Skinpress Rss

Isnin, 28 Februari 2011

TAMRIN IMAN

0


Pulang bercuti (libur) ke tanah air setelah hampir 5 bulan berada dinegeri jiran. Alhamdulillah sesungguhnya dengan izin Allah lah yang memberi ruang dan peluang untuk diri serta sahabat-sahabat untuk menghadiri tamrin dalam rangka membina kembali motivasi diri dan menyuburkan syu’ur islami (rasa hati dalam menghayati islam). Sungguh.. belajar tentang Islam itu tidak pernah mengenal erti selesai atau berhenti.. kerna kita harus belajar dan terus meningkatkan kefahaman kita tentang Islam. Supaya peningkatan iman itu berjalan seiring dengan usia yang kian menganjak dewasa.

Dalam reality kita sebagai mahasiswa, hal yang pertama dan paling utama itu adalah belajar dengan bersungguh-sungguh kerna belajar itu sendiri adalah merupakan tuntutan sepertimana hadith nabi yang bermaksud:

“menuntut ilmu itu fardu ke atas setiap orang mukmin”

Maka adalah menjadi tanggungjawab dan nilai ibadah kita kepada Allah. Oleh kerana belajar itu tanggungjawab serta amanah, maka kita harus melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh dan berusaha dengan maksimum untuk menjadi orang yang cemerlang. Ada seorang adik pernah bertanya:

”kak, kalau memang Allah takdirkan kita ini bodoh dan tidak akan berjaya bagaimana?”

“kalau kita telah berusaha bersungguh-sungguh tapi tetap gagal, bagaimana?”


Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak pernah melihat kepada natijah (hasil) kerna natijah itu milik Allah, tetapi dia melihat kepada usaha kita dan proses kita meraihnya. Adakah dengan cara yang di benarkan oleh syara’ atau sebaliknya. Jika kita telah memenuhi aturan Allah tapi Allah masih menangguhkan kejayaan buat hambaNya,tetaplah berbaik sangka pada Allah dan yakinlah bahawa Allah sedang merancang yang terbaik buat kita. Apabila kita cemerlang dalam akedemik, maka insyaAllah kita akan mampu untuk menarik orang terhadap Islam sekaligus memelihara diri dan Islam daripada fitnah.

Akedemik dan pekerjaan adalah wasilah (cara atau jalan) yang akan kita gunakan untuk menuntut akhirat. Dalam arti kata kita mempergunakan kurnia Allah dengan nikmat ilmu dan pekerjaan untuk menanam benih kesolehan dan kebajikan dengan harapan ianya akan mendapat penilaian disisi Allah dan menjadi buah yang akan kita tuai diakhirat kelak. Bak kata bijak “orang yang tamak mengejar dunia, maka dunia akan lari jauh darinya tapi orang bijak mengejar akhirat, maka dunia akan mengejarnya”.

Sungguh.. kita harus memikul tanggungjawab dakwah dan tarbiyah ini hingga penghujung nyawa kita. Kerna ini adalah asas penciptaan kita yakni menjadi khalifah di muka bumi selain sebagai hamba yang sentiasa beribadat kepada Allah. Dalam rangka membina diri kita untuk menjadi insan yang soleh dan musleh (baik dan menjadikan orang lain juga baik),tidak boleh tidak kita harus tetap sabar berada dalam tarbiyah yang tersusun bertahap.

