
Negeri Perak atau juga dikenali sebagai Perak Darul Ridzuan merupakan salah satu daripada negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia). Ia merupakan negeri yang kedua terbesar di Semenanjung Malaysia (selepas Pahang). Perak Darul Ridzuan terdiri daripada 10 jajahan yang dipanggil sebagai daerah: Batang Padang, Kinta, Kuala Kangsar, Larut, Matang dan Selama, Kerian, Manjung, Hilir Perak, Perak Tengah, Hulu Perak, Kampar. Bandar-bandar utama di Perak adalah termasuk Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Sitiawan, Kampar dan Teluk Intan.
Berkesempatan menziarahi keluarga sahabat dunia akhiratku Ummi Kalsom di Kemunting Perak. Tujuan kami berziarah tidak lain dan tidak bukan semata-mata demi mengeratkan lagi silaturrahim dengan keluarga sahabatku tersebut. Mungkin sebelumnya keluarga Ummi sudah seringkali mendengar cerita tentang kami namun belum pernah bersua secara berhadapan. Atas tuntutan ukhuwah, kami memutuskan untuk jaulah bersama ke sana sambil ziarah. Kata orang jika kita bersahabat dengan seseorang dan kita mengenali keluarganya, maka itu akan memperkuatkan ukhuwah dan mengeratkan hubungan kerna yang terbentuk adalah jalinan kekeluargaan yang lebih utuh dan akrab berbanding dengan kita hanya berteman dengan anaknya.
Bersama Farhana mengharungi perjalanan selama 8 jam dari Kelantan. Kami bertolak seawal jam 9.30 malam 15 Februari 2011 dan hanya tiba di Kemunting jam 4.30 pagi keesokannya. Hawa dingin di dalam bas (bis) menyucuk tulang belulang memaksa diri dan ana mendapatkan secebis kehangatan dari air coklat panas sewaktu singgah di perjalanan.Merasa bersalah tatkala harus menyusahkan ibunya untuk mengambil kami awal pagi itu tapi apa boleh buat.
Mengenali keluarga ummi dan melihat sendiri suasana rumah dan hubungan kasih sayang yang terjalin di rumah sangat mengharukan. Layanan ayah, ibu serta adiknya Azzahra amat menyentuh hati. Betapa baik dan ramahnya keluarga ini. Berusaha sepenuh hati untuk memberikan yang terbaik buat kami walau dalam kedaan bapanya yang sakit (gout) dan ibunya yang setiap hari terpaksa berangkat awal ke sekolah lantaran jarak rumah-sekolah yang memakan masa hampir 1 jam perjalanan. MasyaAllah.. luar biasa. Tidak hairan pasangan ini berjaya mendidik anak-anak hingga berjaya dan beradab sopan.
Sempat berjalan-jalan ke Zoo Taiping, Museum Perak, dan Bukit Larut, kawasan yang paling lembap di Malaysia lantaran hujan yang acap turun pada petang (sore hari) mahupun malam hari. Zoo Taiping yang merupakan salah satu tempat tumpuan pelancong (wisata tunjangan) menyimpan pelbagai jenis haiwan yang kebanyakannya sudah langka. Seperti tapir, orang utan, ikan arapaima, harimau belang dan harimau bintang, singa, seledang, unta, kancil, rusa dan sebagainya. Dengan bayaran masuk yang lumayan (RM12 untuk dewasa dan RM6 untuk kanak-kanak) mampu menyediakan masyarakat untuk melihat dan mengenali sendiri hidupan liar atau secara spesifiknya haiwan langka tersebut.

Muzium Taiping yang tersergam indah, layaknya bangunan lama peninggalan British seakan diberi nafas baru dengan diberikan cat serba putih. Di dalamnya terdapat banyak khazanah Negara yang melambangkan jati diri rakyat negeri ini. Terdapat pelbagai aset yang dipamerkan mulai dari alat-alat muzik, adat kebudayaan masyarakat seperti masyarakat Melayu, Cina mahupun India, adat pernikahan, adat perayaan serta perkembangan kegiatan ekonomi di samping kekayaan hasil hutan dan laut yang dimiliki oleh penduduk negeri bertuah ini.
Dua hari berada di Perak walaupun tidak menyempatkan diri menjelajahi segenap pelosok negeri tersebut, tetap meninggalkan kesan dan nilai yang tersendiri buat diri. Dan semoga kami masih berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Perak lagi suatu hari nanti..amin..









