraya telah memilih Fadzil sebagai Yang Dipertua PKPMI sementara Taufiq sebagai Naib Yang Dipertua I (NYDP I) dan Halimatussaniah sebagai Naib Yang Dipertua II (NYDP II).
Dalam menegakkan kepimpinan, kita harus mempunyai matlamat yang jelas. Untuk apa kita memegang kepimpinan? Adakah untuk memuaskan hati orang-orang atau untuk mencapai keredhaan Allah? Kita harus menyedari bahawa kepimpinan itu adalah suatu amanah dan tanggungjawab. Dan setiap pemimpin itu akan dipertanggungjawabkan ke atas kepimpinannya. Kepimpinan itu juga adalah suatu ibadah dan amal soleh selagimana ia dijalankan sesuai dengan tuntutan syara’ dan menepati corakan Allah. Ya menguruskan hal ehwal masyarakat itu adalah ibadah, membuat keputusan yang adil demi rakyat itu juga adalah ibadah. Berkhidmat pada masyarakat juga adalah ibadah.
Selain itu melibatkan diri dalam organisasi juga memberikan nilai tambah kepada seorang pemimpin. Kita belajar untuk mengenali berbagai ragam dan macam masyarakat sekaligus mempertajam sifat sabar dan tidak mudah melatah, belajar untuk membuat pertimbangan demi pertimbangan dalam mengambil keputusan yang terbaik untuk semua. Belajar juga untuk mengatasi sebarang masalah serta belajar untuk bekerja secara berkelompok dan membangun sifat bertolak ansur dan saling memahami. Nah di situ akan terasah bakat kepimpinan seseorang dan memberi pengalaman yang cukup berguna dalam hidup.
Kenapa penting supaya orang yang hajat pada Islam memegang pimpinan?
Sebenarnya berkerja untuk Islam dalam erti kata yang sebenar ialah berkerja untuk melahirkan individu yang mencerminkan akidah dan syakhsiyah Islam yang syumul sehinggalah lahir masyarakat yang berpegang teguh dengan cara hidup Islam yang sempurna, serta memikul amanah dakwah untuk menegakkan kebenaran Islam di alam ini.
Segala keperluan, persediaan dan pra-syarat bagi melahirkan masyarakat seumpama itu adalah dituntut oleh syara’.
Oleh kerana menegakkan hukum-hukum Allah (dan menegakkan masyarakat Islam) adalah wajib maka segala kerja ke arahnya adalah juga wajib, berdasarkan kaedah syarak:
ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب
“Sesuatu perkara yang tidak dapat disempurnakan sesuatu yang wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib".
Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
”Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran, dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.”
(Surah Al-Maidah, Ayat: 2)
Semoga gagasan generasi muda yang baru memegang tampuk pimpinan ini akan menerajui bahtera PKPMI selari dengan landasan syara' dan membina satu sistem sekaligus membina masyarakat yang patuh pada Allah dan bersatu dalam menjaga kebajikan bersama. Dan semoga adik-adik yang terpilih sebagai para pemikir komuniti ini akan membina diri dengan ciri-ciri pemimpin Islam sepertimana yang dicontohkan oleh Khalifah Umar B Abdul Aziz, Sultan Muhammad Al-fateh dan para Khalifah pada zaman pemerintahan Islam :
Keikhlasan yang tinggi.
Beramanah dan jujur.
Pemikiran yang matang.
Menunaikan tanggungjawab
Kesabaran yang maksima.
Komitmen yang berterusan.
Penasihat yang baik dan realistik.
Contoh dan tauladan yang disegani.
Proaktif yang produktif.
Pendengaran yang tajam.
Pengasingan keutamaan diri.
Keadilan yang terancang.

0 ulasan:
Catat Ulasan