Untuk melahirkan barisan tenaga insan yang mantap, semestinya bercermin kepada proses dasar yang berjalan secara berterusan. Itulah dia proses tarbiyah. Penglibatan kita ke dalam dakwah dan tarbiyah ini harus bersifat aqidi(aqidah). Tujuan utama kita hanya satu yakni mengenalkan manusia kepada Penciptanya. Membina keyakinan dan kefahaman tentang magrifatullah dan kembali kepada ajaran Islam yang syumul. Komitmen kita harus bersifat masiri (selagi hayat dikandung badan). Tidak ada istilah pencen (retire), berehat dahulu atau mengundurkan diri dari jalan Allah yang benar ini.. Yang ada hanyalah berusaha untuk menjadi hamba Allah yang baik dan mengajak orang kepada kebaikan pula. Itulah ambisi kita dan kita hendaklah sentiasa bekerja ke arah itu hingga kita dipanggil pulang oleh Allah. Kerna amal kita dinilai saat akhir penghidupan kita. Makanya berdoalah semoga Allah mengambil kita dalam keadaan husnul khotimah (pengakhiran yang baik) bukan su’ul khotimah (pengakhiran yang buruk [jelek]).

Kata Imam As-Syahid Hasan Al-Banna:

“ Wahai pemuda, setiap fikrah hanya akan berjaya apabila dibuka dengan iman, dilengkapkan dengan keikhlasan yang mendalam untuk memperjuangkan, ditambah semangat yang berkobar-kobar dan persediaan yang rapi untuk beramal dan berkorban dalam pelaksanaannya”

Rabu, 23 Februari 2011

JAULAH KE BUKIT LARUT

0


Bukit Larut atau Bukit Maxwell terletak di Taiping, Perak. Kawasan ini merupakan kawasan tanah tinggi yang paling basah di Malaysia. Hampir setiap hari pada waktu petang, hujan bukit turun di kawasan ini. Bukit Larut atau Bukit Maxwell dinamakan sempena residen British ketika itu iaitu George Maxwell pada 1880. Suhu pada hari siang ialah di antara 15 hingga 25 darjah Celsius dan boleh mencecah 10 darjah Celsius pada waktu malam. Perjalanan ke atas Bukit Larut boleh mengambil masa selama 30 minit melalui jalan sempit dan melalui 72 selekoh berliku tajam dilereng bukit. Sebelum jalan tar dibina pada 1948, pihak British menggunakan 'Pony Back' (Kuda padi) dan 'Sedan Chair' (Kerusi Pengusung) sebagai pengangkutan untuk ke puncak bukit. Kebanyakan pengunjung warga Inggeris yang datang pernah menyamakan Bukit Larut sebagai Switzerland musim bunga.

Antara tarikan yang dimiliki oleh Bukit Larut adalah Rumah Rehat Bukit Larut - terletak 1,034 meter di atas paras laut dan 10.1 kilometer dari kaki Bukit Larut. Banglo Beringin - asalnya dikenali sebagai Rumah Rehat Watson. Berada pada ketinggian 1,036 meter atas paras laut dengan jarak 10.2 kilometer dari kaki Bukti Larut. Banglo Angkasa - dibina pada 1906 dan dikenali sebagai 'The Federal Bungalows'. Banglo ini disewakan khas untuk VIP saja. Banglo Cendana - dikenali sebagai The Hut yang dibina pada 1889 dengan kos sebanyak RM2,000.00. Banglo Tempinis - asalnya dikenali sebagai Banglo Treacher. Sejarah pembinaan dan tujuannya tidak diketahui. Sri Kayangan - dikenali sebagai The Box yang juga rumah kediaman rasmi Residen Perak. Kawasan ini mempunyai ketinggian 1,242 meter dari paras laut dengan jarak 11.7 kilometer dari kaki Bukit Larut.Persekitarannya amat menarik, kerana pemandangan dari bahagian hadapannya dapat menyaksikan kebiruan Selat Melaka serta panorama Bandar Taiping. Rumah Rehat Gunung Hijau - asalnya dikenali sebagai The Speedy Resthouse dan terletak pada ketinggian 1,113 meter dari paras laut.

Pengunjung yang ingin ke puncak bukit mesti menaiki Land Rover yang disediakan Pejabat Taman Peranginan Bukit Larut di kaki bukit dengan dikenakan tambang RM6 bagi dewasa dan RM4 (kanak-kanak antara lima hingga 12 tahun) untuk perjalanan dua hala ke stesen atas bukit.

Sepanjang perjalanan naik ke Bukit Larut, sempat memerhatikan pemandangan dipersekitaran melalui kaca tingkap jeep/pacuan 4 roda (panter) tersebut. Dari situ jelas kelihatan perubahan jenis tumbuhan diketinggian tertentu. Teringat matapelajaran (subjek) geografi yang pernah dipelajari sewaktu di tingkatan 3 dahulu (SMP kelas 3).

Kata cikgu, hutan hujan tropika memiliki 4 lapisan. Yang berada dikaki bukit iaitu lapisan paling bawah, Forest Floor,adalah tumbuhan yang menerima cahaya matahari yang paling sedikit yaitu 2%. Hanya tumbuhan yang sanggup untuk hidup dengan cahaya yang sedikit yang tumbuh dikawasan ini. tumbuhan ini seringkali tidak ada mengalami vegetasi disebabkan cahaya yang sedikit tersebut. Ia juga mengandungi tumbuhan saprofit (tumbuhan yang bisa hidup pada tumbuhan lain yang telah mati). Banyak jenis fungi mampu hidup dikawasan ini dan membantu proses degradasi tumbuhan yang reput.

Lapisan kedua adalah lapisan Understory yang terbentang antara lapisan kanopi dan kaki bukit. Lapisan ini menjadi habitat bagi pelbagai jenis flora dan fauna seperi burung, ular, cicak, dan juga haiwan pemangsa seperti jaguar dan leopard. Daun-daun bagi pokok yang tumbuh pada kapisan ini lebih lebar dan besar. Jenis serangga juga sangat banyak. Hanya 5% cahaya matahari yang bisa menembus ke lapisan ini.

Semakin bergerak ke atas, kita dapat menemui lapisan ke3 yang dinamakan lapisan Canopi. Ia memiliki majoriti pohon-pohon yang besar, yang biasanya antara 30-45m tinggi. Lapisan ini adalah lapisan paling padat dalam biodiversity. Dianggarkan 50% flora fauna bisa ditemui pada lapisan kanopi. Tumbuhan kanopi ini memiliki batang yang besar dan kukuh di samping dedaunnya saling bertautan memberikan panorama hijau yang indah serta dingin dan mendamaikan.

Sementara lapisan paling atas iaitu lapisan keempat adalah lapisan Emergent. Lapisan yang memiliki sedikit pohon besar yang tumbuh melebihi pohon kanopi yang biasa. Ia mencapai ketinggian 45-55m terkadang ada yang mencapai ketinggian 70-80m. tumbuhan yang hidup di lapisan ini harus mampu untuk tetap hidup dan bertahan terhadap suhu yang tinggi dan angin deras yang menerpa. Dedaun bagi pohon di lapisan ini sudah berubah kepada daun yang runcing dan halus seperti daun pirus untuk meminimalkan kehilangan air dan daya rintangan udara.

Analoginya bukit dan cahaya matahari itu seperti manusia dengan iman. Bagian Forest Floor ibarat manusia tanpa pedoman iman. Mereka itu rapuh. Ia mudah tersesat dan melakukan hal yang berada diluar tabi’I manusiawi. Manusia sebegini cenderung berbuat sesuka hatinya di atas muka bumi kerna dia tidak pernah mempedulikan tentang hari setelah kematian. Dia asyik dengan kesenangan dunia dan tenggelam di dalam arusnya. Semua amal yang dilakukannya adalah sia-sia. Akhlak mereka jelek dan menjengkelkan.

Mendakit bukit, cahaya yang bisa menembusi lapisan Understory 5%. Lebih banyak dari kaki bukit. Lapisan ini ibarat manusia yang kebanyakan. Menerima iman tapi hanya setipis kertas. Iman memandu mereka menilai dunia menurut panduan fitrah. Mereka suka akan kebaikan dan berusaha untuk mengerjakan kebajikan sesuai dengan kesucian naluri kasih sayang yang dimiliki manusia. Namun iman yang tipis ini belum mapan untuk membuatkan mereka menerima Islam secara keseluruhan dan sebagai sistem hidup yang memandu arah. Namun sebaliknya mereka masih melihat islam secara secular yakni terpisah dari jurus kehidupan harian mereka. Islam tinggal sebatas ritual ibadah seperti solat dan berpuasa. Mereka ini adalah orang yang mengambil Islam secara separuh-separuh. Mereka berakhlak sesuai dengan tuntutan fitrah yang baik. Baik dalam rangka menyelamatkan diri sendiri dari azab Allah.

Lapisan Kanopi adalah lapisan orang yang Allah letakkan bejana didadanya. Mereka ini diamanahkan dengan kefahaman Islam buat disampaikan pada orang-orang lain disekitarnya. Pohon kanopi tumbuh subur dan kukuh (kokoh) dengan batang yang keras dan tinggi kerna ia mendapat pajanan matahari yang baik. Begitu juga manusia yang dididik dengan asas ketaqwaan itu, akan mendapati bahawa iman berakar umbi dalam jiwanya. Dari iman yang murni ini pula akan mengeluarkan daun-daun yang segar dan saling bertaut yakni hati yang disimbahi iman akan bertaut dengan hati-hati saudaranya yang lain hingga mereka bersatu dan saling bahu membahu untuk menebarkan kebaikan buat ummat seluruh alam layaknya daun kanopi yang bertaut untuk mendinginkan hawa bukit. Mereka ini berakhlak dengan akhlak yang dituntut oleh syariat dan saling membantu kearah kebenaran dan kesabaran.

Manakala lapisan terakhir adalah lapisan Emergent yang hanya mampu dihidupi oleh tumbuhan yang telah mengalami proses adaptasi atau pengubahsuaian (daun yang tirus dan batang yang kuat). Adaptasi ini yang membantu mereka untuk bertahan hidup dalam panas atau dihadang angin. Mereka meraih cahaya matahari yang paling banyak dan semakin dekat menggapai langit. Begitulah ibaratnya orang yang beriman dan bertaqwa. Mereka ini adalah insan yang telah menjalani suatu “proses adaptasi” yakni proses tarbiyah. Hingga yang muncul pada diri mereka adalah peribadi-peribadi yang sesuai dengan corakan Allah SWT. Mereka adalah orang yang kuat hatinya dan sentiasa berhubung dengan Allah. Mereka bersabar saat menghadapi ujian dan bersyukur saat diberi nikmat.

Semoga kita mendidik diri kita supaya mencapai tingkat Emergent.. tingkat yang paling hampir dengan Allah. Amin Ya Rabb…

Isnin, 21 Februari 2011

TAIPING ADVANTURE

0


Negeri Perak atau juga dikenali sebagai Perak Darul Ridzuan merupakan salah satu daripada negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia). Ia merupakan negeri yang kedua terbesar di Semenanjung Malaysia (selepas Pahang). Perak Darul Ridzuan terdiri daripada 10 jajahan yang dipanggil sebagai daerah: Batang Padang, Kinta, Kuala Kangsar, Larut, Matang dan Selama, Kerian, Manjung, Hilir Perak, Perak Tengah, Hulu Perak, Kampar. Bandar-bandar utama di Perak adalah termasuk Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Sitiawan, Kampar dan Teluk Intan.

Berkesempatan menziarahi keluarga sahabat dunia akhiratku Ummi Kalsom di Kemunting Perak. Tujuan kami berziarah tidak lain dan tidak bukan semata-mata demi mengeratkan lagi silaturrahim dengan keluarga sahabatku tersebut. Mungkin sebelumnya keluarga Ummi sudah seringkali mendengar cerita tentang kami namun belum pernah bersua secara berhadapan. Atas tuntutan ukhuwah, kami memutuskan untuk jaulah bersama ke sana sambil ziarah. Kata orang jika kita bersahabat dengan seseorang dan kita mengenali keluarganya, maka itu akan memperkuatkan ukhuwah dan mengeratkan hubungan kerna yang terbentuk adalah jalinan kekeluargaan yang lebih utuh dan akrab berbanding dengan kita hanya berteman dengan anaknya.

Bersama Farhana mengharungi perjalanan selama 8 jam dari Kelantan. Kami bertolak seawal jam 9.30 malam 15 Februari 2011 dan hanya tiba di Kemunting jam 4.30 pagi keesokannya. Hawa dingin di dalam bas (bis) menyucuk tulang belulang memaksa diri dan ana mendapatkan secebis kehangatan dari air coklat panas sewaktu singgah di perjalanan.Merasa bersalah tatkala harus menyusahkan ibunya untuk mengambil kami awal pagi itu tapi apa boleh buat.

Mengenali keluarga ummi dan melihat sendiri suasana rumah dan hubungan kasih sayang yang terjalin di rumah sangat mengharukan. Layanan ayah, ibu serta adiknya Azzahra amat menyentuh hati. Betapa baik dan ramahnya keluarga ini. Berusaha sepenuh hati untuk memberikan yang terbaik buat kami walau dalam kedaan bapanya yang sakit (gout) dan ibunya yang setiap hari terpaksa berangkat awal ke sekolah lantaran jarak rumah-sekolah yang memakan masa hampir 1 jam perjalanan. MasyaAllah.. luar biasa. Tidak hairan pasangan ini berjaya mendidik anak-anak hingga berjaya dan beradab sopan.


Sempat berjalan-jalan ke Zoo Taiping, Museum Perak, dan Bukit Larut, kawasan yang paling lembap di Malaysia lantaran hujan yang acap turun pada petang (sore hari) mahupun malam hari. Zoo Taiping yang merupakan salah satu tempat tumpuan pelancong (wisata tunjangan) menyimpan pelbagai jenis haiwan yang kebanyakannya sudah langka. Seperti tapir, orang utan, ikan arapaima, harimau belang dan harimau bintang, singa, seledang, unta, kancil, rusa dan sebagainya. Dengan bayaran masuk yang lumayan (RM12 untuk dewasa dan RM6 untuk kanak-kanak) mampu menyediakan masyarakat untuk melihat dan mengenali sendiri hidupan liar atau secara spesifiknya haiwan langka tersebut.

Muzium Taiping yang tersergam indah, layaknya bangunan lama peninggalan British seakan diberi nafas baru dengan diberikan cat serba putih. Di dalamnya terdapat banyak khazanah Negara yang melambangkan jati diri rakyat negeri ini. Terdapat pelbagai aset yang dipamerkan mulai dari alat-alat muzik, adat kebudayaan masyarakat seperti masyarakat Melayu, Cina mahupun India, adat pernikahan, adat perayaan serta perkembangan kegiatan ekonomi di samping kekayaan hasil hutan dan laut yang dimiliki oleh penduduk negeri bertuah ini.





Dua hari berada di Perak walaupun tidak menyempatkan diri menjelajahi segenap pelosok negeri tersebut, tetap meninggalkan kesan dan nilai yang tersendiri buat diri. Dan semoga kami masih berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Perak lagi suatu hari nanti..amin..

Ahad, 13 Februari 2011

TATKALA MALAM

0

Wahai saudaraku, ketuklah pintu Tuhanmu di kegelapan malam dengan melakukan solat yang khusyuk, beberapa sujud yang panjang, beberapa doa’ yang tulus, beberapa tasbih dan beberapa tetesan air mata kerana takut kepadaNya, serta yakinlah bahawa Tuhanmu akan mengabulkan do’a-do’amu. Janganlah kamu lupa untuk berdo’a dalam suasana yang penuh kebaikan berada di sisiNya agar diberikan kemenangan dan kekuasaan bagi agamaNya serta berdo’alah untuk saudara-saudaramu tanpa mereka sedari.

“ Hai jiwaku, bertasbihlah dan bershalatlah! Saat urusan-urusan berat-berat menyerangmu. Apabila hati sudah merasa letih dari beban kehidupan yang melelahkan. Alirkan air mata wahai jiwa lalu tumpahkanlah ia ke dalam solat. Sesungguhnya Tuhan alam semesta mendengar tangisan jiwa memohon kasihnya..”


-Mustafa Masyur-

Sabtu, 12 Februari 2011

IMAM AS-SYAHID HASAN AL-BANNA

0

Hassan al Banna (14 Oktober 1906 - 12 Februari, 1949, Arab:حسن البنا) merupakan reformis sosial dan politik Mesir yang terkenal sebagai pengasas gerakan Jamiat al-Ikhwan al-Muslimun.

Hassan al Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di desa al-Mahmudiyyah di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir (barat laut Kaherah). Beliau berasal dari sebuah perkampungan petani yang terkenal kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam, serta keluarga ulama yang dihormati.

Bapanya, Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna, merupakan seorang seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal, lulusan Universiti Al-Azhar, yang menulis dan menyumbang menulis kitab-kitab hadis dan fiqh perundangan Islam dan juga memiliki kedai membaiki jam dan menjual gramophone. Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna turut mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Qur'an dan hadis kepada penduduk tempatan, dan dia banyak dipengaruhi oleh fikrah serta cita-cita perjuangan Syeikh Muhammad Abduh dan Sayyid Jamaluddin al-Afghani.

Sungguhpun Syeikh Ahmad al-Banna dan isterinya memiliki sedikit harta, mereka bukannya orang yang kaya dan bertungkus lumus untuk mencari nafkah, terutama selepas berpindah ke Kaherah pada 1924; sebagaimana yang lain, mereka mendapati bahawa pendidikan Islam dan kealiman seseorang tidak lagi dihargai di ibu negara itu, dan hasilkerja tangan mereka tidak mampu menyaingi industri besar-besaran.. (Mitchell 1969, 1; Lia 1998, 22-24).

Ketika berusia tiga belas tahun, Hassan al Banna menyertai tunjuk perasaan semasa revolusi 1919 menentang pemerintahan British. (Mitchell 1969, 3; Lia 1998, 26-27)

Pada tahun 1923, pada usia 16 tahun dia memasuki Dar al 'Ulum, sekolah latihan guru di Kaherah. Kehidupan di ibu negara menawarkannya aktiviti yang lebih luas berbanding di kampung dan peluang bagi bertemu dengan pelajar Islam terkemuka (kebanyakannya dengan bantuan kenalan ayahnya), tetapi dia amat terganggu dengan kesan Kebaratan yang dilihatnya disana, terutamanya peningkatan arus sekular seperti parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular terdorong ke arah melemahkan pengaruh Islam dan meruntuhkan nilai moral traditional. (Mitchell 1969, 2-4; Lia 1998, 28-30)

Dia turut kecewa dengan apa yang dilihatnya sebagai kegagalan sarjana Islam di Universiti al-Azhar untuk menyuarakan bangkangan mereka dengan peningkatan atheism dan pengaruh pendakwah Kristian. (Mitchell 1969, 5)

Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jama'atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah yang giat mengadakan ceramah-ceramah Islam. Melalui pertubuhan ini, Hasan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat, di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat perhimpunan orang ramai.

Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.



Di tahun akhirnya di Dar al-'Ulum, dia menulis bahawa dia bercadang menzuhudkan dirinya menjadi "penasihat dan guru" bagi golongan dewasa dan kanak-kanak, agar dapat megajar mereka "matlamat agama dan sumber kegembiraan dan keriangan dalam kehidupan". Dia mendapat ijazah pada tahun 1927 dan diberikan jawatan sebagai guru bahasa Arab di sekolah rendah kebangsaan di Isma'iliyya, bandar provincial terletak di Zon Terusan Suez. (Mitchell 1969, 6)

Al-Imam Hassan al-Banna kemudainnya menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah pada Mac 1928. Ketika itu beliau berusia 23 tahun.

Di Ismailiyya, sebagai tambahan kepada kelas siangnya, dia melaksanakan matlamatnya memberi kelas malam bagi keluarga anak muridnya. Dia juga berceramah di masjid, malah dikedai kopi, yang masa itu masih baru dan dipertikaikan nilai moralnya. Pada awalnya, sesetengah pandangannya berkenaan perlaksanaan Islam yang mudah mendorong kepada tentangan hebat dengan elit keagamaan tempatan, dan dia mengamalkan polisi mengelakkan kontrovesi agama. (Mitchell 1969, 7; Lia 1998, 32-35)

Setelah berkhidmat 19 tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah dengan berkesan dalam masyarakat di bandar itu. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.

Ternyata Hassan al-Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu, memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan Islam dengan tegas. Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas perang dunia kedua apabila gerakan itu turut bertanding di dalam perebutan kuasa politik.


Pengaruh Ikhwan yang kian kuat amat dikhuatiri oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh al-Nukrasi Bassa dari parti al-Sa'di yang bertindak mengharamkan Ikhwan Muslimin pada 1948 atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sungguhpun begitu Hassan al-Banna tidak ditahan dan beliau cuba sedaya upaya menyelamatkan Ikhwan. Malangnya usaha beliau belum berhasil sehinggalah ditembak pada waktu Zohor 12 Februari 1949, ketika keluar dari bangunan Ikhwan Muslimin. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital dan pembunuhan beliau didakwa dirancang oleh polis rahsia kerajaan berikutan kematian perdana menteri yang dibunuh oleh seorang pelajar yang kecewa dengan pembubaran Ikhwan Muslimin.

Jenazah al-Imam Hassan Al-Banna telah dikebumikan dengan kawalan kereta-kereta kebal dan perisai. Orang ramai tidak dibenarkan menghadiri upacara pengebumiannya, yang hadir hanya keluarganya sendiri.



AL-FATIHAH...



dibawakan oleh: page jom tutup aurat dan jaga akhlak fb & tagged



sumber: http://fst-usim.blogspot.com/

Jumaat, 11 Februari 2011

RIADHAH JAMA'IE

0

Alhamdulillah telah berpeluang menghadiri program riadhah (bersenam) secara jama’ie pada pagi ini. Walaupun tidak terlalu ramai yang dapat hadir lantaran program ini diadakan serentak dengan program guru. Jadi banyak dikalangan pak cik dan mak cik yang berkecimpung di bidang perguruan yang tidak dapat hadir. Namun begitu suasana (biah) yang terbina cukup membangkitkan rasa hati (syu’ur) yang yang kuat.

Bersenam (jogging) di lapangan olahraga bersama sahibah tercinta. Sempat melihat mak cik yang melewati usia pertengahan, berjalan bersama dalam kelompok sambil berbual-bual (ngobrol). Kemesraan terlihat jelas terpamer di wajah-wajah mereka, menikmati hari minggu bersama dalam suasana yang mendidik iman. MasyaAllah kagum melihat semangat mak cik. Mereka hanya berjalan perlahan di tract (lapangan) lantaran tak lagi kuat untuk berlari layaknya orang muda, namun tetap tanpa henti berjalan hingga beberapa pusingan. Retina menangkap kelibat seorang mak cik dari kelompok tersebut yang sibuk menaip sesuatu di telefon mudah alihnya (Hp) sambil berjalan. Kelihatannya masih sibuk bekerja walau hari minggu begini. Namun tetap hadir dan menglibatkan diri dalam aktiviti (aktivitas) hari ini. Kesibukan tidak pernah menjadi alasan untuk tidak menghadirkan diri.


Di satu sudut pula terlihat sekelompok pak cik-pak cik yang duduk melakukan stretching (menghangatkan badan) sambil berbual-bual (ngobrol). Pak cik-pak cik yang pernah ku lihat foto-foto mereka di album lama ayahku. Tapi ternyata foto-foto itu amat berbeza (beda) dengan mereka yang ada sekarang. kalau di foto kelihatan pemuda-pemuda yang kuat fisikalnya, rambut masih hitam, kulit masih tegang dan menjalani latihan mukhayyam (perkhemahan) yang payah. namun yang ada sekarang adalah pak cik-pak cik separuh abad yang rambutnya sudah memutih di kepala, kulit juga sudah semakin dimamah usia. Pak cik-pak cik yang kesehariannya sibuk menunaikan tugas professional masing-masing dan yang seharusnya hujung minggu begini digunakan untuk melepaskan lelah di rumah, namun mereka tetap menghadirkan diri untuk menjalani aktiviti (aktivitas) ini bersama.

Yang paling penting itu adalah semangat mereka untuk hadir melengkapkan kebersamaan, membina suasana yang soleh bersama-sama untuk mendidik masyarakat. Subhanallah. Luar biasa. Mak cik- mak cik dan pak cik-pak cik ini lah yang 20-30 tahun lalu seperti kita, anak-anak kuliah masih muda remaja yang dikurniakan Allah kefahaman tentang Islam, bersatu dalam menegakkan yang haq dan mencegah yang mungkar atas nama persaudaraan kerana Allah (ukhuwah fillah), lantas dengan berbekalkan kefahaman dan ukhuwah yang mendasar itu mereka mengubah haluan hidup mereka kearah corakan Islam yang syumul.

Dari individu muslim yang mengamalkan perintah Allah ini, mereka membina pula keluarga-keluarga muslim (baitul muslim) yang menerapkan Islam ke dalam kehidupan rumahtangganya. Menikah bukan hanya sebagai memenuhi panggilan fitrah namun lebih dari itu, menikah adalah untuk membina tamadun Islam masa depan dengan cara rumah sebagai kilang (pabrik) yang mencetak generasi yang mengenal Allah dan Rasul.

Setelah memiliki anak-anak, mereka ini dibesarkan dengan suasana (biah) soleh yang telah bersama mereka bina. Dididik untuk mengenal Allah dan Rasul serta menyintai Islam dan jihad. Ya tidak salah lagi, dari tangan-tangan mereka inilah yang membesarkan dan membina generasi rijaluddakwah (pemuda yang menyebarkan dakwah Islam) yang bergerak menyebarkan risalah kebenaran di mana sahaja anak-anak ini berada.

Dari puluhan tahun yang lalu, mereka telah bersama, tetap istiqamah di atas jalan dakwah dan tarbiyah hingga saat ini. Walau tubuh kian dimamah waktu, semangat tetap membara demi meneruskan kerja para ambiya’ ini. Alhamdulillah. Semoga saja kita banyak belajar dari mereka. Menghirup semangat mereka untuk terus memikul tugas yang besar dan untuk tetap istiqamah diatas jalan ini hingga ajal datang menjemput kita.. Ya Allah, alirkan lah kepada kami kekuatan..Amin Ya Rabb..

Khamis, 10 Februari 2011

RESEP KETENANGAN

0

Rumus Tukang Parkir :-

“Walaupun banyak mobil (kereta) tidak pernah sombong. Walau mobil(kereta)nya berganti-ganti tidak pernah takabbur. Mobil (kereta) itu di ambil sampai habis, tidak sakit hati. Kerna tukang parkir tidak merasa memiliki tapi hanya tertitipi (dipinjamkan)”

Begitulah manusia seharusnya dalam menanggapi kekayaan dunia. Apabila merasa harta itu mutlak kepunyaan kita, maka jiwa akan mulai sengsara. semakin senang kita dengan dunia semakin gelisah kita dengan kehidupan kita. Setiap hari sibuk memikirkan bagaimana menjaga dan menambah harta. Tapi jika kita mengingati bahawa harta itu tidak lain adalah titipan Allah, maka ia sesekali tidak akan menjadikan kita sombong dan bongkak.. kerna kita yakin bahawa harta itu akan diambil semula oleh Allah..